Projek talian elektrik: Selangor tubuh JK pemantau

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Selangor menubuhkan kumpulan jawatankuasa pemantau bagi memastikan isu pembinaan Projek Penghantaran Talian Elektrik 275/132 Taman Cheras Hartamas ke PMU Mahkota Cheras mengikut piawaian ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani negeri, Zaidy Abdul Talib, berkata ketetapan itu diambil agar tidak timbul sebarang pertikaian antara penduduk dan pihak berkuasa berhubung pembinaan projek berkenaan.

Katanya, kerajaan negeri memastikan TNB sentiasa mematuhi peraturan dan piawaian digariskan mengikut peruntukan Seksyen 15 Akta Bekalan Elektrik 1990 khususnya berkaitan dengan jarak dan kelebaran Right of Way (ROW).

“Kerajaan negeri mendapatkan ulasan MPAJ dan MPKj berkenaan laluan masuk (projek) tersebut serta memastikan TNB mematuhi syarat ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk jaminan keselamatan penduduk dan pengguna jalan raya,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, penduduk juga mempertikaikan isu pemasangan paip air Syabas di berhampiran rentis talian TNB yang memungkinkan paip air mengalirkan caj elektrik.

Justeru, jelas beliau kerajaan negeri mengambil maklum perkara ini dan proses penerangan kepada wakil penduduk dijalankan untuk menjelaskan perkara sebenar.

“Pihak kerajaan akan memberikan ulasan kepada penduduk berkaitan jajaran penghantaran talian elektrik diluluskan dan juga cadangan balas pihak penduduk,” katanya lagi.

Pada 26 Mei lalu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer itu turun padang bagi meninjau permasalahan dibangkitkan penduduk di kawasan.

Hadir sama, ADN Teratai, Tiew Way Keng, Pegawai MPAJ, MPKj, Ahli Majlis, wakil Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan wakil Persatuan Penduduk Taman Cheras Hartamas.

Share on Myspace