Kelantan hargai jasa anak perantau

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Sebelum ini sentimen mahu memindahkan tempat mengundi kalangan anak-anak perantau begitu hangat diperkatakan di media baru.

Sentimen itu bermula selepas Adun Salor, Datuk Husam Musa tidak lagi dilantik sebagai anggota Exco kerajaan negeri.

Luahan mereka acap kali ditemui di laman sosial. Bagaimanapun fenomena itu tidak lagi kedengaran sekarang.

Pengundi luar menjadi penyumbang penting bagi mempertahankan kerajaan negeri di bawah kepimpinan ulama sejak 1990 sehingga sekarang.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata semakin lama bertambah ramai anak perantau memahami apa yang sebenarnya berlaku di Kelantan.

“Saya yakin pengundi yang tinggal di luar merupakan anak-anak Kelantan yang cerdik. Mereka sentiasa mencari kebenaran.

“Pada peringkat awal memang tidak dapat dinafikan berlaku kerana emosi setelah pemimpin yang mereka kenali tidak dilantik sebagai anggota Exco selepas pilihan raya umum lepas,” katanya di sini.

Che Abdullah juga berkata PAS dan kerajaan negeri amat menghargai sumbangan anak-anak perantau bagi membangunkan Kelantan bersama fikrah politik Islam. - HARAKAHDAILY 31/5/2016

Share on Myspace