Muktamar PAS ke-62 dimula dengan Amanat Presiden

RIZAL TAHIR | .

KOTA BHARU: Pada muktamar kali ini PAS memperkenalkan program Amanat Presiden PAS dan Taklimat Setiausaha Agung. Ia diadakan pada malam 1 Jun sebelum berlangsung muktamar penuh.

Perubahan itu merupakan format baru yang mulai diperkenalkan pada muktamar tahun ini.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata, program berkenaan akan bermula jam 8.45 malam di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam.

“Program ini tidak pernah diadakan sebelum ini. Ia diadakan secara tertutup, hanya untuk perwakilan sahaja dibenar mengikutinya,” katanya pada persidangan media di Putik hari ini.

Menurutnya amanat presiden dan taklimat itu akan memfokus perkara-perkara berkaitan pentadbiran dalaman yang mana sebelum ini disebut dalam ucapan dasar presiden.

Kata beliau kaedah baru diperkenalkan setelah Pejabat Agung menerima maklum balas orang ramai di mana mereka menganggap ucapan dasar presiden agak lama sebelum ini.

Beliau juga berkata dijangka seramai 1,500 pewakilan yang mewakili kawasan dari seluruh negara dan dewan-dewan menghadiri muktamar tahun ini.

“Tahun ini ada pertambahan perwakilan berbanding tahun lepas iaitu seramai 1,162 orang,” katanya.

Polisi yang ditetapkan sebelum ini iaitu perwakilan minimum empat orang dan maksimum 10 orang.

“Formulanya sekiranya keahlian PAS kawasan seramai 2,000 orang ke bawah boleh hantar wakil sekurang-kurangnya empat perwakilan.

“Dan setiap pertambahan 1,000 lagi orang ahli di kawasan, boleh tambah seorang lagi perwakilan. Ini menunjukan secara tidak langsung keahlian PAS semakin bertambah,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 30/5/2016

Share on Myspace