Orang Asal gembira terima kunjungan Dr Najihah

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Orang Asal di Kampung Bekor, Manong gembira menerima kunjungan calon PAS bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, Dr Najihatussalehah Ahmad.

Wakil penduduk, Pandak Uda Bada, 50, berkata Dr Najihatussalehah  seorang yang peramah dan mudah didekati.

“Kami sangat gembira kerana Dr (Najihah) seorang yang peramah, mudah didekati dan mesra dengan orang ramai. Dia tak kekok bergaul dengan kami,” ujarnya dipetik Buletin Online.

Pemuda kampung tersebut Bahsi Uda, 27, berkata, beliau akan memberikan sokongan kepada calon PAS pada pilihan raya yang akan diadakan 18 Jun depan.

“Saya akan memberi sokongan kepada Dr (Najihah),” katanya.

Sehubungan itu, Timbalan Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu yakin dapat meningkatkan undi dari kalangan Orang Asal dalam daerah mengundi (UPU) Bekor.

"Insya Allah, berdasarkan sambutan dari para penduduk kepada program-program yang dianjurkan, saya yakin PAS dapat peningkatan undi di sini.

"Kita melakukan aktiviti ziarah dan mengadakan perlawanan persahabatan di antara pemuda Kampung Bekor dengan para petugas dari negeri Terengganu,” jelasnya.

Kerusi Kuala Kangsar kosong kerana penyandang, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

SPR mengumumkan PRK Parlimen Kuala Kangsar diadakan pada 18 Jun sementara penamaan calon 5 Jun.

Share on Myspace