Giatkan penerangan pepentingan Akta 355

HARAKAHDAILY | .

FAHAM, sabar, tajarrud dan kebijaksanaan menjadi asas penting kejayaan PAS melalui Tuan Guru Presiden,  Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang, membacakan usul Rang Undang-undang (RUU) Persendirian bagi meminda Akta 355 Mahkamah Syariah.

Ia bukan satu pertandingan atau persaingan politik, tapi kewajipan yang wajib dilunaskan oleh setiap orang Islam untuk dilaksanakan dalam kehidupan. Sehubungan itu, PAS telah mengambil tanggungjawab itu untuk memastikan syariat Allah tertegak secara rasmi di atas muka bumi ini khususnya Malaysia.

Tidak mudah untuk PAS sebagai wadah Islam di negara ini untuk menjayakannya dalam realiti kefahaman masyarakat dipengaruhi oleh sekularisme peninggalan penjajah.

Apatah lagi di kalangan masyarakat majmuk pelbagai agama dan bangsa yang terdedah oleh salah faham terhadap Islam dan momokan Islamophobia selama ini. Islam diletakkan di kandang pesalah, cara hidupnya digambar daif dan jumud, manakala perundangannya dilihat ekstrem.

Maka sejak dahulu PAS telah menggerakkan peranan dakwah mengembalikan masyarakat Islam kepada keaslian Islam itu sendiri dan membetulkan tuduhan yang berlegar di kalangan bukan Islam.

Bahkan PAS berhadapan cabaran memperundangkannya dalam sistem dan pentadbiran negara yang selama ini terhalang oleh kuasa politik. Hinggalah dengan secebis kuasa diperolehi PAS menerusi pemerintahan di Kelantan dan pernah di Terengganu, telah menggubal dan meluluskan enakmen berkaitan.

Ia berhasil melalui proses yang sah mengikut peruntukan dalam sistem demokrasi negara dan kini diangkat ke peringkat seterusnya iaitu Parlimen bagi membolehkan ketidakselarasannya dipinda.

Saat dibacakan di Parlimen bermakna ia telah melalui prosedur yang mesti dipatuhinya. Sekali gus menunjukkan bahawa tidak ada sebab lagi ia dihalang dari di bawa melalui saluran ini sebagaimana termaktub kaedah atau tatacaranya. Penangguhan untuk usul ini dibahaskan, bagi memberi peluang seluruh ahli parlimen bersedia dengan hujah dan medan perbincangan awam.

Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah menyeru seluruh entiti dan ahli PAS menggiatkan lagi pemahaman dan menyampaikan penerangan terperinci terhadap usaha ini. Proses lanjut dan pelaksanaan perundangan Islam itu suatu masa nanti bakal memberi impak kesejahteraan sebenar dalam negara.

Kepada Ahli Parlimen yang masih enggan mengakui perlunya usul itu disokong dan diluluskan, kami sedia mengatur sesi dialog dan penjelasan yang akan memahamkan anda. Ia sesuai dengan peranan anda yang bertanggung jawab atas kepentingan rakyat dan negara, serta paling utama dihadapan Allah SWT.

USTAZ MOHD AZAM ABD SAMAT
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah – HARAKAHDAILY 28/5/2016

Share on Myspace