Pemuda PAS Bertekad Melebar Muafakat

HARAKAHDAILY | .

"Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk." (Ali Imran: 103)

Muktamar Penuh Gemilang

Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) kali ke-57 telah dirasmikan dengan penuh gemilang. Kepimpinan utama DPPM segak mengenakan busana dan tanjak tradisional Melayu, di samping diserikan dengan pelbagai persembahan dan anugerah yang penuh bermakna.

Muktamar yang berlangsung di Kota Bharu Bandaraya Islam pada tahun ini mengangkat tema ‘Bertekad Melebar Muafakat’, bagi menegaskan betapa pentingnya Pemuda PAS terus mara melebarkan agenda #MuafakatRakyat dan meneraju agenda #PolitikSolusi berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah, setelah berjaya melepasi fasa  #PengukuhanDalaman.

Di samping itu, pemilihan logo muktamar yang berbentuk ‘Rebana’ adalah simbolik kepada kesepakatan paluan bagi menyemarakkan semangat juang yang tinggi, agar setiap Pemuda PAS seiring-selangkah bersama rakyat untuk terus mara menuju ke gerbang jasa dan kemenangan yang dijanjikan oleh Allah SWT.

Bersesuaian dengan citra anak muda masa kini yang gemarkan perbincangan secara santai dan ‘trendy’, YB Ustaz Nik Mohamad Abduh telah menggunakan beberapa #hashtag dalam menegaskan harapan dan agenda bertindak beliau kepada seluruh Pemuda PAS. Intipati ucaptama beliau mengandungi tiga elemen penting berikut, iaitu pertama “Cita-Cita Kita Bersama”, kedua “Kefahaman Kita Bersama”, dan ketiga “Tindakan Kita Bersama”.
 
Pertama: Cita-Cita Kita Bersama (#OurVision)

Sebagai permulaan, YB Ustaz Nik Abduh berkongsi tiga impian beliau untuk disambut oleh seluruh Pemuda PAS.

Pertama, Pemuda PAS berperanan besar bagi merealisasikan cita-cita murni bagi membentuk sebuah negara model berasaskan cara hidup Islam yang digagaskan PAS, melalui sebuah perancangan strategik yang dinamakan sebagai Wawasan Induk Negara (#WIN). Perancangan jangka masa panjang ini, bermula dengan fasa mendapatkan mandat rakyat melalui pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (#BPMS), diikuti fasa Penyelesaian Permasalahan Utama Negara, seterusnya fasa Pembangunan Negara Model dan Mengeksport Malaysia ke persada antarabangsa.

Kedua, YB Ustaz Nik Abduh mengemukakan gagasan #MuafakatRakyat yang perlu dijuarai oleh Pemuda PAS, bertunjangkan agenda kolektif di atas kebenaran demi kepentingan rakyat. Berperanan besar untuk menamatkan kebergantungan rakyat kepada satu pihak sehingga menjadikan pihak tersebut angkuh dengan dominasi mereka, setiap perubahan perlulah bersifat institusional dan menyeluruh, bukan sekadar menjatuhkan individu tertentu.

Ketiga, cita-cita besar bagi membebaskan Masjidil-Aqsa dengan memanfaatkan segala mekanisma yang ada ke arah kemenangan dan pembebasan bumi Palestin yang tercinta (#WaQudsah) dan seterusnya memainkan peranan untuk mewujudkan keamanan dunia dan serantau (#DuniaAman).

Kedua: Kefahaman Kita Bersama (#OurBelief)

Sebagai penghubung di antara cita-cita dan tindakan, YB Ustaz Nik Abduh menggariskan tiga elemen yang perlu difahami dan disepakati oleh setiap Pemuda PAS.

Pertama, beliau menegaskan bahawa seluruh Pemuda PAS wajib mempertahankan gagasan Kepimpinan Ulama’ yang telah dirintis oleh pimpinan terdahulu, dengan menggiatkan Pembudayaan Ilmu di kalangan ahli bagi menjamin kelestariannya.

Kedua, seiring dengan usaha untuk mentransformasi imej PAS, Pemuda PAS perlu bergerak berasaskan kaedah penyelesaian Islam. Dalam mengemukakan kritikan terhadap dasar kerajaan, Pemuda PAS telah mengambil ketetapan bahawa setiap kenyataan akhbar dan memorandum yang dikeluarkan oleh kepimpinan DPPM perlu mengandungi cadangan penyelesaian mengikut prinsip Islam dan meletakkan kepentingan rakyat di hadapan.

Pada masa yang sama, beliau menegaskan bahawa tohmahan kononnya PAS 'merestui' kezaliman UMNO malah mahu bergabung dengan UMNO/BN adalah fitnah yang tidak berasas. PAS konsisten menentang kezaliman yang berlaku dalam negara - perkara yang benar akan disokong, perkara yang salah akan tetap ditentang.

Ketiga, YB Ustaz Nik Abduh memperkemaskan komitmen dan iltizam PAS yang sangat beransur (tadarruj) dalam agenda pelaksanaan Undang-Undang Syariah, mengikut kerangka Demokrasi Berperlembagaan di Malaysia (#SyariahBerperlembagaan). Dalam hal ini, Pemuda PAS berpendirian bahawa Kerajaan Kelantan wajib melaksanaan agenda ini dengan penuh berhikmah di atas mandat yang diberikan rakyat. Terbaharu, tanggal 26 Mei 2016 telah menyaksikan Presiden PAS telah berjaya melunaskan tanggungjawab yang besar ini untuk membentangkannya di Dewan Rakyat.

Justeru seluruh Pemuda PAS diarahkan untuk mengambil segala usaha ke arah memberikan kefahaman kepada anak muda dan rakyat Malaysia terhadap keindahan Syariat Islam (#IndahnyaISLAM), seterusnya menyeru seluruh Ahli Parlimen untuk membahaskan dan meluluskan Rang Undang-Undang ini dengan penuh adab dan keilmuan yang tinggi, ke arah pelaksanaan keadilan Islam di bumi Malaysia yang bertuah ini.

Ketiga: Tindakan Kita Bersama (#OurAction)

Sebagai agenda tindakan bersama, YB Ustaz Nik Abduh telah mengarahkan seluruh Pemuda PAS untuk melaksanakan empat langkah utama berikut:

Pertama, memperkasa organisasi. Tiga sektor utama bagi merealisasikan misi ini adalah sektor Tarbiyah dan Perkaderan, Dakwah dan Anak Muda, serta Politik dan Pilihanraya. Di samping itu, beliau berhasrat untuk melihat lebih ramai figura anak muda PAS yang mempunyai pelbagai kepakaran untuk ditampilkan ke hadapan melalui kehebatan idea dan keterampilan agar terus menyinar bagaikan permata buat ummah.

Kedua, memperkemas sistem tarbiah dan pembinaan kompetensi. Pemuda PAS perlu memperbaiki kelangsungan program tarbiyah di semua peringkat, seterusnya memberi nilai tambah dalam aspek silibus, kompetensi nuqaba’, dan pemantauan pelaksanaan. Selain itu, agenda tarbiah mesti diselaraskan dengan baik berhubung aspek perkaderan pelapis dan pembangunan kompetensi bagi melengkapi elemen #Al-QawiyyAl-Amin sebagai pelapis kepada kepimpinan PAS dan negara kelak.

Ketiga, menjuarai hubungan anak muda. Pemuda PAS perlu memahami uslub dan sasaran dakwah, di samping memanfaatkan platform sentuhan dakwah (#touchpoint) untuk kita santuni generasi muda negara. Masih banyak ruang yang perlu diterokai (#untappedmarket) demi untuk berinteraksi dan membawa budaya yang berfaedah dalam ruang sosial anak muda. Penganjuran program TehTarikForMalaysia (#TT4M) perlu diperluaskan supaya isu penting negara dibincang secara santai dan berilmiah bersama anak muda. Selain itu, pembentukan Jabatan DHPP Muda diharapkan dapat menjadi jambatan untuk menarik sokongan golongan muda bukan-Islam terhadap perjuangan PAS.

Keempat, menguasai pengundi muda. Dalam aspek pendidikan politik anak muda, Pemuda PAS perlu memahami psikologi politik anak muda Melayu di bandar dan luar bandar, di samping menguasai segmen pengundi atas pagar. Manakala dalam aspek memenangi pilihanraya, pembinaan keterampilan tokoh pemimpin muda perlu bergerak seiring dengan persiapan jentera pilihanraya, dengan sasaran penguasaan 60% undi anak muda di setiap Parlimen dan DUN yang ditandingi pada PRU14 kelak insyaAllah.

Di samping itu, YB Ustaz Nik Abduh memberikan ikrar dan janji bahawa seluruh Pemuda PAS akan mengambil seribu satu langkah bagi memastikan kemenangan berpihak kepada PAS dalam PRU akan datang, sekiranya pucuk pimpinan parti mengambil satu langkah berani untuk mengambil kembali kerusi yang selama ini ‘dipinjamkan’ kepada PKR dan DAP dalam PRU yang lepas (#OpsKembali).

Agenda Bertindak

Sebagai penutup, YB Ustaz Nik Abduh merakamkan setinggi penghargaan kepada seluruh saf kepimpinan DPPM (#TeamPemuda) dalam membantu beliau mengemudi sayap penting Jamaah ini, seterusnya menyeru seluruh Pemuda PAS mengambil lima tindakan berikut: iaitu pertama, mengukuhkan kebergantungan kepada Allah SWT (#PemudaIkhlas); kedua memantapkan tarbiyah ahli dan kepimpinan (#TarbiahMantap); ketiga merapatkan ukhuwwah dan saf perjuangan (#JalinUkhuwwah); keempat melebarkan muafakat daripada Pemuda PAS kepada rakyat Malaysia (#MuafakatRakyat); dan kelima mengukuhkan peranan Pemuda PAS di peringkat antarabangsa (#DuniaAman).

Jikalau kekanda mengangkat peti, pastikan benar muatnya barang;
Jikalau Pemuda bersatu hati, kerja yang sukar menjadi senang.

SYAHIR SULAIMAN
Pengarah Strategi DPPM
31 Mei 2016 - HARAKAHDAILY 31/5/2016

Share on Myspace