Muslim terbaik tanpa musibah?

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | .

Tidak ada muslim terbaik melainkan dia akan berhadapan musibah!

Begitulah kehendak Allah demi menjulang hamba-Nya yang sabar mendepani musibah ke darjat yang tertinggi. Hamba-Nya itu akan mengungguli seluruh para hamba-Nya yang lain yang soleh, tetapi tidak sabar.

Begitulah persaingan dan perlumbaan menuju Allah. Ia berakhir dengan ujian dan musibah daripada-Nya. Kemudian keunggulan dan ketinggian itu akan menjadi milik mereka yang dianugerahi sifat sabar di dalam menghadapinya.

يَا بُنَيَّ أَقِمِ الصَّلَاةَ وَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ وَانْهَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَاصْبِرْ عَلَىٰ مَا أَصَابَكَ ۖ إِنَّ ذَٰلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ

"Wahai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah kepada perkara yang makruf (baik) dan tegahlah daripada perkara yang munkar dan sabarlah di atas musibah yang menimpa-mu. Sesungguhnya itu adalah daripada perkara-perkara yang agung." (Surah Luqman: 17)

Mahu menjadi muslim terbaik?

Janganlah berangan-angan jika kamu tidak bersedia berhadapan musibah di hadapan. Jika mahu, maka bersedialah dengan memohon sifat sabar daripada Allah.

رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانْصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

"Tuhan kami, limpahilah kami dengan kesabaran dan perteguhkanlah kaki kami dan tolonglah kami ke atas kaum yang kufur." (Surah Al-Baqarah: 250) - HARAKAHDAILY 30/5/2016

Share on Myspace