Hayati kehidupan Almarhum Tok Guru elak pembaziran

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Keperibadian Almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat wajar dijadikan contoh dalam mengelak gejala pembaziran dalam kehidupan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor, Amirudin Shari, berkata bekas Menteri Besar Kelantan itu amat cermat menggunakan keperluan asas seperti air dan elektrik.

“Jika beliau meninggalkan pejabat, lampu segera dipadam. Amalan itu kini menjadi ikutan dalam kalangan anggota pentadbiran di pejabat SUK terutama pada jam 1 petang ketika ramai keluar untuk makan tengah hari.

“Ketika mengambil wuduk, Almarhum menadah air di tangan, kemudian pili air dimatikan dan dibuka semula untuk bahagian lain dan seterusnya,” katanya dipetik Selangor Kini.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Ibu dan Ihya Ramadan peringkat Dun Batu Caves dan Parlimen Gombak, hari ini.

Pada masa sama, beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Caves menggesa kaum wanita dan ibu memainkan peranan memastikan tiada pembaziran di rumah.

“Selaras dengan program kerajaan negeri Jom Jimat Air, saya harap kaum ibu di sini lebih peka.

“Jangan ada sampai terlupa menutup pili air dan membiarkan pembaziran sedangkan air adalah sumber penting yang seharusnya dijaga dengan baik,” katanya.

Share on Myspace