Tiada petisyen pemilihan muktamar tahun lepas

RIZAL TAHIR | .

KOTA BHARU: Sehingga sekarang PAS belum menerima petisyen daripada mana-mana pihak yang tidak berpuas hati terhadap keputusan pemilihan pada Muktamar Tahunan ke-61, tahun lepas.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, sehingga hari ini tiada walaupun satu petisyen tidak puas hati berkaitan keputusan pemilihan tersebut.

“Ketika itu saya sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan. Jadi saya boleh mengesahkan tiada petisyen berkaitannya sehingga sekarang,” katanya di sini.

Muktamar ke-61 di Kuala Selangor tahun lepas menyaksikan sebahagian pemimpin PAS yang tewas pada pemilihan tersebut menubuh parti baharu.

Takiyuddin juga berkata pada muktamar kali ini PAS tidak menyekat mana-mana perwakilan untuk membawa dan membahaskan apa-apa sahaja usul selagi mematuhi peruntukan perlembagaan.

“Di dalam perlembagaan kita ada ada yang boleh kita lakukan dan tidak boleh. Perlu dielak melakukan satu-satu tindakan yang menyalahi peraturan dan merugikan parti,” ujarnya.

Beliau juga menjangka muktamar kali ini tiada isu atau usul panas akan dibawa perwakilan.

Menurutnya juga beberapa tetamu luar negara diundang pada perasmian muktamar tersebut termasuk dari Turki, Palestin, Indonesia dan Thailand.

Selain itu, perwakilan PAS luar negara kalangan pelajar dan rakyat Malaysia yang bekerja di negara asing juga akan menyertai muktamar kali ini.

“Kita juga menjemput PKR, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Parti Cinta Malaysia (PCM) dan NGO seperti Perkasa dan Kongres Rakyat,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 30/5/2016

Share on Myspace