Akta 355: Bukti PAS komited perkasa Islam

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia menyatakan sokongan padu terhadap Presiden PAS, selaku Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang telah membentangkan RUU Persendirian pada hari terakhir sidang parlimen bagi Penggal Keempat Mesyuarat Kedua semalam.

Pembentangan usul yang dikemukakan oleh beliau bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang akan membuka jalan kepada pelaksanaan hudud dan qisas di negara ini.

Ketua Penerangan Muslimat PAS Malaysia Wan Hasrina Wan Hassan melahirkan penuh kesyukuran di atas kejayaan Ahli Parlimen Marang dalam  mengemukakan RUU yang sama selepas dua cubaan untuk mengemukakannya di dalam sidang parlimen pada tahun lalu.

Katanya, usaha yang berterusan dan bersungguh-bersungguh ini membuktikan bahawa PAS komited dalam agenda memperkasakan Islam dan memperjuangkan hukum Allah sebagai hukum tertinggi negara khususnya dalam memperkasa dan menambah bidang kuasa mahkamah syariah di Malaysia.

Justeru, Muslimat PAS amat yakin dengan pindaan bidang kuasa mahkamah syariah akan menambahbaik pembelaan yang adil dan telus mengikut perundangan Islam, terutama  terhadap kesalahan-kesalahan jenayah yang melibatkan kehormatan dan keselamatan kaum wanita.

"Sebagai contoh, kes rogol, sumbang mahram, zina dan lain-lain. Kami, menyeru kepada semua umat Islam, khususnya ahli parlimen yang beragama Islam, agar terus menyokong usaha murni ini serta sentiasa berdoa semoga dipermudahkan usul ini di dalam perbahasan yang ditangguhkan ke persidangan akan datang," ujarnya kepada Harakahdaily.

Semalam, usul RUU Persendirian Tuan Guru Abdul Hadi berjaya dibentangkan walaupun mendapat bantahan bertalu-talu daripada Ahli Parlimen DAP sebaik sahaja usul berkenaan yang dibawa oleh beliau diterima Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia. – HARAKAHDAILY 27/5/2016

Share on Myspace