Persiapan Muktamar Tahunan PAS ke-62 lancar

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Persiapan Muktamar Tahunan PAS ke-62 yang akan diadakan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) bermula 1 Jun ini kini telah melepasi 85 peratus.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, persiapan itu  termasuk billboard, pentas, bunting di tiang elektrik yang diletakkan di jalan-jalan utama dan sekitar bandar ini.

“Kita menyediakan sebanyak 2,000 keping bendera, banner panjang, 20 billboard yang diletakkan di andar-bandar utama dan pintu masuk seluruh Kelantan,” ujarnya.

Takiyuddin seterusnya memberitahu, pada 1 Jun iaitu hari Rabu akan diadakan amanat Presiden PAS di Dewan Jubli Perak bermula jam 9.00 malam.

Beliau bagaimanapun berkata, program itu tertutup dan hanya  perwakilan seramai 1,188 orang dan dua orang pemerhati khas mewakili 192 kawasan dari seluruh negeri sahaja yang boleh hadir.

Takiyuddin berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau persiapan tempat muktamar di Putik, Pengkalan Chepa hari ini.

Sebelum itu, katanya majlis makan malam yang diraikan oleh Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob akan diadakan di padang hoki Kota Bharu.

“Tempat ini memudahkan perwkilan yang baru sampai, boleh terus ke padang hoki dan seterusnya masuk ke Dewan Jebli Perak selepas makan malam,” sambungnya.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Kota Bharu seterusnya memberitahu, perasmian muktamar akan berlangsung di Putik pada 2 Jun.

Katanya, muktamar akan terus berjalan pada hari tersebut juga selepas jamuan tengah hari di pekarangan Putik.

“Dijangka 5,000 orang akan diraikan oleh PAS Pusat dalam jamuan makan tengah hari,”ujarnya.

Menurutnya muktmar akan terus bersambung pada sebelah malamnya dan berakhir pada 3 Jun.

Bagi memeriahkan majlis Karnival Fastaqim sempena muktamar akan dianjurkan bermula 31 Mei pada sebelah malam di pentas khas di pekarangan Putik.

“Walaupun muktamar bermula, orang ramai berpeluang mengikuti persembahan tersebut di samping membeli belah di samping melawat pameran yang disediakan,” ujarnya.

Majlis itu akan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan negeri, Datuk Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman.

Katanya, orang ramai dapat menikmati persembahan istimewa itu seperti kumpulan Hijjaz, Ar-Rasy, Ijam Medicine, Iwan, Megat Nordin dan lain-lain.

“Pada malam kedua, diadakan persembahan konsert artis-artis hijrah,” ujarnya.

“Malam ketiga, pentas berkenaan akan diadakan Wacana Almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat,” ujarnya.

Katanya, antara tetamu istimewa yang diundang ialah Pak Subky Latif, Mustpha Kamal, Abby Abadi dan Bob Lokman.

Sehubungan itu, beliau menjemput orang ramai memeriah acara itu di samping membeli belah di gerai jualan yang disediakan yang terbuka untuk semua. - HARAKAHDAILY 29/5/2016

Share on Myspace