Selangor alu-alukan tubuh institusi pengajian Al-Quran

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor sentiasa mengalu-alukan penubuhan institusi pengajian Islam terutama pengajian dan pembelajaran Al-Quran.

Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Shafie Ngah, berkata kesungguhan itu juga diterjemah menerusi peruntukan khusus kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam Belanjawan 2016, lapor Selangor Kini.

“Kita menyedari permintaan rakyat Selangor terhadap maahad tahfiz peringkat sekolah menengah begitu tinggi sehingga tidak dapat ditampung buat masa ini.

“Maka, sasaran kerajaan negeri dalam tempoh lima tahun akan datang untuk mendirikan sekurang-kurangnya satu maahad integrasi tahfiz di setiap daerah,” katanya yang juga Adun Bangi di hadapan lebih 600 hadirin.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Ekspo Pendidikan Al-Quran dan Hari Anugerah Al-Baghdadi 2016 di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam, hari ini.

Hadir sama, Pengasas Al-Baghdadi, Jalaluddin Hassanuddin, Ketua Eksekutif Majlis Peperiksaan Malaysia, Dr Jamil Adimin dan Penolong Setiausaha Agung Kehormat PerkimERKIM, Datuk Hasbullah Lee.

Pada pembentangan Belanjawan Selangor 2016, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan peruntukan RM52 juta bagi pembinaan dua Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi (MITS) di Pandan dan Bagan Lalang.

Pada masa sama, sejumlah RM3 juta diperuntukkan bagi menaik taraf kemudahan Maahad Tahfiz Integrasi Sains ‘Darul Turoth’ di Bagan Terap.

Share on Myspace