CAP gesa pelaksanaan pembungkusan kosong

SM MOHAMED IDRIS | .

Sejak Malaysia melaksanakan amaran kesihatan bergambar (PHW) pada kotak rokok sejak Jun 2009, Kajian Tembakau Dewasa Global (GATS), Malaysia, melaporkan bahawa 92.8 peratus perokok semasa (93.2 peratus lelaki dan 74.7 peratus wanita) menyedari amaran kesihatan pada kotak. Ia menunjukkan PHW berkesan memadangkan ia juga ditemui di negara lain yang melaksanakannya.

PHW melaksanakannya selaras dengan Artikel 11Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Malaysia merupakan sebuah negara anggota FCTC selepas menandatangani perjanjian pada 23 September 2003 dan meratifikasinya pada 16 September 2005. FCTC memberikan garis panduan dan pemangkin bagi Malaysia untuk melaksanakan langkah kawalan tembakau.

Pada masa ini kotak rokok di Malaysia membawa PHW yang meliputi 50 peratus pada bahagian depan kotak dan 60 peratus pada bahagian belakang kotak. Bagaimanapun, industri tembakau masih mampu untuk menggunakan fon dan rekabentuk menarik untuk mengisi baki ruang yang didapati pada kotak rokok dalam usaha untuk ‘mencairkan’ kesan PHW serta menggunakannya sebagai promosi.

Australia adalah negara pertama untuk mengambil Artikel 11 FCTC dengan langkah yang selanjutnya dengan melaksanakan pembungkusan kosong berkuatkuasa dari Disember 2012. Dengan ini bermakna pengeluar rokok hanya boleh mencetak perisa dan nama jenama dalam saiz, fon dan tempat yang dimandatkan pada kotak di samping PHW dan maklumat sah lain yang dimandatkan contohnya unsur toksik dan setem cukai berbayar. Penampilan semua kotak adalah standard dan ini termasuk warna.      

Hasil Australia memperkenalkan pembungkusan kosong ialah antara 2010 dan 2013 kadar merokok jatuh kepada 12.8 peratus dari 15.1 peratus bagi mereka berusia 14 tahun dan ke atas. Ia menunjukkan undang-undang pembungkusan kosong yang dikuatkuasakan pada Disember 2012 serta peningkatan cukai 25 peratus pada 2010 membantu mengurangkan kadar merokok di Australia.

Pada bulan ini, Mei 2016, Perancis, United Kingdom, dan Ireland memperkenalkan kotak kosong, selaras dengan tema Hari Tanpa Tembakau Sedunia tahun ini: “Bersedia untuk pembungkusan kosong”. Sementara itu dalam kalangan Persatuan Negara Asia Tenggara (ASEAN) Malaysia, Thailand dan Singapura bekerjasama ke arah melaksanakan pembungkusan kosong. Jika mereka berjaya melakukannya, maka ia akan menjadi satu pencapaian dalam membawa Artikel 11 FCTC ke tahap baru.

Syarikat tembakau telah menggunakan kotak rokok untuk mempopularkan produk mereka dan untuk menarik pengguna kepada tabiat berbahaya dan menagihkan. Adalah dianggarkan bahawa satu dalam dua perokok jangka panjang akan mati akibat penyakit berkaitan merokok dan ironinya merokok penyebab penyakit dan kematian terbesar yang boleh dicegah. Ia mestilah ditekankan bahawa merokok membahayakan hampir semua organ dalam tubuh, penyebab banyak penyakit dan mengurangkan kesihatan perokok pada umumnya.

Penyakit berkaitan merokok membunuh kira-kira 10,00 (atau 1 dalam 4) rakyat Malaysia setiap tahun. Ini bersamaan memiliki 250 buah bas yang setiap satu membawa 40 penumpang, terlibat dalam kemalangan dan membunuh semua penumpangnya pada setiap tahun di Malaysia.   

Jika seseorang itu merokok sekotak yang berharga RM17 sehari, beliau perlu membelanjakan RM510  untuk 30 hari. Ia merupakan 34% daripada gajinya jika beliau berpendapatan RM1,500. 34% perbelanjaan bagi merokok mempunyai kesan drastik ke atas belanjawan keluarga, menafikan keluarga daripada apa yang sepatutnya dibelanjakan ke atas makanan sihat dan keperluan penting lain.

Penglibatan dalam tabiat merokok produk berbahaya yang membazir juga mempunyai implikasi yang lebih serius. Adalah dianggarkan pada 2005, RM2.92 bilion telah dibelanjakan oleh kerajaan untuk merawat hanya tiga daripada penyakit berkaitan merokok utama. Bagi majikan pula, kehilangan jam bekerja menjejaskan produktiviti kerja apabila mereka menghidap penyakit berkaitan merokok di samping syarikat juga terpaksa membayar rawatan perubatan dan kemasukan ke hospital. Keluarga mereka juga terpaksa menanggung beban bil perubatan dan kehilangan sumber pendapatan apabila mereka mati.

Tambahan lagi, ahli keluarga mereka juga mungkin mendapat penyakit berkaitan merokok akibat menyedut asap pasif atau racun daripada asap rokok yang terkumpul pada dinding rumah mereka.

Sehubungan itu, CAP menggesa jalan ke hadapan dalam kawalan tembakau di Malaysia ialah dengan pelaksanaan pembungkusan kosong sebagai satu cara untuk memberikan pembungkusan produk tembakau tidak menarik, terutama sekali kepada wanita dan belia. Amat jelas sekali industri tembakau mensasarkan golongan belia kerana mereka memerlukan pengganti bagi menggantikan perokok yang sudah mati. - HARAKAHDAILY 30/5/2016
 
Penulis ialah Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Share on Myspace