Apakah nasib Jho Low ada kaitan nyawa politik Najib?

HARAKAHDAILY | .

Kontroversi menyelubungi pemilikan Good Star Ltd telah menimbulkan banyak tanda tanya, sebagaimana banyaknya persoalan yang tertimbul daripada keengganan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyaman Wall Street Journal (WSJ) yang dikatakan memfitnahnya.

Pengumuman PM bahawa Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Muhammad Ibrahim telah membuat laporan polis terhadap WSJ berkaitan dokumen bocor yang didakwa di bawah OSA dari BNM kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai pemilikan Good Star Ltd oleh Jho Taek Low (Jho Low) telah menimbulkan persepsi betapa seriusnya kerajaan dalam menjaga kesulitan maklumat mengenai Good Star Ltd.

Persoalannya mengapa?

Walaupun kerajaan menegaskan bahawa Good Star Ltd, yang kini sudah dibubar, adalah milik bekas rakan perniagaan 1MDB, iaitu PetroSaudi, namun bukankah pelik kalau kerajaan tidak mahu mengetahui lebih lanjut berkenaan siapa sebenarnya di sebalik Good Star Ltd berikutan adanya informasi baru?

Bukankah pendedahan mengenai siapa di belakang Good Star Ltd akan membantu menjernihkan sedikit sebanyak mengenai dana 1MDB yang hilang, terutamanya hubungan dan urus niaga 1MDB bersama PetroSaudi yang melibatkan dana sebanyak US1.83 bilion, di mana US1.03 bilion daripada jumlah itu telah disalurkan kepada Good Star Ltd?

Sehingga hari ini, rakyat masih tertanya-tanya apakah peranan Jho Low sebenarnya dalam skandal kewangan 1MDB?

Dengan penyiasatan yang dijalankan di merata dunia, apakah akan terdedah hubungan Jho Low dengan 1MDB dan juga PM juga akan terbongkar satu hari nanti? Apakah nasib Jho Low ada kaitan dengan dengan nasib politik PM?

Bukan itu sahaja, rakyat juga tertanya-tanya di manakah suara PM apabila mengetahui Singapura melalui bank sentral telah memerintahkan penutupan unit bank swasta Swiss BSI yang digunakan 1MDB untuk menyimpan aset-aset dalam bentuk ‘unit’ yang melibatkan pelaburan 1MDB di Kepulauan Cayman bernilai hampir USD0.94 bilion?

Sebagai PM dan juga Menteri Kewangan, bukankah wajar Najib mengambil berat terhadap kehilangan USD0.94 bilion ini sebagaimana beliau kelihatan mengambil berat mengenai kebocoran dokumen mengenai Good Star Ltd?

Apakah kerana 1MDB telah membayar denda yang dikenakan oleh BNM atas kegagalan menghantar balik wang yang dikirim ke luar negara berikutan pembatalan tiga kelulusan yang diberikan oleh BNM kepada 1MDB masing-masing pada 2009, 2010 dan 2011, maka unit-unit pelaburan yang terletak di BSI Singapura boleh dilupakan begitu sahaja?

Masih terlalu banyak misteri di belakang isu 1MDB yang jawapannya terus dinanti rakyat.
 
Isu 1MDB ini tentu akan menjadi salah satu topik perbincangan dalam kehangatan kempen PRK nanti.

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
29 Mei 2016 - HARAKAHDAILY 29/5/2016

Share on Myspace