Sejarah: Dewan Ulamak PAS adakan perjumpaan

HARAKAHDAILY | .

DEWAN ULAMAK PAS ADAKAN PERJUMPAAN KERANA PENUBUHAN BARISAN NASIONAL (29 MEI 1974)

PADA hari ini dalam tahun 1974, Dewan Ulamak PAS Pusat telah mengadakan satu perjumpaan yang melibatkan Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Pusat dan wakil-wakil Dewan Ulamak PAS Negeri-negeri dengan Jawatankuasa Kerja Agung PAS yang diwakili oleh Dato' Mohd Asri Haji Muda, Dato' Abu Bakar Umar, Ustaz Baharuddin Abdul Latif dan Ustaz Hassan Shukri, yang turut disertai oleh wakil-wakil Dewan Pemuda PAS Pusat dan Dewan Muslimat PAS Pusat.

Pertemuan ini adalah bertujuan untuk mendapatkan maklumat dan merungkai kekeliruan berkait dengan penyertaan PAS dalam Barisan Nasional (BN) yang bakal ditubuhkan.

Dewan Ulamak PAS Pusat pada 27 Januari 1974 mengambil pendirian bahawa harus PAS menyertai BN untuk menjayakan tujuan PAS.

Terdahulu, pada 1 Januari 1973, PAS telah membentuk Kerajaan Campuran dengan Perikatan di Kelantan, Terengganu dan Kedah, selain turut menyertai Kerajaan Pusat.

Walau bagaimanapun, dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-19 pada 21-23 September 1973, Dewan Ulamak PAS Pusat dan Dewan Pemuda PAS Pusat telah meluahkan ketidakpuasan hati mereka terhadap perlaksanaan syariat Islam dalam kerajaan, walaupun PAS telah bersuara di Parlimen supaya Islam dijadikan dasar pemerintahan negara.

Dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS ini juga, Dato' Mohd Asri Haji Muda telah membayangkan kemungkinan PAS akan menyertai gabungan politik 'National Front' yang bakal ditubuhkan.

Dalam mesyuarat parti-parti politik yang bekerjasama dengan Perikatan pada 17 Januari 1974, telah dibincangkan kemungkinan membentuk sebuah pakatan politik untuk menghadapi Pilihan Raya Umum 1974, dan PAS secara umum bersetuju menyertainya.

Ekoran itu, pada 26 Januari 1974, PAS Pusat mengarahkan Dewan Ulamak PAS Pusat membuat kajian terperinci tentang hukum PAS menyertai BN.

Di sebalik pendirian Dewan Ulamak PAS Pusat pada 27 Januari 1974 yang menyatakan "penyertaan PAS dalam barisan kebangsaan itu dengan maksud-maksud yang khusus bagi menjayakan perjuangan mengisi tujuan-tujuan PAS dapat diterima" dan dengan syarat ia tidak menghilangkan identiti PAS sebagai parti Islam, masih terdapat perkara-perkara yang tidak jelas berkait pakatan politik tersebut.

Dewan-dewan Ulamak PAS Negeri juga walaupun secara umumnya bersetuju PAS menyertai BN kerana ia "adalah strategi baru yang membuka pintu bagi PAS untuk menduduki ulil amri di semua peringkat," tetapi berlaku banyak kesamaran yang perlu diselesaikan.

Untuk menyelesaikan kesamaran ini, Dewan Ulamak PAS Pusat telah menganjurkan perjumpaan melibatkan pimpinan Dewan-dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat PAS Pusat serta Dewan-dewan Ulamak PAS Negeri dengan wakil Jawatankuasa Kerja Agung PAS.

Seramai 28 orang pimpinan Dewan Ulamak PAS termasuk wakil-wakil Dewan Pemuda dan Muslimat PAS telah hadir pada 29 Mei 1974 untuk mendengar taklimat Yang Dipertua Agung PAS sehingga semua yang hadir berpuas hati tentang erti BN yang akan ditubuhkan.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
29 Mei 2016 - HARAKAHDAILY 29/5/2016

Share on Myspace