Umat Islam akan bangkit

NASRUDIN HASSAN | .

Pahat sejarah pasti mengukir nama YB Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selaku Ahli Parlimen Marang yang telah membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian untuk meminda Akta 355 berkait bidang kuasa mahkamah syariah di Parlimen pada 26 Mei 2016 bersamaan 19 Sya'ban 1437 (Khamis) yang lalu.

Ukiran sejarah ini bukanlah semata-mata merakamkan detik pembentangan Rang Undang-Undang Persendirian Ahli Parlimen Marang tetapi apa yang lebih penting dan menakjubkan ialah detik ini turut menyaksikan bibit-bibit kesedaran dan keberanian bersuara ummat Islam dari segenap lapisan masyarakat tanpa lagi menghirau sempadan parti politik dan bangsa.

Terutama apabila ummat Islam menyaksikan bagaimana "menggelijat"nya musuh-musuh Islam sebaik sahaja isu pindaan Akta 355 ini terpampang disemua dada akhbar dan media tanah air. Ada yang sampai tahap "menggelupur" bagai terkena "sawan tarik". Mereka disampuk histeria politik.

Terpekik terlolong tidak ketentuan hala dalam keadaan mereka sendiri tidak jelas betul duduk isu sebenar atau sengaja mereka mahu mempamerkan sikap anti Islam kepada umum.

Alhamdulillah segala puji bagi Allah swt, atas ketentuan dan kehendakNya jua, ummat Islam mula celik mata dan mengenali satu persatu siapakah yang tebal sikap permusuhan mereka terhadap Islam, siapa pula yang mengaku muslim tapi bersekongkol dengan musuh Islam.

Manakan tidak, baru sahaja PAS mengusulkan pindaan Akta 355, ke arah memperkasakan Institusi Mahkamah Syariah yang hanya melibatkan urusan ummat Islam, pula merealisasikan titah Yang di-Pertuan Agong agar Mahkamah Syariah negara ini diperkasakan, mereka tidak menunggu lama untuk terus membantah keras hasrat murni ini.

DAP, MCA, MIC dan sebahagian parti-parti lain yang menunjuk sikap anti Islam sama ada dari blok pembangkang mahupun pemerintah bersatu suara dan berpadu tenaga mahu menghalang usaha mempertingkatkan kedudukan Islam di bumi bertuah ini, sedang perlembagaan Malaysia telah menetapkan bahawa Islam sememangnya  Agama Persekutuan dan agama-agama lain bebas diamalkan.

Nampaknya apa yang berlaku, sementara agama lain bebas diamalkan, agama Islam pula terhalang dan cuba dihalang daripada mengambil kedudukan yang selayaknya sebagai agama yang tinggi dan tiada yang tinggi mengatasinya, sama ada di sisi perlembagaan negara apatah lagi di sisi Allah swt.

Sabda Rasulullah SAW:

الإسلامُ يَعْلُوْ و لا يُعْلَى عَلَيْهِ

Islam adalah tinggi dan tiada yang lebih tinggi mengatasinya. (Riwayat Ad Daaruquthni dan Al Baihaqi)

Umat Islam selayaknya bersatu dalam mempertahan dan memperjuangkan Islam agar ia tegak di atas tanah air tercinta dan tidak lagi boleh dipersenda oleh musuh durjana. Inilah yang diperintah oleh Allah swt:

 أَنْ أَقِيمُوا الدِّينَ وَلَا تَتَفَرَّقُوا فِيهِ

"Bahawa kamu berjuang menegakkan agama dan jangan sekali-kali kamu berpecah belah padanya." (Surah Asy Syura: Ayat 13)

Detik ini adalah tika dan masa yang paling sesuai dan tepat untuk umat Islam bangkit. Saat mereka bersatu dan berpadu menyerang Islam, tidak mungkin ummat Islam masih leka berpeluk tubuh. Mereka boleh bersatu untuk menghalang usaha Islam tanpa peduli sempadan parti, kenapa pula kita teragak-agak untuk bersatu hanya kerana pelbagai sempadan yang memisahkan kita, sedang kita memiliki Tuhan yang satu, Kitab Al Quran yang satu, arah kiblat yang satu dan bersaksi syahadah yang sama iaitu لا إله إلا الله محمد رسول الله

Bangkitlah wahai Ummat Islam
Kembali kepada Islam dan pertahankannya
Usah berpecah lagi! - HARAKAHDAILY 31/5/2016

Share on Myspace