Tak pernah terlintas dipilih jadi calon PRK - Dr Rani

SAIDAH HAIRAN | .

SUNGAI BESAR: Dr Abdul Rani Osman terkejut dan tidak pernah terlintas dipilih oleh kepimpinan tertinggi PAS untuk menjadi calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar pada 18 Jun nanti.

Menurut beliau, keputusan yang telah dibuat oleh kepimpinan tertinggi PAS itu diterima dan diharap semua rakan-rakan parti dari DAP dan PKR dapat membantu PAS menawan kerusi Parlimen Sungai Besar.

"Saya sangat berharap Adun Sekinchan (DAP), Ng Sue Lim dapat membantu saya untuk berkempen. Adun Sekinchan merupakan kawan rapat saya. Saya kagum dengan kemahiran beliau yang boleh menghafal maksud firman Allah ketika berucap dalam sidang Dewan Negeri," katanya.

Beliau yang ditemui selepas pengumuman calon di markas PAS Kawasan Sungai Besar turut berharap ahli dan pimpinan PKR dapat bersama-sama membantu PAS untuk menawan kerusi Parlimen Sungai Besar.

"Saya harap kita dapat meneruskan kerjasama berterusan sebab atas tiket Pakatan Rakyat, kita telah berjaya jatuhkan Umno BN pada Pilihan raya Umum ke-13," katanya.

Beliau yang juga Adun Meru berkata, begitu juga dengan rakan-rakan dalam PAN perlu bekerjasama memberi bantuan kepada PAS untuk menang pada pilihan raya kecil ini.

"Saya berkawan semua. Pimpinan PAN sebelum ini ada minta sumbangan kewangan daripada saya untuk buat majlis, saya bagi bantuan. Pada saya musuh kita adalah Umno BN bukan sesama kita.

"Saya sangat berharap PAN tidak akan meletakkan calon untuk bertanding kerana jika berlaku tiga penjuru ia akan menguntungkan Umno BN," tegasnya.

Bermottokan `Menjadi Calon Rakyat' beliau berjanji akan memberi perkhidmatan dengan menyalurkan kebajikan kepada semua bangsa dan agama tanpa mengira fahaman politik.

"Cara inilah yang saya lakukan di Meru. Kita kena turun padang bertemu rakyat. Kita kena berusaha untuk menjadikan diri kita ada di hati rakyat. Ini cara yang cukup berkesan," katanya. - HARAKAHDAILY 27/5/2016

Share on Myspace