Bertekad Melebar Muafakat

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | .

UCAPTAMA KETUA DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
MUKTAMAR TAHUNAN DPPM KALI KE-57 1437H/2016M

BERTEKAD MELEBAR MUAFAKAT

Saya ucapkan Ahlan Wa Sahlan Wa Marhaban Bikum, selamat datang dan selamat bermuktamar, kepada semua para perwakilan, pemerhati dan tetamu yang memeriahkan Muktamar Tahunan DPPM yang kembali bertandang ke Negeri Kelantan Darul Naim pada tahun 2016 ini.

Muktamar kita kali ini berlangsung dalam suasana yang sangat mencabar. Di kala baru sahaja mahu mengeringkan keringat menabur bakti di bumi Kenyalang yang bertuah, seluruh kudrat kita terus dikerah bagi memastikan kemenangan berpihak kepada PAS di P067 Kuala Kangsar dan P093 Sungai Besar, yang pastinya menuntut kepada kesabaran dan ketabahan dalam melaksanakan tugasan dakwah dan siyasah, di samping merebut fadhilat dan kelebihan ibadah di bulan Ramadhan al - Mubarak.

Seterusnya, saya mewakili seluruh ahli dan kepimpinan Pemuda PAS, merakamkan setinggi penghargaan dan tahniah kepada YB Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS merangkap Ahli Parlimen Marang, atas kejayaan membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian di Dewan Rakyat pada 26 Mei 2016, sekali gus membuka lembaran baru perjuangan PAS mendaulatkan Syariat Islam di bumi Malaysia yang bertuah.

Marilah kita dengan penuh yakin memohon ke hadrat Allah SWT supaya dikurniakan kekuatan dan keberkatan, serta kebaikan dan pahala yang berlipat ganda, di atas keyakinan dan iltizam kita terhadap dasar dan matlamat perjuangan yang mulia ini.

MENGANGKAT TEMA MUKTAMAR

Bagi mengingatkan semua di kalangan Pemuda PAS, maka kita bermuktamar pada hari ini demi menyahut seruan Allah SWT:

وَاعْتَصِمُواْ بِحَبْلِ اللّهِ جَمِيعًا وَلاَ تَفَرَّقُواْ وَاذْكُرُواْ نِعْمَةَ اللّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاء فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنتُمْ عَلَىَ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

"Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk." (Ali Imran: 103)

Tema “BERTEKAD MELEBAR MUAFAKAT” diangkat dalam Muktamar Tahunan DPPM Kali Ke-57 ini bagi menegaskan betapa pentingnya Pemuda PAS terus mara melebarkan agenda #MuafakatRakyat dan meneraju agenda #PolitikSolusi berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah, setelah berjaya melepasi fasa #PengukuhanDalaman.

Di samping itu, pemilihan logo Muktamar DPPM yang berbentuk ‘Rebana’ adalah simbolik kepada kesepakatan paluan bagi menyemarakkan semangat juang yang tinggi, agar setiap Pemuda PAS seiring-selangkah bersama rakyat untuk terus mara menuju ke gerbang jasa dan kemenangan yang dijanjikan oleh Allah SWT.

Bulat air kerana pembetung;
Bulat manusia kerana muafakat.

Sebagaimana dinukilkan oleh As-Syeikh Profesor Dr Yusuf al–Qardhawi di dalam bukunya ‘Indahnya Islam: Sumber Penyelesaian Segala Masalah’:

“Gerakan Islam hendaklah menghala ke arah positif dan membina sebagai ganti kepada negatif. Syiarnya ialah: ‘Kita Membina Bukan Meruntuhkan, kita Mengumpul Bukan Menceraikan, dan kita Memperkuat Bukan Melemahkan. Pernah dikatakan, ‘Cahaya sebatang lilin adalah lebih baik daripada kamu mencela kegelapan seratus kali.”
 
Bertitik tolak di atas tema “BERTEKAD MELEBAR MUAFAKAT”, maka marilah sama-sama kita memanfaatkan segala ruang yang ada di dalam Muktamar ini untuk berukhuwwah, bermuhasabah dan berbahas demi kebaikan Jamaah yang kita cintai ini, berdasarkan tiga elemen penting berikut:

Cita-Cita Kita Bersama
(Common Vision)

Kefahaman Kita Bersama
(Common Belief)

Tindakan Kita Bersama
(Common Action)

CITA-CITA KITA BERSAMA  

Pertama: Merealisasikan Model Wawasan Induk Negara

PAS berhasrat membentuk sebuah negara model berasaskan cara hidup Islam sebagaimana yang digambarkan melalui firman Allah SWT:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatannya” (Surah Al A’raf: 96)

Pemuda PAS berperanan besar bagi merealisasikan cita-cita murni yang digagaskan PAS ini melalui sebuah perancangan strategik yang dinamakan sebagai Wawasan Induk Negara (#WIN). Perancangan jangka masa panjang ini, tidaklah terhenti sekadar pada tahun 2020, tetapi melangkaui zaman meliputi wawasan dunia sehingga akhirat, demi melaksanakan amanah sebagai khalifah di muka bumi Allah SWT. Agenda WIN merangkumi 4 fasa utama, iaitu:

⦁    Fasa 1 – Mendapatkan Mandat Pemerintahan
⦁    Fasa 2 – Penyelesaian Permasalahan Utama Negara
⦁    Fasa 3 – Pembangunan Negara Model
⦁    Fasa 4 – “Exporting Malaysia”

Menjelang PRU ke-14 ini, strategi pemerkasaan parti dan transformasi imej PAS diperkenalkan bagi mencapai gagasan WIN. Terdapat 7 teras utama dalam menjayakan misi ini, iaitu:

⦁    Budaya Politik Matang Dan Sejahtera
⦁    Bergerak Berasaskan Penyelesaian Islam
⦁    Pengurusan Media
⦁    Budaya Wacana
⦁    Partisipasi Rakyat
⦁    Pengiktirafan
⦁    Pimpinan Dan Ahli PAS Model Masyarakat

PAS mengorak langkah untuk menerajui anjakan perubahan budaya politik negara, daripada budaya politik lama kepada Budaya Politik Matang Dan Sejahtera (#BPMS) yang meletakkan prinsip Islam berteraskan panduan Al Quran dan as Sunnah. Sejak sekian lama, PAS tetap konsisten memilih untuk bergerak menggunakan pendekatan Muwaajahah Silmiyyah yang aman dan damai dalam kerangka sistem demokrasi berparlimen di bumi Malaysia ini.

Justeru kita sebagai Pemuda PAS sedia menyahut seruan parti dengan usaha bersungguh untuk mempromosi dan merakyatkan BPMS ini agar ianya dapat menambat hati dan jiwa masyarakat kepada PAS dan Islam. Pemuda PAS perlu memahami dan mengaplikasikan kesemua 7 ciri BPMS ini mengikut sektor dan lajnah seperti berikut:

⦁    Politik Bertunjangkan Prinsip [Tarbiah]
⦁    Politik Dakwah, Menyuruh Kebaikan dan Mencegah Kemungkaran [Dakwah]
⦁    Politik Memfokuskan Penyelesaian Islam [Siasah]
⦁    Politik Utamakan Kepentingan Rakyat dan Mengurangkan ‘Politiking’ [Siasah, Kompetensi]
⦁    Politik Utamakan Keamanan dan Diplomasi [Siasah, Dakwah]
⦁    Politik Sebenar Bukan Sekadar Persepsi [Siasah, Kompetensi]
⦁    Politik Rasional dan Profesional [Siasah, Kompetensi]

Kedua: Melestari Muafakat Rakyat  

Pada tanggal 16 Mac 2016, sejarah menyaksikan detik persaudaraan di antara PAS sebagai sebuah parti Islam di Malaysia dengan IKATAN yang merupakan sebuah parti yang majmuk. Agenda utama yang diperjuangkan oleh PAS-IKATAN ialah memulihkan negara, pemimpin dan rakyat, seterusnya menggerakkan agenda perubahan bagi membina Malaysia Sejahtera berlandaskan politik yang matang.

Menariknya gandingan PAS-IKATAN ini akan membentuk Blok Ketiga dalam peta politik tanah air. Berperanan besar untuk menamatkan kebergantungan rakyat kepada satu pihak sehingga menjadikan pihak tersebut angkuh dengan dominasi mereka. Pada masa yang sama, PAS mengambil sikap berhati-hati dalam menyatakan sokongan terhadap beberapa gerakan sivil menentang kerajaan, seperti Deklarasi Rakyat, di atas prinsip PAS bahawa setiap perubahan perlulah bersifat institusional dan menyeluruh, bukan sekadar menjatuhkan individu tertentu.

Inilah keindahan Siyasah Islam kerana membenarkan tahaaluf dengan pihak yang tidak memusuhi Islam. Kerjasama politik bukan bermakna kita menyerap masuk ke dalam sistem lain, atau parti lain, sehingga hilang prinsip dan jati diri kita, atau hanya menjadikan ukuran kemenangan semata-mata sebagai matlamat, sehingga menghilangkan dasar parti bagi pelaksanaan Islam.

Sebagai sebuah gerakan yang berpaksi kepada al-Quran dan Sunnah, setiap langkah tahaaluf kita mestilah mempunyai sandaran dan terikat dengan syarat-syarat tahaaluf yang berpaksi kepada kedua sumber tersebut, tanpa merugikan kepentingan Islam. Di sinilah uniknya gagasan #MuafakatRakyat yang perlu dijuarai oleh Pemuda PAS, bertunjangkan agenda kolektif di atas kebenaran demi kepentingan rakyat, dan sewajarnya Blok Ketiga mengambil semangat dan nama yang sama. Inilah yang membezakan bentuk muafakat yang diterajui Pemuda PAS berbanding pihak yang lain.

Ketiga: Pembebasan Al-Quds & Keamanan Dunia  

الَّذِينَ أُخْرِجُوا مِن دِيَارِهِمْ بِغَيْرِ حَقٍّ إِلَّا أَن يَقُولُوا رَبُّنَا اللَّهُ وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُم بِبَعْضٍ لَّهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّهِ كَثِيرًا وَلَيَنصُرَنَّ اللَّهُ مَن يَنصُرُهُ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ  

"Iaitu orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, kecuali kerana mereka berkata: Tuhan kami hanyalah Allah; dan kalaulah Allah tidak menjadikan manusia itu bertarungan diantara satu sama lain nescaya dibinasakanlah rumah-rumah ibadat penganut yahudi, gareja-gereja penganut nasrani, tempat-tempat sembahyang dan masijid-masjid yang disebut didalamnya nama Allah. Demi sesungguhnya Allah menolong sesiapa yang menolong agama Nya. Sesungguhya Allah itu Maha Kuat lagi Maha Perkasa.” (al-Hajj: 40)

Kita bermuktamar di era kebangkitan Islam di seluruh dunia yang menjadi kebimbangan semua kuasa besar dunia. Kuasa besar merancang agenda globalisasi dengan memaksa dunia tunduk kepada ideologi dan teori mereka termasuk negara umat Islam dijadikan sasaran. Maka, muncul teori Sekularisma Islam, Islam Progresif, Islam Politik, Islam Demokrat dan seumpamanya yang memperjuangkan kerajaan berasaskan sekular-Islam tanpa pelaksanaan Syariat mengikut acuan Barat untuk melemahkan gelombang kebangkitan Islam secara halus.

Palestin: Perjuangan Tanpa Noktah

Bumi al-Quds bumi yang bertuah, kekal menjadi rebutan sepanjang zaman. Strategi Barat yang diketuai Amerika di Timur Tengah hari ini hanyalah bertujuan untuk menjadi zon penampan kepada kelangsungan misi Zionis Israel. Maka dilancarkan agenda Harbu Wakalah atau perang proksi sebagaimana yang kita saksikan di negara-negara Timur Tengah hari ini.

Terkini, pertembungan Palestin - Israel pasca 2014 telah memasuki fasa baru yang bukan lagi bergantung kepada aspek fizikal ketenteraan), tetapi bergantung juga kepada aspek gerakan massa (civil society) yang melibatkan kuasa-beli (purchasing power) dan persepsi umum (public opinion). Pemuda PAS berperanan untuk menjayakan misi ini dengan memanfaatkan segala mekanisma yang ada ke arah kemenangan dan pembebasan bumi Palestin yang tercinta (#WaQudsah).

Rasulullah SAW telah menegaskan satu janji melalui sabdanya:

لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي عَلَى الدّينِ، ظَاهِرِينَ لَعَدُوِّهِمْ قَاهِرِينَ، لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ إِلَّا مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لَأْوَاءَ، حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ كَذَلِكَ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَأَيْنَ هُمْ؟ قَالَ؛ بِبَيْتِ الْمَقْدِسِ، وَأَكْنَافِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ

“Akan muncul satu kumpulan yang bangkit menegakkan kebenaran, mereka tidak mampu ditundukkan oleh orang-orang yang mengecewakan mereka sehingga Allah menentukan kemenangan kepada mereka." Para sahabat bertanya; "Siapakah kumpulan itu wahai Rasulullah?" Jawabnya; "Mereka ialah penduduk Bait Al-Maqdis dan sekitar Bait Al-Maqdis." (Riwayat Ahmad)

Dalam persaingan pasaran, Israel bersendirian dalam menghadapi gerakan BDS (Boycott, Divestment, and Sanction) – yang kian mendapat sokongan bank dan syarikat ternama dunia – untuk memboikot dan menghentikan pelaburan kepada Israel sebagai tekanan untuk menghentikan pembinaan di Tebing Barat dan memulangkan hak tanahair kepada penduduk asal Palestin.

Dalam pertembungan pemikiran, Israel yang berpaksikan kebebasan dan kedaulatan (liberty and sovereignty) makin gerun dengan kewujudan pola pemikiran baru di kalangan generasi muda dunia, iaitu kempen “de-legitimasi”, yang mempersoalkan keabsahan status negara haram Israel. Istilah ini sangat ditakuti regim Zionis Israel, sehingga istilah “de-legitimasi” secara rasmi digelar sebagai Ancaman Strategik kepada negara haram Israel.

Asia Tenggara – Rumpun Bebas Merdeka

Pemuda PAS yang berada di Rantau Asia Tenggara berperanan untuk mewujudkan keamanan serantau, khususnya dalam kemelut di Rohingya, Selatan Thailand dan Selatan Filipina, dan akan terus memberikan tekanan ke atas ASEAN dalam mencari noktah penyelesaian terbaik untuk rumpun ini.

Kerjasama dengan parti politik dan gerakan pemuda Islam di rantau ini perlu ditingkatkan bagi membentuk kesatuan dan menghalang campurtangan asing yang mencari peluang siang dan malam untuk memporak-perandakan kesejahteraan ummat di rantau ini.



KEFAHAMAN KITA BERSAMA  

Pertama: Mempertahan Dasar & Kepimpinan PAS

أَلَمْ تَرَكَيْفَ ضَرَبَ اللّهُ مَثَلاً كَلِمَةً طَيِّبَةً كَشَجَرةٍ طَيِّبَةٍ أَصْلُهَا ثَابِتٌ وَفَرْعُهَا فِي السَّمَاء
تُؤْتِي أُكُلَهَا كُلَّ حِينٍ بِإِذْنِ رَبِّهَا وَيَضْرِبُ اللّهُ الأَمْثَالَ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ

“Tidakkah kamu memperhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimah yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya menjulang ke langit. Pohon itu memberikan buahnya setiap musimdengan izin Rabbnya, Allah membuat perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu beringat”. (Ibrahim: 24-25)

Teguhnya sebatang pohon kerana kuatnya akar yang mencengkam sebagaimana tegaknya sebuah binaan di atas tapak yang kukuh. Begitu jualah perjuangan Islam, tegakya di atas dasar yang benar dan prinsip yang jelas. Sudah menjadi lumrah cabaran dan mehnah yang melintang terpaksa dihadapi dalam mempertahankan dasar yang dipegang seluruh pendukung perjuangan Islam. Ini digambarkan melalui sepotong hadis, sabda Nabi Muhammad SAW:

  (يأتي على الناس زمان القابض على دينه كالقابض على الجمر (رواه أحمد

Maksudnya: “Akan datang satu masa manusia yang menggenggam erat agamanya laksana mereka yang menggenggam bara api”. (Riwayat Ahmad)

Telah nyata termaktub dalam Perlembagaan PAS [Fasal 7(1)] bahawa hukum tertinggi dalam perlembagaan PAS ialah Al-Quran, As-Sunnah, Ijma’ Ulama’ dan Qiyas. Inilah dasar yang akan dipertahankan seluruh Pemuda PAS walau terpaksa menitiskan darah hatta memberikan nyawa sekalipun. Setiap individu Pemuda PAS mestilah menghayati dan memahami aqidah perjuangan yang kita pasak dalam keperibadian pemuda selama ini.  

Antara perkara yang mesti dipertahankan seluruh Pemuda PAS adalah gagasan Kepimpinan Ulama’ yang telah dirintis oleh pimpinan terdahulu. Gagasan ini bukanlah gagasan yang bermusim, ia merupakan tunjang yang menjaga dasar perjuangan PAS selama ini dan menentukan halatuju serta prospek masa depan PAS. Kepimpinan Ulama’ adalah DNA yang menjadikan PAS sebuah gerakan Islam yang unik dan istimewa dibandingkan gerakan Islam yang lain pada mata para pengkaji hari ini.

Sudah tiba saatnya, gagasan ini diarus-perdanakan oleh Pemuda PAS dengan formulasi pengemaskinian agenda tarbiyah dari akar umbi sehingga ke peringkat negeri dan pusat. Mengarus-perdanakan gagasan ini dengan maksud menggiatkan Pembudayaan Ilmu dalam kalangan ahli di peringkat cawangan, masjid sehingga ke dewan kuliah. Dasar-dasar PAS dan polisi-polisi negara mesti dibincangkan serta difahami dengan baik. Ini selaras dengan persediaan Pemuda PAS menjadi galang ganti kepada perjuangan PAS masa mendatang.

Justeru Pemuda PAS mesti terus menerus berada di saff hadapan mempertahankan gagasan ini sejajar dengan perjuangan PAS sebagai gerakan dan parti Islam. Andai setiap dari kita baik golongan ulama’, profesional mahupun aktivis Pemuda PAS menjiwai gagasan besar ini, kita yakin apa jua keputusan kepimpinan dan cabaran yang dihadapkan kepada PAS kita akan harungi dengan penuh gagah dan bijak. Kita mesti garapkan gagasan ini sesuai dengan pendekatan politik yang diambil PAS supaya kemenangan yang kita idamkan didakap dengan konsistensi kita terhadap dasar dan prinsip perjuangan Islam.

Kedua: Menjuarai #PolitikSolusi

Kita mengambil ibrah pengajaran daripada sirah Rasulullah S.A.W yang mengirim warkah kepada penguasa besar dunia. Sejarah menyaksikan sepucuk surat dikirim oleh Rasulullah SAW kepada Heraklius (Raja Rom), Kisra (Raja Parsi), Muqauqis (Raja Mesir), Najasyi (Raja Ethiopia), al-Harith al-Ghassani (Raja Hirah), dan al-Harith al-Himyari (Raja Yaman). Jelas ini membuktikan kesungguhan Baginda Rasulullah S.A.W membina hubungan diplomatik untuk menyampaikan mesej keindahan dan keadilan Islam.

Antara intipati warkah Rasulullah S.A.W kepada Heraklius Penguasa Rom adalah:

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ، مِنْ مُحَمَّدٍ عَبْدِ اللَّهِ وَرَسُولِهِ إِلَى هِرَقْلَ عَظِيمِ الرُّومِ: سَلاَمٌ عَلَى مَنِ اتَّبَعَ الهُدَى، أَمَّا بَعْدُ، فَإِنِّي أَدْعُوكَ بِدِعَايَةِ الإِسْلاَمِ، أَسْلِمْ تَسْلَمْ، يُؤْتِكَ اللَّهُ أَجْرَكَ مَرَّتَيْنِ، فَإِنْ تَوَلَّيْتَ فَإِنَّ عَلَيْكَ إِثْمَ الأَرِيسِيِّينَ  

“Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.  Dari Muhammad bin Abdullah dan Rasulullah, kepada Heraklius pemimpin Romawi. Kesejahteraan semoga dilimpahkan kepada sesiapa yang mengikuti petunjuk. Aku mengajak Kamu dengan seruan Islam. Masuklah Islam, niscaya Kamu akan selamat. Allah akan memberikan pahala kepada-Mu dua kali. Jika Kamu berpaling (tidak menerima) maka Kamu menanggung semua dosa kaum Arisiyin.” (Sahih Bukhari)

Seiring dengan usaha untuk memperkasa dan mentransformasi imej PAS, salah satu teras utamanya ialah Bergerak Berasaskan Penyelesaian Islam. Hari ini PAS perlu dilihat bukan sekadar menjadi pembangkang yang hanya tahu mengkritik kerajaan, tetapi rakyat ingin melihat apa solusi yang PAS mampu tawarkan sebagai penyelesaian kepada masalah tersebut?

Hari demi hari, kita dapat melihat sendiri pelbagai masalah dan isu melanda negara dan ummah. Peningkatan kes jenayah, masalah sosial yang kian parah bagaikan sudah lali dengan kehidupan seharian masyarakat. Lebih malang lagi, rakyat khususnya anak muda antara yang begitu terkesan dengan himpitan kos sara hidup. Hasrat anak muda untuk memiliki kediaman sendiri akan kekal sebagai igauan mimpi apabila rumah yang ditawarkan bukanlah mampu milik tetapi mampu dilihat sahaja.

Trend peningkatan hutang isi rumah juga agak membimbangkan, statistik bagi tahun 2015 menunjukkan paras hutang isi rumah negara adalah 89.1% kepada KDNK. Kaji selidik oleh Manulife menunjukkan bahawa 68% daripada rakyat Malaysia berhutang, iaitu lebih dua kali ganda purata serantau sebanyak 33%, meletakkan Malaysia di kedudukan tertinggi dalam kalangan lapan pasaran yang ditinjau di Asia.

Pada masa yang sama, kegagalan kerajaan dalam mengurus tata kelola kewangan negara dengan baik menyebabkan hutang Kerajaan Persekutuan setakat Disember 2015 telah pun mencecah RM630.5 bilion atau 54.4% kepada KDNK sedangkan had yang ditetapkan kerajaan sendiri ialah 55% kepada KDNK.  Begitulah juga dengan skandal Syarikat 1MDB yang masih belum menemui noktah penghujung. Laporan Jawatankuasa Kira-kIra Wang Negara (PAC) mendedahkan hutang 1MDB pada Januari 2016 sudah pun mencecah RM50 billion berbanding hutang 1MDB bermula pada tahun 2009 sebanyak RM5 bilion.

Dalam mengemukakan kritikan dasar kerajaan, Pemuda PAS telah mengambil ketetapan bahawa setiap kenyataan akhbar dan memorandum yang dikeluarkan oleh kepimpinan DPPM perlu mengandungi cadangan penyelesaian mengikut prinsip Islam dan meletakkan kepentingan rakyat di hadapan. Segala konsep, dasar dan program yang perlu diambil telah dikemukakan di dalam Dokumen Negara Berkebajikan, Dokumen Hijau, Manifesto Pilihanraya, di samping membangkitkannya dalam perbahasan Parlimen, dan pelbagai kenyataan akhbar yang menyusul.

Kerajaan juga tidak wajar memangsakan simpanan rakyat dan dana rakyat dalam apa jua tabung sekalipun samada KWSP, KWAP, PNB, LTAT, Tabung Haji dan sebagainya. Cubaan untuk menggunakan dana Tabung Haji telah mencetuskan amarah ummat Islam khasnya dan rakyat seluruhnya kepada pihak kerajaan BN. Skandal demi skandal berulangan walaupun pimpinan negara bertukar, setengahnya sudah ditelan sejarah seperti isu Bank Bumiputera, Perwaja, Maika Holdings, PKFZ dan berbagai lagi.  

Pada masa yang sama, saya ingin menegaskan bahawa tohmahan kononnya PAS 'merestui' kezaliman UMNO malah mahu bergabung dengan UMNO/BN adalah fitnah yang tidak berasas. PAS konsisten menentang kezaliman yang berlaku dalam negara. Perkara yang benar akan disokong, perkara yang salah akan tetap ditentang dan ditegur.

Buktinya, PAS menyokong usaha kerajaan dalam memartabatkan Mahkamah Syariah, tetapi PAS tidak bersetuju dan mengemukakan cadangan balas terhadap pelaksanaan GST, Dual Language Program (DLP) dan perjanjian TPPA. Inilah konsep “Ta’awun Siyasi” yang dilaksanakan PAS, selaras dengan firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

“Bertolong-menolong dalam perkara kebajikan dan taqwa dan jangan sesekali bertolong menolong dalam perkara dosa dan permusuhan.” (Al-Maidah: 2)

Presiden PAS, YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam ucapan perbahasan Titah Diraja ketika persidangan Dewan Rakyat pada Mac lalu telah berjaya menarik minat semua pihak termasuk kerajaan dan ahli parlimen pembangkang serta masyarakat umum bagi Memahami Keindahan dan Kesempurnaan Islam. Beliau menerangkan dengan panjang lebar berkenaan penyelesaian kes jenayah mengikut undang-undang Islam dan jaminan hak orang bukan Islam dalam negara Islam.

Justeru Pemuda PAS perlulah berperanan untuk menjiwai dan menjuarai politik solusi. Ayuh, para cerdik-pandai, profesional dan intelektual khususnya dalam Dewan Pemuda PAS Malaysia tampil ke hadapan, kita bersama menjalinkan sinergi kesungguhan membincangkan isu yang melingkari masyarakat dan cuba mencari solusi penawar terbaik yang berpandukan syariat Islam.

Ketiga: Pelaksanaan Syariah Berperlembagaan

Usaha mendaulatkan undang-undang Syariah terus diperjuangkan sejak awal penubuhan PAS. Almarhum Dr Burhanuddin al-Helmy pernah menyebut dalam Ucapan Dasar Yang DiPertua Agung Pas pada 24 Ogos 1957:

“Kemerdekaan bangsa dan nusa sepenuhnya belumlah lagi bererti tercapainya cita-cita PAS, dan belumlah dihitungkan telah merdeka sepenuhnya, melainkan setelah berjalan hukum-hukum Islam pada orang seseorang, masyarakat dan negara, barulah tercapai kemerdekaan yang dicita-citakan oleh PAS.”

Usaha murni ini yang bermula dengan bait-bait ungkapan sejak tahun 1950an, hanya mampu digubal dan diluluskan sebuah enakmen pada tahun 1990an di Kelantan dan Terengganu, setelah berlalu 40 tahun lebih dan generasi pula telah bersilih-ganti.

Sejak itu, PAS dan Kerajaan Kelantan serta Kerajaan Terengganu telah mengambil pelbagai inisiatif bagi menerangkan keindahan syariat Islam melalui penganjuran kempen, seminar, dialog, perbincangan pakar dan lain lain, di samping menyusun segala infrastruktur bagi mewujudkan suasana yang kondusif ke arah pelaksanaan undang-undang syariat di Malaysia. Dalam hal ini, Pemuda PAS berpendirian bahawa Kerajaan Kelantan wajib melaksanaan agenda ini dengan penuh berhikmah di atas mandat yang diberikan umat yang mendambakan kegemilangan dan keindahan Islam, kerana Islam menjadi hak setiap penganutnya dan manusia yang mahu melihatnya.

Terbaharu, PAS melihat ada ruang kecil boleh digunakan untuk mengangkat taraf Mahkamah Syariah yang merupakan instrumen terpenting dalam kerangka pengkanunan (taqnin) pelaksanaan (tanfiz) undang-undang. Maka PAS mengambil langkah proaktif untuk membawa pindaan Akta 355 (Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965) bagi meningkatkan hukuman kesalahan syariah supaya tidak tertakluk kepada hanya 3 tahun penjara, denda maksima RM5,000 dan 6 kali rotan sahaja.

Alhamdulillah, tanggal 26 Mei 2016 telah menyaksikan Presiden PAS telah berjaya melunaskan tanggungjawab yang besar ini untuk membentangkannya di Dewan Rakyat. Ini membuktikan iltizam PAS yang sangat beransur (tadarruj) dalam Agenda Pelaksanaan Undang-Undang Syariah, mengikut kerangka Demokrasi Berperlembagaan di Malaysia (#SyariahBerperlembagaan).

Sebagai dokongan terhadap usaha Presiden PAS ini, saya mengarahkan seluruh Pemuda PAS di semua peringkat untuk mengambil segala usaha ke arah memberikan kefahaman dan keyakinan kepada anak muda dan rakyat Malaysia terhadap keindahan Syariat Islam (#IndahnyaISLAM), seterusnya menyeru seluruh Ahli Parlimen untuk membahaskan dan meluluskan Rang Undang-Undang ini dengan penuh adab dan keilmuan yang tinggi, ke arah pelaksanaan keadilan Islam di bumi Malaysia yang bertuah ini.



TINDAKAN KITA BERSAMA  

Pertama: Memperkasa Organisasi  

Organisasi yang kukuh dan utuh amat penting bagi proses pelaksanaan perancangan strategik dalam tempoh sesuatu kepimpinan. Tiga sektor utama bagi merealisasikan misi tersebut ialah sektor Tarbiyah dan Perkaderan, Dakwah dan Program Anak Muda, serta Politik dan Pilihanraya.

Seiring dengan perkembangan teknologi yang semakin moden dan canggih, maka organisasi juga perlu diperkasakan agar tidak ketinggalan zaman. Sistem urus tadbir organisasi dan pengurusan kewangan perlu terus diperkemaskan supaya lebih efisyen untuk mencapai kesatuan gerak kerja di semua peringkat. Seruan memperkukuh organisasi ini adalah sepertimana firman Allah dalam Al Quran;

 إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلَّذِينَ يُقَـٰتِلُونَ فِى سَبِيلِهِۦ صَفًّ۬ا كَأَنَّهُم بُنۡيَـٰنٌ۬ مَّرۡصُوصٌ۬  

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.” (As-Saff: 4)

Di peringkat Dewan Pemuda PAS Malaysia, sudah menjadi kebiasaan kita menggunakan sistem Key Performance Indicator (#KPI) dan Scorecard bagi merekod dan menilai perancangan strategik yang telah dirangka pada awal sesi kepimpinan. Saya berhasrat agar sistem KPI dan Scorecard ini diperluaskan pelaksanaannya di peringkat Dewan Pemuda PAS Negeri dan Dewan Pemuda PAS Kawasan, bagi memastikan setiap program yang telah dilaksanakan dapat dinilai keberkesanannya dan diperbaiki kelemahan.

Pengurusan kewangan yang mampan adalah nadi utama bagi menampung kos operasi dan gerak kerja PAS di semua peringkat. Bendahari dan Jabatan Perbendaharaan berperanan besar untuk menguruskan pengumpulan dana dan sumbangan yang berterusan termasuk melalui projek ekonomi.  

Di samping itu, usaha memperkasa DPPM akan terus digerakkan dengan usaha mewajahkan DPPM sebagai #TeamPemuda yang terbaik untuk memimpin anak muda melalui kesatuan dalaman dan kebersamaan jentera bersama kepimpinan.  

Saya berhasrat untuk melihat lebih ramai figura-figura anak muda PAS yang mempunyai kepakaran dalam segenap bidang seperti ekonomi, undang-undang, sains teknologi, alam sekitar, pembangunan dasar dan polisi, strategi dan lain-lain. Figura-figura anak muda PAS ini perlu digilap oleh AKP, JPG, JPro dan JUHAM untuk ditampilkan ke hadapan melalui kehebatan idea dan keterampilan agar terus menyinar bagaikan permata buat ummah.

Kedua: Memperkemas Sistem Tarbiah Dan Pembinaan Kompetensi  

ثُمَّ بَعَثْنَاهُمْ لِنَعْلَمَ أَيُّ الْحِزْبَيْنِ أَحْصَى لِمَا لَبِثُوا أَمَدًا
نَحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِالْحَقِّ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى

“Kemudian Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), untuk Kami menguji siapakah dari dua golongan antara mereka yang lebih tepat kiraannya tentang lamanya mereka hidup (dalam gua itu). Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar, sesungguhnya mereka itu orang muda yang beriman dengan Tuhan mereka, dan Kami tambahkan bagi mereka dengan hdiayah petunjuk”. (Al-Kahfi: 12-13)

Tarbiyah adalah proses dan gerak kerja yang berkait rapat dengan pengurusan sumber manusia dan pembinaannya. Almarhum Dr. Muhammad Qutb mendefinisikan tarbiah sebagai Seni Membentuk Manusia. Justeru perlu kita ingatkan diri kita bahawa tarbiah dalaman parti atau jentera parti adalah elemen terpenting, dan perlu digerakkan dengan berkesan. Pemuda PAS perlu memperkemas kelangsungan program tarbiyah seperti Ijtima’ Tarbawi, Jaulah Tarbawi, Liqa’ Fikri, Tamrin, Mukhayyam, dan Usrah di semua peringkat, seterusnya memberi nilai tambah dalam aspek silibus, kompetensi nuqaba’, dan pemantauan pelaksanaan.

Selain itu, agenda tarbiah mesti diselaraskan dengan jitu dan baik berhubung aspek perkaderan pelapis. Agenda mencetak pelapis perjuangan ini merangkumi tiga proses perkaderan (#entrypoint), iaitu:

Program Tarbiyah Anak-Anak Ahli PAS (PROTAPAS) - Program cuti sekolah yang bertujuan untuk memahamkan anak-anak ahli PAS dalam aspek penghayatan nilai agama, ketaatan pada ibu bapa, seterusnya mewarisi perjuangan suci ini, di bawah kendalian JPP / AKAR.

Program Usrah Remaja - Pemuda kawasan perlu aktifkan dan wujudkan semula #UsrahRemaja. Kelompok remaja ini adalah kelompok yang agak besar dan perlu dibentuk agar mampu menjadi aset pada perjuangan masa akan datang, juga di bawah kendalian JPP / AKAR.

Program Tarbiah dan Kepimpinan Mahasiswa - Mahasiswa dan alumni tanzim adalah aset dan modal tenaga yang sangat penting untuk DPPM melahirkan kepimpinan pelapis. Mereka adalah kelompok idealis yang kritis dan sentiasa responsif memberikan pandangan dan kritikan. Proses pembentukan fikrah dan kompetensi perlu berjalan secara sistematik dan konsisten melalui modul-modul yang telah disusun oleh pihak AKP, JPM / JPMLN dan seterusnya JPG.

Seiring dengan arus cabaran setempat dan global, pembangunan kompetensi Pemuda PAS turut menjadi keutamaan, melalui modul yang dikembangkan oleh AKP. Kondisi negara dalam keadaan yang teruk menjadi desakan kepada Pemuda PAS menerokai lapangan baru membina ahli yang mempunyai kemahiran dan skil yang tinggi, melengkapi elemen #Al-QawiyyAl-Amin sebagai pelapis kepada kepimpinan PAS dan negara kelak.

Melestari Agenda Pendidikan

Dalam bidang pendidikan, PASTI telah berjaya menjadi produk DPPM yang membanggakan kita semua. Pada tahun 2016 ini, semua negeri mencatatkan lonjakan enrolmen murid PASTI yang begitu memuaskan; jumlah pelajar 110,252 (10% kenaikan), jumlah PASTI 2,204 buah (11% kenaikan), jumlah guru 5,929 orang. Manakala bagi PASTI luar negara, jumlah pelajar menunjukkan peningkatan yang ketara (305 orang); Mindanao 60 pelajar, Kemboja 45 pelajar, Patani 50 pelajar, Sudan 150 pelajar.  

Harapan saya terhadap PASTI sangat tinggi. DPPM meletakkan agenda pembangunan kompetensi dan kebajikan guru serta penggerak PASTI sebagai keutamaan bagi meningkatkan kualiti pendidikan PASTI. Lembaga Pakar Kurikulum yang ditubuhkan perlu terus memperkemaskan silibus PASTI sedia ada agar menjadi lebih komprehensif dan bertaraf dunia. Penambahbaikan infrastruktur dan keselesaan premis PASTI perlu diberi perhatian. Justeru Pemuda PAS di semua peringkat perlu melihat potensi besar yang ada pada sebuah PASTI yang kecil, termasuklah memanfaatkan jaringan alumni PASTI yang kini hampir mencecah angka 1 juta graduan sejak 1980an dan ramai yang telah menempa nama di persada antarabangsa (I’m 1-in-a-Million #gradPASTI).

Seterusnya, tahniah dan syabas diucapkan kepada penggerak utama SRITI yang berjaya merealisasikan hasrat DPPM sejak sekian lama. Sebilangan besar masyarakat khususnya ibu bapa murid-murid PASTI sudah lama menanti kewujudan SRITI sebagai kesinambungan pendidikan berteraskan Islam buat anak-anak mereka. Alhamdulillah, tahun 2016 yang merupakan tahun pertama pengoperasian SRITI telah menyaksikan penubuhan 23 buah SRITI di seluruh negara, dan DPPM mensasarkan penambahan 50 buah yang baru dan yang akan bersama SRITI pada sesi 2017.  

Kita pastinya berterima kasih dengan penggembelengan usaha pihak guru dan penggerak PASTI dan SRITI dalam membangunkan institusi pendidikan dalam PAS yang telah menjadi model kepada kerajaan dan diberikan perhatian oleh masyarakat. Melalui pemerkasaan agenda pendidikan kita, ianya sekaligus dapat mengembangkan pengaruh dalam masyarakat luar kelompok dan mendekatkan mereka kepada dasar yang dibawa PAS.   

Ketiga: Menjuarai Hubungan Anak Muda

Membentuk Budaya Sosial Anak Muda

Dalam konteks dakwah dan cabaran memenangi sokongan gen-Y, pola kecenderungan politik generasi baru bukan lagi berteraskan parti atau kaum, tetapi lebih bersifat bi-partisan, yakni tidak berpihak pada mana-mana parti dan sokongan adalah berdasarkan merit polisi dan tokoh yang ditampilkan.

Pemuda PAS perlu memahami uslub dan sasaran dakwah, di samping memanfaatkan platform sentuhan dakwah (#touchpoint) untuk kita santuni generasi muda negara. Hari ini dunia telah memasuki suatu era globalisasi dan dunia tanpa sempadan. Segala- galanya kini terletak di hujung jari.  

Dalam hal ini, setiap Pemuda PAS seharusnya memahami realiti yang berlaku dan dalam masa yang sama berusaha menyelamatkan anak muda yang lain supaya tidak terjerumus ke lembah yang membinasakan. Antara perkara yang perlu dititikberatkan oleh Pemuda PAS bagi mempengaruhi dunia sosial anak muda adalah:

Membentuk Budaya Sosial Anak Muda – Pemuda PAS perlu terjun ke lapangan dan mengisi budaya sosial anak muda dengan perkara berfaedah (#engagement). Lajnah Dakwah, Lajnah Perpaduan Nasional dan DACS perlu dan telah sebahagiannya membina jaringan serta membentuk budaya yang baik. Masih banyak ruang yang perlu diterokai (#untappedmarket) demi untuk berinteraksi dan membawa budaya yang berfaedah dalam ruang sosial anak muda.
Hasrat ini dapat dicapai dengan hubungan sinergi bersama rakan-rakan bukan-Islam, kelab sukan dan rekreasi dan NGO, di samping menjalin hubungan yang lebih akrab dengan pihak Istana. Penganjuran program TehTarikForMalaysia (#TT4M) perlu diperluaskan supaya isu penting negara dibincang secara santai dan berilmiah bersama anak muda.

Membentuk Media Sosial Anak Muda – Perkembangan teknologi maklumat dan media baru mesti dipenuhi oleh maklumat yang bermanfaat. Topik yang sering mendapat perhatian adalah yang berbentuk santai dan sinikal, khususnya isu kelangsungan hidup rakyat dan satira politik. Masih banyak yang perlu dilakukan oleh ‘mujahidtroopers’ bagi menangkis propaganda media arus perdana BN dan musuh ‘cybertrooper’ yang cemburu kepada perjuangan PAS.

Selain itu, DPPM terus mengorak langkah proaktif dengan pembentukan Jabatan DHPP Muda yang akan membuka ruang lebih besar untuk menarik sokongan golongan muda bukan-Islam terhadap perjuangan PAS. Jabatan ini akan bekerjasama dengan LPN dalam menganjurkan program dan mengatur pertemuan dengan individu dan NGO bukan-Islam yang diyakini semakin dekat dengan PAS dari semasa ke semasa. Saya berharap kepimpinan DPPN dapat segera menyambut usaha DPPM ini dengan menubuhkan Jabatan DHPP Muda di peringkat negeri masing – masing.

Menyebarluas Buah Tangan Pemuda PAS

Dua jenama yang sudah sinonim dengan Pemuda PAS, iaitu PASTI dan AMAL, perlu dimaksimakan peranannya sebagai jambatan untuk PAS bersama masyarakat, ditambah pula dengan jenama baru di bawah DACS (seperti ARC, ACC, APC, AAC dan seumpamanya). Usaha bersepadu perlu disusun agar produk mesra anak muda di bawah naungan DPPM ini mampu menterjemahkan sokongan yang diterima dalam bentuk undi kepada PAS.  

Kita juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan sekalung penghargaan kepada Jabatan AMAL Malaysia (AMAL) di atas penganjuran Sambutan Jubli Perak 25 tahun penubuhan AMAL. Selain kerja-kerja kebajikan dan kemasyarakatan, fungsi AMAL kini diperlebar sebagai pasukan penyelamat dan perubatan, malah telah menerima pengiktirafan oleh pihak kerajaan dan masyarakat awam. Di bawah Bahagian Operasi, AMAL kini mempunyai Kor Medik dan Penyelamat selain Kor Jurutera, Kor Semboyan, Kor Trafik dan Kor Tugas Khas.

Pemuda PAS juga mestilah sentiasa konsisten meneruskan gerakerja Kebajikan dan Kemasyarakatan, sehingga mampu menjadi contoh yang dikagumi oleh masyarakat. Kebajikan adalah antara aktiviti utama DPPM sebagai praktis kepada Amal Islami yang menuntut supaya khidmat bakti disalurkan kepada mereka yang memerlukannya, samada oleh Lajnah Kebajikan, JUHAM dan Lajnah Tanah. Projek-projek kebajikan jangka panjang dan infrastruktur berskala kecil di Parlimen & DUN sasaran sudah boleh diusahakan sejak sekarang, menggunapakai kaedah yang dipraktikkan sahabat di Sarawak melalui Projek UntukMu Sarawak.  

Keempat: Menguasai Pengundi Muda   

Pendidikan Politik Anak Muda

Salah satu aspek terpenting yang perlu difahami oleh setiap Pemuda PAS ialah, perlunya kita berusaha dengan lebih gigih untuk memadamkan mitos di kalangan segelintir generasi muda luar bandar dan di gugusan FELDA bahawa hanya UMNO/BN sahaja yang boleh memerintah negara kita ini, kesan daripada kebergantungan hidup kepada kerajaan yang memerintah.

Dalam masa yang sama, kita mestilah lebih memahami psikologi politik anak muda Melayu di bandar dan pengundi atas pagar dalam memahamkan mesej kita. Dengan memahami psiko-politik pengundi golongan ini, maka tindakan dan gerakerja yang lebih tepat akan dapat dirangka bagi menarik mereka sebagai pengundi PAS dan bersedia menjadi ahli PAS.

Pemuda PAS hendaklah bersedia menyambut kedatangan orang-orang Melayu khususnya golongan muda yang sudah berubah tetapi tidak menzahirkan sokongan mereka. Mereka menyokong PAS tetapi masih belum bersedia menjadi ahli PAS. Mereka sinis dan cakna perkembangan semasa kerana sentiasa berkomunikasi antara satu sama lain menerusi Facebook, Twitter, Whatsapp, Instagram dan lain-lain.

Justeru DPPM meraikan hasrat tinggi anak muda yang mahu mendalami sistem politik Islam, evolusi dan penyesuaiannya dalam konteks moden dikembangkan melalui penubuhan sekolah politik di bawah kendalian DPPM insyaAllah.

Memenangi Pilihan raya

Jumlah penduduk di Malaysia sudah melebihi 31 juta pada akhir 2015, dengan kemajmukan demografi yang sangat rencam. Dianggarkan pada PRU ke-14 kelak, jumlah pengundi akan mencecah paras 15 juta, di mana sejumlah 7.5 juta pengundi adalah di kalangan pengundi muda dan pemilih baru, dengan elemen bandar-luar bandar dan tahap pendidikan akan melatari corak pengundian, kesan daripada proses migrasi dan urbanisasi.

Dalam tempoh dua tahun sebelum genap lima tahun mandat Parlimen pada Jun 2018, seluruh Pemuda PAS perlu memastikan jentera pilihanraya Pemuda di setiap peringkat telah siap-siaga (JPRN, JPRK, JPRD, JPRU) dilengkapi dengan struktur yang menepati keperluan organisasi dan gerakkerjanya pilihanraya utama seperti berikut:

⦁    Daftar pengundi muda dan semakan pendaftaran;
⦁    Jejak pengundi muda dan khidmat;
⦁    Salur maklumat kepada pengundi muda;
⦁    Mengatur program dan mencipta suasana;
⦁    Mengumpul dana untuk kelancaran gerakkerja.

Jentera pilihanraya Pemuda PAS perlu banyak bersabar dan kekal bersiap sedia. Kerja-kerja asas pilihanraya yang ada hendaklah diteruskan tanpa henti. Gerak kerja pilihanraya sifatnya terlalu teknikal, banyak ilmu dan pengalaman perlu ditimba bagi memahirkannya. Pembinaan keterampilan tokoh pemimpin muda perlu bergerak seiring dengan persiapan jentera pilihanraya, dengan sasaran penguasaan 60% undi anak muda di setiap Parlimen dan DUN yang ditandingi pada PRU14 kelak insyaAllah.

Selain itu, besarlah hasrat dan hajat Pemuda PAS, agar pucuk pimpinan parti dapat mengkaji semula agihan kerusi Parlimen dan Dun yang bakal ditandingi PAS dalam PRU14 akan datang. Pembahagian kerusi wajar turut mengambilkira aspek kekuatan jentera parti di kerusi yang ditandingi, di samping pola sokongan pengundi mengikut komposisi umur dan tahap pendidikan (#OpsKembali).

Cukuplah pengalaman lalu menjadi pengajaran, di mana tenaga ahli kita yang ikhlas dan patuh pada arahan pimpinan ‘dipergunakan’ oleh rakan-rakan demi mencapai kemenangan, kemudian ‘ditinggalkan’ begitu sahaja. Justeru sekiranya pimpinan parti mengambil satu langkah berani untuk bertanding di kerusi yang selama ini ‘dipinjamkan’ kepada PKR dan DAP dalam PRU yang lepas, kami Pemuda PAS memberikan ikrar dan janji, akan mengambil seribu satu langkah bagi memastikan kemenangan berpihak kepada PAS insyaAllah!

Misi Adun Kembar PAS Di Sabah & Sarawak

Kita baru sahaja melabuhkan tirai berkempen dalam Pilihanraya Negeri Sarawak (PRN Sarawak) ke-11 pada 7 Mei yang lalu. DPPM ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh petugas pemuda yang sanggup berkorban wang ringgit, masa dan tenaga bagi membantu menyampaikan risalah Islam di bumi Kenyalang yang bertuah.  

DPPM juga ingin mengucapkan tahniah kepada seluruh calon PAS yang bertanding dalam PRN Sarawak ke-11. Kalian adalah #HeroKami. Saya secara peribadi kagum dengan tenaga penggerak utama jentera PAS di Sarawak, yang majoritinya dibarisi oleh golongan muda di bawah 40an, dengan gabungjalin tenaga ulama, professional dan aktivis yang ikhlas. Budi yang kalian usahakan di Sabah dan Sarawak hari ini adalah seumpama bakti diusahakan oleh generasi terdahulu di Semenanjung, dalam memperkenalkan visi dan misi PAS kepada rakyat, di kala Islam itu masih lagi asing di dalam masyarakat.

Justeru saya mengajak kita semua bermuhasabah bahawasanya tugas menyampaikan risalah Islam masih lagi panjang dan berliku. Secara umumnya, keputusan PRN Sarawak baru-baru ini tidak begitu memihak kepada PAS, meskipun pada asasnya kita berjaya mencapai keputusan yang membanggakan di di Beting Maro, Sebuyau dan termasuk juga kawasan pinggir Bandar Kuching seperti di Pantai Damai dan Samariang.

PAS berjaya memberikan tentangan yang sengit di Beting Maro dengan peningkatan undi yang ketara daripada 2,678 undi pada 2011 kepada 3,051 undi pada 2016 tetapi kalah dengan undi BN yang lebih besar. Begitu juga peningkatan undi yang kecil di Sebuyau. Itu sesuatu yang perlu diberi perhatian. Walaubagaimanapun, PAS telah kehilangan wang deposit di 7 kerusi yang ditandinginya termasuklah Muara Tuang dan Sadong Jaya, dua kerusi yang pernah ditandingi pada PRN ke-10 pada 2011.

Sehubungan itu, DPPM menyeru agar semua jentera Pemuda PAS Sarawak melakukan muhasabah dan post-mortem bagi mengenalpasti kelebihan dan kekurangan yang terdapat sepanjang gerak kerja PRN Sarawak ke-11 yang lalu. Selain faktor luaran, faktor dalaman dan kekuatan ahli juga tidak seharusnya dikesampingkan.

Kita perlu yakin bahawa suatu masa nanti cahaya Islam pasti akan kembali bersinar di bumi Borneo. Inilah keyakinan yang perlu kita pasak dalam diri di samping dalam masa yang sama, kita perlu kembali menyusun langkah melaksanakan gerak kerja Islam di Sabah dan Sarawak. Semoga Allah SWT mengurniakan kemenangan kepada PAS di Sabah dan Sarawak kelak insya-Allah.

Jikalau kekanda mengangkat peti,
Pastikan benar muatnya barang;
Jikalau Pemuda bersatu hati,
Kerja yang sukar menjadi senang.

PENUTUP

Agenda Bertindak

Bertitik tolak di atas tema “BERTEKAD MELEBAR MUAFAKAT”, marilah kita menggerakkan jamaah ini untuk menghadapi apa juga cabaran dengan penuh yakin terhadap prinsip perjuangan dengan mengambil tindakan berikut:

Marilah kita sama-sama memperkukuhkan kebergantungan kepada Allah SWT dan menyatakan kesetiaan kepada dasar perjuangan Islam dengan penuh istiqamah, berpandukan al-Quran dan as-Sunnah, dengan penuh keikhlasan kepada Allah SWT (#PemudaIkhlas);

Marilah kita sama-sama memantapkan tarbiyah ahli dan kepimpinan, dengan bersungguh-sungguh melibatkan diri dalam program tarbiyah dan membudayakan disiplin ilmu (#TarbiahMantap);

Marilah kita mengemaskini organisasi Pemuda PAS di semua peringkat, serta merapatkan ukhuwwah dan saf perjuangan bersendikan fikrah perjuangan yang murni (#JalinUkhuwwah);

Marilah kita melebarkan muafakat daripada Pemuda PAS kepada rakyat Malaysia (#MuafakatRakyat) dan membawa mesej Islam sebagai penyelesaian kepada negara, mengikut kerangka pendekatan BPMS (#PolitikSolusi);

Marilah kita mengukuhkan peranan Pemuda PAS di peringkat antarabangsa, membela pihak yang dizalimi, mengusahakan penyelesaian konflik antarabangsa, dan menolak campurtangan kuasa besar dalam konflik di dunia umat Islam (#DuniaAman).

Akhirnya, saya ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada seluruh saf kepimpinan DPPM (#TeamPemuda) dalam membantu saya mengemudi sayap penting Jamaah ini. Juga sekalung tahniah dan terima kasih kepada Panitia Muktamar DPPM, tuan rumah DPPN Kelantan, petugas dan bentara, anggota AMAL, penaja budiman dan semua pihak yang menjayakan Muktamar DPPM ke-57 ini. Mudah-mudahan segala amal ini mendapat ganjaran pahala di sisi Allah SWT.


الله أَكبر! الله أَكبر!  الله أَكبر!
ولله الحمد

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Share on Myspace