Pengkritik tidak faham tujuan sebenar RUU Persendirian

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Usaha Kerajaan Kelantan bagi meminda Akta 355 untuk membolehkan bidang kuasa Mahkamah Syariah setanding dengan Mahkamah Majistret.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, kedudukan Mahkamah Syariah sekarang lebih rendah berbanding Mahkamah Majistret.

Katanya, usul yang dibawa Anggota Parlimen Marang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk memartabatkan Mahkamah Syariah.

“Sekarang kesalahan yang boleh diputuskan di Mahkamah Syariah paling tinggi hanya tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan sebat enam rotan,” katanya di sini.

Sebelum itu, beliau merasmikan majlis penyerahan kunci rumah 43 unit rumah teres dua tingkat (fasa 9) dan pelancaran 26 unit rumah kedai dua tingkat fasa 11 Taman Kurnia Jaya dekat sini, hari ini.

Khamis lepas, anggota parlimen Marang mengemukakan usul rang undang-undang (RUU) persendirian bagi meminda Akta 355 (bidang kuasa Mahkamah Syariah).

Mohd Amar juga berkata bidang kuasa Mahkamah Majistret boleh mengenakan denda sehingga puluhan ribu ringgit.

“Kalau benar Malaysia negara Islam sepatutnya denda terhadap pesalah di Mahkamah Syariah lebih besar,” ujarnya.

Beliau juga menyifatkan pihak mengkritik RUU itu sebagai tidak memahami tujuan sebenar berkaitan usul tersebut dikemukakan di parlimen.

Katanya juga kerajaan dicadang menggunakan ruang bagi memberi penjelasan kepada orang ramai berkaitan RUU bagi meminda Akta 355.

“Kerajaan juga boleh menjemput ahli akademik untuk memberi  penerangan sama ada dalam bentuk wacana dan sebagainya,” tambahnya. - HARAKAHDAILY 30/5/2016

Share on Myspace