Parti An-Nahdhah dan sekularisma Tunisia

HARAKAHDAILY | .

Tahun lepas semasa lawatan kerja saya ke Tunisia untuk mengintai peluang-peluang menyambung pengajian di sana bagi institusi-institusi pendidikan PAS, saya mengambil peluang itu untuk membawa surat khas Tuan Guru Presiden PAS kepada pimpinan Parti An-Nahdhah yang menjelaskan di dalamnya perkembangan semasa politik Malaysia khususnya apabila tercetusnya konflik dalaman PAS sehingga berlaku serpihan dan tertubuhnya Parti Amanah Negara (PAN). Alhamdulillah saya sempat berjumpa dan menyerahkan surat tersebut kepada Dr Abdul Fattah Moro, Timbalan Presiden Parti An-Nahdhah.

Sebelum penubuhan parti serpihan PAS ini, pimpinannya menjelajah ke Timur Tengah untuk berjumpa dengan beberapa tokoh Gerakan Islam yang selari dengan mereka bagi mengharuskan penubuhannya.

Siri jelajah yang turut disertai oleh pimpinan DAP termasuk Lim Kit Siang itu melawat dan mengadakan pertemuan dengan Parti An-Nahdhah yang pernah memerintah kerajaan Tunisia dalam pilihan raya yang lepas dengan pendekatan-pendekatan Islam moderatnya.

Gembiranya pimpinan DAP kerana diberikan peluang itu oleh teman-teman parti baru mereka tidak terhingga sehingga Lim Kit Siang memberikan komen bahawa pendiriannya menentang agenda pelaksanaan Syariah Islam oleh PAS adalah tepat.

Teringat kisah Abdullah bin Urayqit, seorang musyrik yang menjadi jurupandu Nabi SAW berhijrah sehingga dapat melaksanakan Syariah Islam di Madinah. Cuma dalam cerita perjalanan ke Timur Tengah di atas yang jadi jurupandunya orang Islam adapun tuannya orang yang anti Islam yang tidak mahu Syariah Islam dilaksanakan.  

Konsep pemisahan politik dari agama

Saya masih ingat kandungan surat Tuan Guru Presiden itu yang juga dihantarkan salinan kepada pimpinan dan tokoh Gerakan Islam lain seperti Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi, Ibrahim Munir dan lain-lain lagi antara lain menerangkan di dalamnya waqi’ politik Malaysia yang berbeza dengan waqi’ politik di Timur Tengah sama ada dari sudut sistem politik, sejarah politik, sosial politik dan geografi politik.

Tuan Guru Presiden juga memberikan nasihat supaya berhati-hati dengan perancangan-perancangan musuh-musuh Islam untuk memecahbelahkan Gerakan-Gerakan Islam dengan membawa agenda menyahkan perjuangan pelaksanaan Syariah Islam.

Penyatuan antara aqidah, syariah dan politik sudah menjadi agenda teras kepada Gerakan-Gerakan Islam bagi mendepani cabaran jahiliyyah sekularisma.

Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi menegaskan dalam kitab Ad-Din wa As-Siyasah: Ta’shiilu wa Raddu Syubuhat:
“Golongan berfahaman Moden, Marxis dan Sekularis mengatakan bahawa hubungan antara agama dan politik adalah hubungan saling bertentangan dan berlawanan. Mereka juga menginginkan akidah tanpa syariat, ibadat tanpa muamalat, agama tanpa dunia, dakwah tanpa negara dan kebenaran tanpa kekuatan.”

Syeikh Muhammad Khidhr Husain – salah seorang syeikh al-Azhar - juga menulis artikel dalam Majalah Ulama’ Al-Azhar dengan mengemukakan pandangan bahawa di antara golongan yang memisahkan agama daripada politik adalah orang yang mengakui di dalam agama adanya hukum berkaitan politik, namun mereka menyatakan bahawa ajaran tersebut tidak sesuai lagi digunakan pada masa kini. Mereka terus menghembuskan kekeliruan dalam minda masyarakat Islam.

Kita melihat tokoh-tokoh Islam seperti  al-Mahdi, Khairuddin at-Tunisi, al-Amir Abdul Qadir, Jamaluddin al-Afghani sampai al-Kawakibi, Muhammad bin Ayakib Arsalan, Rasyid Ridha, Hassan Al-Banna di Mesir, Ibnu Badis dan sahabat-sahabat di Algeria, Alal al-asi di Maghribi, al-Maududi di Pakistan.

Mereka bersepakat berpegang bahawa syariat Islam merangkumi akidah dan syariat, dakwah dan daulah, agama dan politik. Mereka bukan sahaja mengemukakan hujah ilmiah dan teori-teori, bahkan terjun langsung dalam kancah politik, merasakan pahit dan kejamnya politik, menjadi korban kekerasan kerana mempertahankan konsep ini atas kefahaman; Ajaran Islam bersifat menyeluruh dan tidak menerima sikap memilih sebahagian dan menolak sebahagian lain.

Dari Politik Islam kepada Islam Demokrat

Minggu lepas Parti An-Nahdhah mengadakan himpunan tahunannya yang dihadiri ramai tokoh-tokoh sama ada dalam atau luar Tunisia. Dalam ucapannya antara lain Syeikh Rasheed Ghanoushi menggariskan halatuju baru partinya:
“We want religious activity to be completely independent from political activity. We are leaving political Islam and entering democratic Islam. We are Muslim democrats who no longer claim to represent political Islam.”
(Kami mahu aktiviti keugamaan hendaklah bebas daripada aktiviti politik. Kami telah tinggalkan politik Islam dan memasuki Islam demokrat. Kami adalah muslim demokrat yang bukan lagi mewakili politik Islam).

Kenyataan ini mendapat respons yang bercampur-campur dari pendukung-pendukung Gerakan Islam. Mereka yang bersetuju memberikan alasan itulah pendekatan yang terbaik dalam waqi' seperti Tunisia yang digelar sebagai ' Ibu Sekularisma'.

Golongan sekularisma yang memerangi ugama dan menjadikan sekularisma sebagai aqidah. Di sini poligami adalah satu jenayah, dikenakan hukuman penjara. Pendukung-pendukung sekularismanya ada usaha utk menghalalkan perkahwinan sejenis. Pernah semasa Parti An-Nahdhah memimpin kerajaan pada sesi lepas; ada usaha untuk menutup restoran pada waktu siang bulan Ramadhan akan tetapi ditentang oleh puak sekular.

Walaupun begitu ramai juga yang melahirkan kebimbangan. Antara yang memberi pandangan awal ialah Dr Azzam Tamimi di dalam komennya yang lantang menegaskan bahawa pendekatan baru yang diambil oleh Parti An-Nahdhah ini jelas menunjukkan langkah memisahkan politik daripada agenda dakwah Islam.

Pendekatan ini jelas mengguris hati pendukung-pendukung Gerakan Islam yang membawa agenda politik Islam sehingga antara mereka yang dipenjara dan masih kekal di dalam penjara kerana membawa agenda yang besar ini.

Dr Azzam mengkritik apabila disebalik ketiadaan wakil Ikhwanul Muslimin dalam majlis Perasmian Himpunan Parti An-Nahdhah dan Syeikh Ghanoushi tidak menyebut tentang perjuangan Palestin adalah satu tindakan yang tidak sengaja, tetapi untuk membuktikan bahawa An-Nahdhah sudah beralih daripada Politik Islam kepada Islam Demokrat.

Kritikan pedas Dr Azzam Tamimi ini selari dengan pendedahan laporan-laporan RAND Cooperation yang mengatur strategi bagi mengekang kebangkitan Islam yang dipelopori oleh Gerakan-Gerakan Islam dengan mengetengahkan pendekatan-pendekatan baru yang wajar diambil supaya selari dengan Amerika Syarikat. Pendekatan yang mengekalkan nama Islam tetapi menyahkan perjuangan untuk melaksanakan Syariah Islam.

Walaupun Parti An-Nahdhah memberikan alasan-alasannya akan tetapi kebimbangan itu tetap wujud. Adakah satu hari nanti An-Nahdhah hanya akan dikenali sebagai parti Islam hanya pada namanya sahaja tetapi batinnya adalah sebuah parti sekular seperti Parti Liga Muslim di Pakistan? Ianya tidak akan berlaku dalam sekelip mata akan tetapi memakan masa kepada beberapa generasi yang akan memimpin parti selepas daripada itu.

Pendekatan baru yang diambil oleh Parti An-Nahdhah ini sudah tentu memberikan kesan terhadap terhadap perkembangan Gerakan-Gerakan Islam di seluruh dunia yang melalui fasa yang sangat mencabar ini. Kalangan yang bersetuju akan menjadikan pendekatan itu untuk diterjemahkan di negara masing-masing walaupun hakikatnya waqi' adalah berbeza sama sekali.

Dalam konteks di Malaysia amat malang bagi mereka berfikiran supaya PAS menjadi seperti An-Nahdhah dan Malaysia menjadi Tunisia ibarat menyuruh seekor ayam dipaksa masuk dalam kulit telur semula. Sedangkan di Malaysia agama rasmi adalah Islam dan Majlis Raja-Raja membenarkan PAS menggunakan nama Islam pada nama PAS pada 22 Mac 2001 apabila Umno membangkitkannya selepas Pilihan Raya Umum Ke-10.

PAS bercakap tentang syariat Islam seawal ditubuhkan lagi sebelum Malaysia Merdeka dan penubuhan awal PAS atas dasar menegakkan nilai-nilai Islam yang menyeluruh di negara ini. Di sepanjang liku-liku perjuangan, PAS tetap beristiqamah dengan Islam tanpa menghiraukan cemuhan, kritikan dan hinaan dari kawan atau lawan, akhirnya dakwah PAS telah berjaya memasuki jentera kerajaan dan diterima oleh rakyat.

Hakikatnya sekarang, pimpinan parti politik atau rakyat sudah tidak berani menyebut ‘makan sup tangan di Kelantan’, ‘habis batu di jalan raya diguna untuk melontar penzina’ dan ucapan-ucapan yang menghina undang-undang Islam.

PAS juga telah buktikan dengan ruang demokrasi berjaya mengangkat keadilan undang-undang Islam di Parlimen.

Pada 26 Mei 2016, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS merangkap ahli Parlimen Marang berjaya membentangkan usul untuk mencadangkan suatu Rang Undang-undang (RUU) Ahli persendirian bernama Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan 2016) untuk meluaskan bidang kuasa mahkamah syariah yang sebelum ini lebih rendah dari Mahkamah Majistret.

Perjuangannya lama, Enakmen Jenayah Syariah Kelantan diluluskan pada tahun 1993, diugut dengan darurat oleh Tun Dr Mahathir dan selepas 23 tahun baru berjaya membuka pintu ke arah pelaksanaanya dengan meminda bidang kuasa mahkamah syariah walaupun sebahagian sahaja dapat dilaksanakan kelak. Ini adalah langkah tadaruj yang diambil oleh PAS.

Akhirnya, Gerakan Islam yang melibatkan diri dengan politik mesti mengambil pengajaran dari sirah perjuangan Nabi Muhammad SAW yang ditawarkan oleh pimpinan musyrikin Mekah dengan kekayaan dan kekuasaan tapi dengan syarat meninggalkan Islam. Maka Nabi SAW menolak tawaran tersebut dan tidak redha menang kuasa tapi Islam tidak mampu dinobatkan.

Dalam negara yang diperintah oleh sistem sekularisma, Gerakan Islam yang merupakan Gerakan Islah dan Tajdid sewajarnya mengekalkan jatidiri dan melakukan proses pendidikan kepada rakyat sehingga rakyat menerima Islam sebagai ad-deen, bukan semata-mata untuk mendapatkan kuasa dan pemerintahan tanpa Islam dapat dilaksanakan. Jalan ini  jauh dan lambat, banyak ranjau dan duri; inilah jalan para anbiya yang menjadi kewajipan kepada kita untuk terus istiqamah dengannya.

BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 28/5/2016

Share on Myspace