Hudud bertentangan dengan perlembagaan?

IRFAN ES | .

SETINGGI-tinggi syukur kepada Ilahi kerana semalam, 26 Mei 2016, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah diberikan ruang untuk membentangkan usul Rang Undang-Undang Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) di Dewan Rakyat.

Walau bagaimanapun, yang agak mencuri perhatian ialah reaksi beberapa Ahli Parlimen daripada DAP dan (paling mengejutkan) seorang daripada PAN yang cuba menghalang beliau dari meneruskan perbahasan.

Saya amat tertarik dengan sidang media mereka selepas sesi parlimen selesai. Mereka menyatakan bahawa mereka membantah hudud kerana ia bertentangan dengan perlembagaan.

Sejak dulu lagi apabila PAS berbunyi walaupun sedikit tentang undang-undang Islam (nama penuhnya ialah hukum hudud, qisas dan takzir), serta-merta mereka akan membangkang menggunakan alasan ia bercanggah dengan perlembagaan.

Untuk makluman, sehingga tahun 2015, Perlembagaan Malaysia telah pun dipinda sebanyak 57 kali. Pindaan pertama dilakukan pada 1958 – hanya satu tahun selepas Malaya mencapai kemerdekaan.

Hal ini terjadi disebabkan perlembagaan yang sama menetapkan bahawa pindaan boleh dilaksanakan dengan keputusan majoriti parlimen.

Dengan kata lain, alasan yang mereka berikan, bahawa mereka membantah hudud kerana ia bertentangan dengan perlembagaan, adalah tidak munasabah sama sekali.

Hal ini kerana mereka berada di tempat di mana isi perlembagaan boleh dibahas, dipinda, ditambah dan sebagainya. Perlembagaan yang dipinda di situ tetap nanti  merupakan perlembagaan. Jika hukum hudud, qisas dan takzir diluluskan di situ, maka secara automatik ia menjadi sebahagian dari perlembagaan.

Oleh sebab itu, pada tahun 2015, Mahkamah Tinggi menolak permohonan injuksi empat individu yang ingin menghalang Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dari membentangkan rang undang-undang ini. Mahkamah memutuskan beliau selaku Ahli Parlimen telah melaksanakannya mengikut saluran yang betul berdasarkan peruntukan undang-undang.

Ironinya mereka sendiri sebenarnya yang sedang melanggar perlembagaan – Artikel 10: kebebasan bersuara – apabila cuba menghalang seorang wakil yang dipilih rakyat dari bersuara di dalam dewan yang mulia.

Sekali lagi diulang bahawa alasan bantahan terhadap pindaan Akta 355 di dalam parlimen kerana ia bercanggah dengan perlembagaan adalah tidak sah. Justeru saya mencadangkan alasan-alasan lain yang boleh mereka pakai bagi menghalalkan kecaman terhadap kanun syariah, contohnya:

“Kami menentang undang-undang Islam kerana bimbang kalau kami tertangkap, kami sendiri yang akan kena hukum.” (alasan ini hanya boleh digunakan oleh orang Islam sahaja kerana orang bukan Islam tidak tertakluk kepada hukum jenayah Islam)

“Kami menentang undang-undang Islam kerana kami anti-Islam.”

“Kami menentang undang-undang Islam kerana mahu menarik sokongan pengundi bukan Islam.”

“Kami menentang undang-undang Islam just for the sake of going against it.”

Bentanglah, bincanglah, bahaslah di dalam parlimen. Selepas itu undilah sama ada setuju atau tidak dengan usul tersebut. Bukannya hentam pembawa usul belum pun sempat ia dibacakan. – HARAKAHDAILY 27/5/2016

Share on Myspace