Hotel penuh sempena Muktamar Tahunan PAS

Salmah Mat Husain|Foto Rizal Tahir | .

KOTA BHARU: Muktamar Tahunan PAS yang bakal berlangsung di sini minggu depan akan memeriahkan lagi sambutan Tahun Melawat Kelantan (TMK) 2016.

Kehadiran perwakilan, pemerhati dan tetamu tentunya merancakkan industri pelancong, lebih-lebih lagi  musim cuti persekolahan sekarang.

Detik itu paling ditunggu pengusaha-pengusaha hotel, enap desa, resort, hostel, apartmen dan hotel bajet.

Mereka menyediakan pelbagai pakej penginapan bagi menarik kedatangan pelancong.

Pengurus Besar Holiday Villa Hotel & Suites Kota Bharu, Mohd Shaufi Ahmad mengakui hampir semua hotel pelbagai peringkat termasuk resort di Kelantan sudah penuh bermula 27 Mei hingga awal Jun.

“Sehingga kini pihak kami masih menerima panggilan orang ramai untuk menginap, tetapi apakan daya semua bilik sudah penuh,” katanya di sini.

Menurutnya sudah menjadi kebiasaan hampir bulan Ramadan ramai orang bertandang ke Kelantan.

Kata beliau keadaan tambah meriah lagi dengan Muktamar PAS yang akan diadakan di Kelantan minggu depan.

“Kedudukan hotel kami di laluan utama di Wakaf Che Yeh memberi impak yang besar. Pelancong memilih di sini bagi memudahkan mereka membeli-belah,” ujarnya.

Muktamar Tahunan PAS kali ke-62 akan diadakan di Putik, Pengkalan Chepa 1 hingga 3 Jun ini. - HARAKAHDAILY 27/5/2016

Share on Myspace