Memimpin Gerakan Perubahan

USTAZ DATUK DR MAHFODZ MOHAMAD | .

MEMIMPIN GERAKAN PERUBAHAN

Pertamanya marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran yang tiada taranya ke hadrat Allah s.w.t atas segala kurniaan, kesihatan, kemudahan dan yang paling penting nikmat iman dan Islam. Kali ini kita kita kembali bermuktamar di negeri Kelantan Darul Naim, tempat di mana kita gigih menterjemahkan tujuan-tujuan Parti Islam Se-Malaysia sebagai sebuah harakah Islamiyah di bawah kepimpinan ulamak. Kita doakan agar Kerajaan Negeri Kelantan dibawah pimpinan YAB Ustaz Dato’ Haji Ahmad Yakob, Timbalan Al-Mursyidul Am terus dipelihara oleh Allah dan sebarang usaha untuk menjatuhkannya akan menempuh kegagalan.

Hari ini bersejarah dan penting, tidak lain adalah untuk kita bermuhasabah bersama-sama dan berbincang demi memastikan kelangsungan dan kesinambungan gerak kerja Dewan Ulamak sebagai dewan tertinggi dalam PAS. Setahun telah berlalu dan kita telah sama-sama mengharungi fasa baru gerakan politik dalam menegaskan prinsip-prinsip perjuangan bagi memastikan PAS serta kepimpinannya sentiasa berada di atas landasan yang benar menurut al-Quran dan Hadis serta Ijma dan Qiyas.

Untuk berusaha berada di atas landasan ini, kita menempuh pelbagai cabaran lantaran timbunan krisis politik, ekonomi dan sosial yang melanda dunia pada masa kini. Oleh itu, amatlah perlu para ulamak memimpin masyarakat kepada perubahan (taghyir) yang merupakan tugas murni yang telah didahulukan oleh Rasulullah s.a.w. Firman Allah Taala:

هُوَ ٱلَّذِي بَعَثَ فِي ٱلۡأُمِّيِّ‍ۧنَ رَسُولٗا مِّنۡهُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡهِمۡ ءَايَٰتِهِۦ وَيُزَكِّيهِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَإِن كَانُواْ مِن قَبۡلُ لَفِي ضَلَٰلٖ مُّبِينٖ ٢

Maksudnya: “Dialah yang telah mengutuskan dari kalangan orang-orang (Arab) yang umiyyin itu seorang Rasul (Muhammad s.a.w.) dari bangsa mereka sendiri; yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya); dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu dalam kesesatan yang nyata.”
(Surah Al-Jumu’ah: Ayat 2)

Allah juga telah menunjukkan suri teladan yang lebih awal daripada para anbiya’ dalam firman-Nya:

وَنَجَّيۡنَٰهُ وَلُوطًا إِلَى ٱلۡأَرۡضِ ٱلَّتِي بَٰرَكۡنَا فِيهَا لِلۡعَٰلَمِينَ ٧١ وَوَهَبۡنَا لَهُۥٓ إِسۡحَٰقَ وَيَعۡقُوبَ نَافِلَةٗۖ وَكُلّٗا جَعَلۡنَا صَٰلِحِينَ ٧٢ وَجَعَلۡنَٰهُمۡ أَئِمَّةٗ يَهۡدُونَ بِأَمۡرِنَا وَأَوۡحَيۡنَآ إِلَيۡهِمۡ فِعۡلَ ٱلۡخَيۡرَٰتِ وَإِقَامَ ٱلصَّلَوٰةِ وَإِيتَآءَ ٱلزَّكَوٰةِۖ وَكَانُواْ لَنَا عَٰبِدِينَ ٧٣

“Dan Kami selamatkan dia dan (sepupunya) Lut ke negeri yang Kami limpahkan berkat padanya untuk umat manusia. Dan kami kurniakan kepadanya, Ishaq (anaknya) dan Ya’qub (cucunya) sebagai tambahan; dan tiap-tiap seorang (dari mereka) Kami jadikan orang yang soleh. Dan Kami jadikan mereka ketua-ketua ikutan, yang memimpin (manusia ke jalan yang benar) dengan perintah Kami, dan Kami wahyukan kepada mereka mengerjakan kebaikan, dan mendirikan solat, serta memberi zakat; dan mereka pula sentiasa beribadat kepada Kami.”
(Surah Al-Anbiya’: Ayat 71-73)

Bertitik tolak dari ayat-ayat ini, maka kita memilih “MEMIMPIN GERAKAN PERUBAHAN” sebagai tema bagi Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat Kali ke-55 ini. Tema ini menuntut para ulamak untuk memperteguhkan diri dengan ciri-ciri pemimpin perubahan yang disemai dengan fikrah yang jelas, keperibadian yang unggul dan seterusnya menjadi pemimpin politik yang ikhlas kerana Allah bagi memimpin usaha-usaha menegakkan keadilan Islam dikalangan ummah, sebagai meneladani gerakerja para nabi.

ULAMAK MEMIMPIN GERAKAN POLITIK MATANG DAN SEJAHTERA

Dengan hasrat untuk membangun Negara Berkebajikan dan memacu Malaysia Sejahtera, PAS telah melancarkan Wawasan Induk Negara (WIN) sebagai wawasan untuk membentuk negara model berasaskan cara hidup Islam dan menjadi rahmat kepada seluruh alam. Diantara komponen Wawasan Induk Negara ialah tujuh (7) teras pemerkasaan parti dan pembangunan imej termasuklah Teras 1: Politik Matang dan Sejahtera (PMS) dan Teras 2: Bergerak Berasaskan Penyelesaian Islam. PMS telah ditakrifkan sebagai “sebuah budaya berpolitik yang berasaskan kepada kematangan dalam membuat keputusan dan tindakan berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah, sesuai dengan realiti masyarakat, bermatlamatkan kesejahteraan rakyat, kemakmuran negara dan keredhaan Allah.”

Saya ingin mengingatkan seluruh sidang muktamar sekalian bahawa berpolitik dengan membudayakan Politik Matang dan Sejahtera ini amat penting untuk mengelakkan berlakunya ketidakadilan, penindasan dan kezaliman; mengelakkan penyalahgunaan kuasa di semua peringkat; mengelakkan ketidakstabilan politik, sosial dan ekonomi negara; mengelakkan perselisihan dalam kalangan rakyat dan anarki; mengelakkan campur tangan pihak luar dan juga menggalakkan budaya politik berasaskan ilmu, fakta dan kebenaran.

Ciri-ciri Politik Matang dan Sejahtera sepertimana berikut yang telah digariskan oleh PAS perlulah dijadikan budaya oleh para ulamak dalam memimpin ummah:

⦁    Bertunjangkan prinsip;
⦁    Politik dakwah;
⦁    Menyuruh kepada kebaikan, mencegah kemungkaran;
⦁    Memfokuskan kepada penyelesaian Islam;
⦁    Pertentangan dasar, bukan pertentangan fizikal;
⦁    Utamakan kepentingan rakyat, kurangkan “politiking”;
⦁    Politik aman dan diplomasi;
⦁    Politik sebenar (real) bukan sekadar persepsi; dan
⦁    Politik rasional dan professional

Budaya Politik Matang dan Sejahtera ini pada hemat saya menzahirkan kebijaksanaan yang tinggi Parti Islam Se-Malaysia untuk menerajui negara dalam membangun budaya politik Islam. Semua pernyataan ini adalah bersesuaian dengan kehendak siyasah syar’iyyah seperti dijajarkan dalam ungkapan ulamak-ulamak tersohor yang antara lainnya:

السياسة الشرعية هي تدبير الإمام القوام لشئون الرعية المشترکة حسب مقاصد الشريعة

Maksudnya: “Siyasah syar’iyyah ialah pengurusan seorang pemimpin yang adil terhadap urusan-urusan yang dikongsi bersama oleh rakyat sejajar dengan maksud-maksud Syariah.”

Di peringkat pusat, bagi melaksanakan Teras 2: Bergerak Berasaskan Penyelesaian Islam, Dewan Ulamak PAS telah diangkat sebagai penyelaras pihak bertanggungjawab. Ianya adalah cabaran kepada dewan ini dan kerana cita-cita tersebutlah, maka pada hari ini kita melancarkan penjenamaan semula Majlis Penyelidikan dan Tafaqquh (MPT) kepada Institut Kajian Islam dan Strategi (i-KIS). I-KIS yang dikemudi oleh Pengerusi dan Pengarah Operasi, serta felo-felo dilantik yang berpengalaman dalam penyelidikan dan penglibatan seluruh tuan-tuan guru pondok, para siswazah dan lain-lain diharapkan dapat melunaskan amanah mencadangkan penyelesaian Islam kepada semua permasalahan Malaysia ini berasaskan kepada panduan al-Quran dan as-Sunnah serta khazanah keilmuan ulamak dan kecemerlangan tamadun terdahulu.

Penyelesaian Islam tidak hanya terhad kepada bidang perundangan, bahkan merangkumi seluruh aspek kehidupan rakyat seperti pengurusan ekonomi negara meliputi sumber hasil dan kaedah perbelanjaan mengurus dan pembangunan, sistem kewangan, program pembangunan modal insan dan pendidikan berterusan khususnya dikalangan anak muda bagi menempuh cabaran globalisasi dan order baru penjajahan ekonomi dan sosial, pembangunan keluarga, hubungan Islam dan bukan Islam, keselamatan makanan dan lain-lain.

Tanggungjawab ini juga amatlah menepati tugas Dewan Ulamak PAS yang terkandung dalam Fasal 44, Perlembagaan PAS iaitu “mengadakan muzakarah-muzakarah bagi membincangkan sebarang isu berkaitan hukum-hukum syarak dan menasihati Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dalam isu-isu yang menyentuh hukum syarak.”

Oleh itu, saya menyeru semua ahli Dewan Ulamak PAS agak berada di garis hadapan dan meningkatkan aktivisme dalam mengemudi perjuangan Islam berasaskan ciri-ciri Politik Matang dan Sejahtera ini ke arah mencapai Halatuju PAS Pusat ini. Sesungguhnya sebagai ulamak, tugas ini telah dicontohkan oleh para nabi dan para ulamak itu adalah pewaris para Nabi. Rasulullah s.a.w. memperingatkan hal ini dalam sabda Baginda:

کانت بنو إسرائيل تسوسهم الانبياء

Maksudnya: “Adalah Bani Israil itu dipimpin politik mereka oleh para Nabi.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

MEMIMPIN PERUBAHAN AQIDAH DAN PEMIKIRAN UMAT

Pembangunan negara yang berkiblatkan Barat yang diukur dengan kemajuan kebendaan dan dipimpin oleh kepimpinan umat yang mewarisi ideologi sekularisma yang meminggirkan iman dan akhlak, memisahkan urusan dunia dan akhirat telah menyebabkan umat Islam tidak mampu untuk berdaya saing dengan kaum lain dan akhirnya tidak mampu membawa model Islam yang sebenarnya yang memberi keadilan dan rahmat kepada seluruh manusia. Kedudukan mereka menjadi seumpama kaum Quraisy yang mempercayai adanya Allah, namun mensyirikkan Allah dalam peribadatan dengan memohon kepada selain daripada-Nya.

Maka lahirlah manusia yang bertuhankan manusia pada rezeki sehingga takut untuk menentang kemungkaran dan bertuhankan kebendaan sehingga melupakan batas-batas agama dalam mencari rezeki sehingga melakukan rasuah, menipu dan lain-lain.

Kerosakan aqidah dan pemikiran ini juga turut membuahkan fasad dalam akhlaq. Negara kita hakikatnya berada dalam krisis apabila pelaku-pelaku seks songsang (LGBT) diberikan perakuan atas nama hak asasi manusia bukan sahaja oleh kumpulan 25 orang-orang kenamaan, pertubuhan COMANGO yang diberi laluan untuk membawa isu ini kepada keprihatinan Bangsa-bangsa Bersatu; bahkan Kerajaan DAP Pulau Pinang menjadi kerajaan pertama di Malaysia memberikan pengiktirafan melalui Jawatankuasa Transgender Pulau Pinang yang bermesyuarat kali pertama di Bangunan Dewan Undangan Negeri pada 17 Mei 2016.

Dewan Ulamak PAS mengutuk semua sokongan yang bernuansa budaya kaum Lut ini. Dewan Ulamak PAS juga menyeru seluruh ulamak haraki bahawa mereka wajib memimpin masyarakat untuk menafsirkan Islam secara ilmu dan amal, daripada Al-Din yang terkandung di dalam al-Quran dengan makna yang sempurna dan lengkap, dengan membebaskan khurafat warisan penjajah yang mentakrifkan Islam dengan maksud “agama” daripada bahasa asing yang bukannya bahasa al-Quran. Fahaman yang salah ini disambung oleh Umno dan suku-sakatnya seperti PBB di Sarawak sehingga menjadikan orang Melayu sendiri tidak melaksanakan cara hidup Islam yang sebenar, kerana dikongkong oleh kejahilan agama yang menebal. Maka kita perlu mendampingi semua kelompok termasuklah kelompok LGBT supaya mereka dapat bersama PAS untuk diberikan kefahaman Islam yang sebenarnya, dan seterusnya membawa mereka kepada pemahaman Islam sebagai satu cara hidup yang boleh menyelamatkan di dunia dan akhirat.

MEMIMPIN PERUBAHAN DALAM PERUNDANGAN

Setahun yang lalu, muktamar ini merenungi kejayaan-kejayaan PAS memimpin perubahan dalam perlaksanaan Syariah dalam negara Malaysia walaupun belum diberikan izin oleh Allah untuk berperanan sebagai kerajaan memerintah di peringkat Persekutuan, khususnya dalam sektor perlaksanaan undang-undang jenayah Syariah.

Alhamdulillah kemajuan sentiasa bertambah sungguhpun mengambil masa yang lama sejak PAS di Kelantan berjaya menobatkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan 1993 dan menghadapi pancaroba dari dalam parti dan sekutu pakatan politik. Dewan Ulamak PAS mengucapkan tahniah kepada YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS yang telah berjaya pada 26 Mei 2016 selepas lebih setahun menunggu untuk membentangkan usul Rang Undang-Undang Persendirian Pindaan Akta 355; Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan 2016).

Dewan Ulamak PAS menyeru seluruh Ahli Parlimen beragama Islam khususnya membuka hati dan fikiran dalam membahaskan usul ini pada persidangan Parlimen akan datang kearah memperkasakan mahkamah Syariah dan sekaligus memartabatkan Syariah Islam. Dewan Ulamak PAS juga menyeru mana-mana parti dan kumpulan, janganlah mengendurkan perjuangan ini dengan pelbagai hujah dan alasan dengan niat buruk dan salah guna demi untuk mengelabukan seperti Maqasid al-Syariah, Fiqh al-Awlawiyyat dan sebagainya. Janganlah menaburkan racun-racun halus sedemikian. Dewan Ulamak PAS ingin mengingatkan semua dengan firman Allah dalam surah al-Maidah, ayat 49;

وَأَنِ ٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَهُمۡ وَٱحۡذَرۡهُمۡ أَن يَفۡتِنُوكَ عَنۢ بَعۡضِ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ إِلَيۡكَۖ فَإِن تَوَلَّوۡاْ فَٱعۡلَمۡ أَنَّمَا يُرِيدُ ٱللَّهُ أَن يُصِيبَهُم بِبَعۡضِ ذُنُوبِهِمۡۗ وَإِنَّ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلنَّاسِ لَفَٰسِقُونَ ٤٩

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu berhukum di kalangan kamu dengan apa yang diturunkan oleh Allah dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu mereka.Dan berwaspadalah bimbang mereka memalingkan daripada sebahagian apa yang diturunkan oleh Allah kepada kamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik.
(Surah al-Maidah: Ayat 49)

Para ulamak haraki perlulah memimpin perubahan minda ummah agar memahami tanggungjawab melaksanakan Syariah Allah sekalipun tidak mendapat keredaan daripada orang-orang musyrik; semata-mata mahukan redha Allah s.w.t. Firman Allah Taala:

شَرَعَ لَكُم مِّنَ ٱلدِّينِ مَا وَصَّىٰ بِهِۦ نُوحٗا وَٱلَّذِيٓ أَوۡحَيۡنَآ إِلَيۡكَ وَمَا وَصَّيۡنَا بِهِۦٓ إِبۡرَٰهِيمَ وَمُوسَىٰ وَعِيسَىٰٓۖ أَنۡ أَقِيمُواْ ٱلدِّينَ وَلَا تَتَفَرَّقُواْ فِيهِۚ كَبُرَ عَلَى ٱلۡمُشۡرِكِينَ مَا تَدۡعُوهُمۡ إِلَيۡهِۚ ٱللَّهُ يَجۡتَبِيٓ إِلَيۡهِ مَن يَشَآءُ وَيَهۡدِيٓ إِلَيۡهِ مَن يُنِيبُ ١٣

Maksudnya: “Allah telah menerangkan kepada kamu diantara perkara-perkara agama yang Ia tetapkan hukumnya yang telah diperintahkanNya kepada Nuh dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Ibrahim dan Musa serta Isa, iaitu: Tegakkanlah pendirian agama dan janganlah kamu berpecah belah pada dasarnya. Berat bagi orang-orang musyrik (untuk menerima agama tauhid) yang engkau seru mereka kepadanya. Allah memilih serta melorongkan sesiapa yang dikehendakiNya untuk menerima agama tauhid itu dan memberi hidayat petunjuk kepada agamaNya itu sesiapa yang rujuk kembali kepadaNya (dengan taat).”
(Surah al-Shura: Ayat 13)

MEMIMPIN PERUBAHAN POLITIK

PAS sesungguhnya memiliki pengalaman yang panjang dalam sepak terajang politik tanahair. Pernah memimpin Kelantan, Terengganu, Perak dan Kedah di samping menyertai kerajaan campuran di Pulau Pinang dan Selangor. PAS pernah merasai tekanan dan kepungan secara terbuka dan halus daripada Kerajaan Pusat yang ditonggakkan oleh UMNO termasuklah tindak tanduk yang kadangkala meremehkan semangat Federalisme yang membahagikan kuasa negeri dan persekutuan.

Dalam hal ini, PAS berjanji untuk melakukan perubahan bukan sahaja di peringkat pentadbiran tertinggi Negara; bahkan menjadi agen perubah kepada amalan dan budaya politik di Malaysia. Ahli-ahli Dewan Ulamak PAS perlulah menyebarluaskan pegangan politik PAS antara lainnya digaris-bawahi oleh panduan-panduan berikut:

⦁    PAS tidak berhasrat sekadar merubah pemimpin sahaja tetapi merubah dasar kerajaan. Malaysia tidak akan berubah sekiranya Perdana Menteri dijatuhkan, tetapi kemudian digantikan oleh seorang individu daripada UMNO yang menganut akidah politik dan dasar yang sama sahaja.

⦁    PAS mengamalkan politik nasihat, bukan politik membangkang sahaja. Ahli-ahli politik yang tidak bercitrakan Islam lazimnya melakukan politik bangkangan semata-mata; sedangkan di dalam politik nasihat sandarannya ialah al-amru bil-ma’ruf wal-nahyu ‘anil- munkar yang menjadi tugas bagi sebuah jamaah Islam. Perhatikanlah Allah Taala memperihalkan ketabahan Nabi Hud a.s. dalam melaksanakan tugas kenabian dan penasihatan bagi menjadi contoh teladan bagi kita:

وَإِلَىٰ عَادٍ أَخَاهُمۡ هُودٗاۚ قَالَ يَٰقَوۡمِ ٱعۡبُدُواْ ٱللَّهَ مَا لَكُم مِّنۡ إِلَٰهٍ غَيۡرُهُۥٓۚ أَفَلَا تَتَّقُونَ ٦٥ قَالَ ٱلۡمَلَأُ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِن قَوۡمِهِۦٓ إِنَّا لَنَرَىٰكَ فِي سَفَاهَةٖ وَإِنَّا لَنَظُنُّكَ مِنَ ٱلۡكَٰذِبِينَ ٦٦ قَالَ يَٰقَوۡمِ لَيۡسَ بِي سَفَاهَةٞ وَلَٰكِنِّي رَسُولٞ مِّن رَّبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ ٦٧ أُبَلِّغُكُمۡ رِسَٰلَٰتِ رَبِّي وَأَنَا۠ لَكُمۡ نَاصِحٌ أَمِينٌ ٦٨

Maksudnya: “Dan kepada kaum Aad, (Kami utuskan) saudara mereka: Hud. Dia berkata: Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Oleh itu, tidakkah kamu mahu bertakwa kepadaNya? Ketua-ketua yang kafir dari kaumnya berkata: Sesungguhnya kami (wahai Hud) melihatmu berada dalam kebodohan dan sesungguhnya kami fikir engkau adalah dari orang-orang yang berdusta. Nabi Hud menjawab: Wahai kaumku! Tidak ada padaku sebarang kebodohan, tetapi aku adalah seorang Rasul dari Tuhan sekalian alam. (Tugasku) menyampaikan kepada kamu akan perintah-perintah (yang diutuskan oleh) Tuhanku dan aku adalah pemberi nasihat yang amanah, bagi kamu.”
 (Surah Al-‘Araf: Ayat 65-68)

⦁    Dalam melaksanakan politik dakwah dan politik nasihat, PAS mengambil sikap untuk melakukan tahaluf dan ta’awun dengan mana-mana kumpulan juga selagimana ia memberi keuntungan kepada Islam. Sebagai sebuah parti berwadah Islam, PAS akan meneruskan ukhuwwah dengan semua kumpulan Islam dengan penuh tasamuh kearah melaksanakan tanggungjawab amal Islami yang syumul di seluruh pelusuk negara. Dalam pentas politik Malaysia, PAS telah berterusan istiqamah melaksanakan tahaluf siyasi sejak dari tahun 1982 di atas nama Islam dengan panduan kepimpinan ulamak yang mengambil pertimbangan hukum berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah, dan bukannya di atas semangat yang sempit, apatah lagi berasaskan perkauman yang meruntuhkan pemikiran yang waras. Atas landasan Syariah yang benar dipandukan oleh Majlis Syura Ulamak, PAS telah melakukan dan menamatkan tahaluf siyasi dengan kumpulan-kumpulan yang pelbagai.

Dalam sesi ini sahaja, pimpinan-pimpinan utama Dewan Ulamak PAS Pusat mengambil peluang untuk memberikan penjelasan tentang dasar-dasar PAS dalam pelbagai perhimpunan yang dianjurkan oleh pelbagai pihak. Antara lainnya ialah Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar 2015 dan Muzakarah Jenayah Syariah Kebangsaan anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dimana saya sendiri menjadi salah seorang pembicara, Majlis Perundingan Islam, Multaqa Perpaduan Ummah anjuran Majlis Dakwah Negara dan lain-lain lagi.

Usaha-usaha merintis perlaksanaan Islam berasaskan kepada perpaduan ummah terus dipugar sebagai satu perjuangan; dan bukanlah hanya menjadi agenda apabila kesempitan dan diambang kehilangan kuasa. PAS sesungguhnya istiqamah mengambil panduan daripada tuntutan Allah di dalam al-Quran:

وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعٗا وَلَا تَفَرَّقُواْۚ وَٱذۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَآءٗ فَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦٓ إِخۡوَٰنٗا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةٖ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡهَاۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَهۡتَدُونَ ١٠٣

Maksudnya: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu, maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang Neraka (disebabkan kekufuran kamu), lalu Allah selamatkan kamu dari Neraka itu (dengan nikmat Islam). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayatNya.
(Surah Al-Ali Imran: Ayat 103)

Dewan Ulamak PAS melalui sayap penerbitannya DUPP Publication pada 1 Mei 2016 lalu telah membuat pelancaran penerbitan semula buku Almarhum Tuan Guru Dato’ Haji Harun Taib yang diberi tajuk baru berasaskan wasiat beliau sebagai “Jamaah Islam Menuju Wehdatul Ummah” dalam Seminar Pemikiran Almarhum yang diadakan di Kompleks Tarbiyah Wawasan TG Dato’ Hj. Harun Taib (KAWTHAR), Manir, Terengganu. Buku yang al-marhum tulis seawal tahun 1991 ini adalah garapan yang perlu ditekuni buat menjadi panduan para ulamak dalam memposisikan PAS memimpin politik dakwah dan perpaduan ummah kearah perubahan politik dalam Negara ini.

MEMIMPIN PERUBAHAN EKONOMI DAN SOSIAL

Dewan Ulamak PAS prihatin bahawa pemilikan ekonomi sebenar dan seimbang tidak berlaku kerana harta negara menjadi modal pusingan di kalangan sekelompok kecil sahaja. Rakyat terus menerus dihimpit dengan pelbagai skandal yang menyebabkan hasil Negara yang turun ke bawah bagi mengatasi kemiskinan tidak mencukupi.

Laporan Ketua Audit Negara saban tahun terus menyiarkan kebocoran dan ketirisan hasil daripada ketidak-amanahan dalam proses perolehan dan pengurusan projek oleh agensi-agensi kerajaan. Perkara ini diburukkan lagi dengan penglibatan kerajaan, pemimpin-pemimpin politik kerajaan dan orang-orangnya yang bersaing dalam kegiatan ekonomi rakyat; yang bukan sahaja menutup peluang rakyat untuk persaingan sihat, bahkan memindahkan beban yang banyak keatas rakyat melalui pensyarikatan dan penswastaan. Benarlah Ibnu Khaldun merekodkan dalam bukunya “Al-Muqaddimah”:

التجارة من السلطان مفسدة

“Kegiatan perniagaan oleh kerajaan membawa keburukan.”

Syarikat Pelaburan Kerajaan 1MDB: Defisit Kepercayaan

Krisis syarikat 1MDB telah meletakkan negara Malaysia berhadapan dengan defisit kepercayaan, sebagai tambahan kepada defisit bajet yang telah berturut-turut selama 19 tahun. Setelah kerajaan BN Umnp berhempas pulas menafikan masalah termasuk meminda laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara sekalipun hutang 1MDB menjangkau lebih RM42 billion, akhirnya usaha-usaha mula dibuat untuk mengalihkan beban kepada rakyat. 1MDB telah gagal membayar ansuran bunga kepada kreditor dan bank-bank pusat di Singapura dan Switzeland mula mengambil tindakan terhadap entiti yang berada dalam rangkaian pelaburan 1MDB termasuk menyebabkan anak syarikat sebuah bank saudagar berusia 143 tahun, BSI Bank (Singapore) Limited diarahkan menutup operasi di Singapura pada minggu lalu.

Cukai Jualan dan Perkhidmatan

Di saat Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan diperalatkan untuk mengharuskan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (GST) yang zalim itu, Dewan Ulamak PAS tetap mempertegaskan bahawa GST haram kerana gagal memenuhi syarat-syarat keharusan cukai yang digariskan ulamak:

⦁    Kerajaan berada pada situasi terdesak memerlukan kewangan bagi menguruskan Negara.
⦁    Keperluan kewangan itu berlaku bukan kerana ketirisan dan pembaziran pengurusan kewangan sebelum ini.
⦁    Cukai hanya dikenakan kepada mereka yang mempunyai lebihan pendapatan

Kesan buruk GST menyebabkan kenaikan harga barang yang melampau. Dengan GST harta rakyat termasuk golongan miskin dirompak secara berlesen sehingga menjangkau jumlah RM 42 juta sehari sebagaimana diumumkan oleh kerajaan.

Dewan Ulamak PAS mengucapkan tahniah kepada Ketua Audit Negara yang terus melaksanakan amanahnya dan menuntut bahawa pesalah-pesalah dalam skandal 1MDB dan sebarang ketirisan perbelanjaan kerajaan perlu diambil tindakan undang-undang tanpa mengira jawatan mereka.

Dewan Ulamak PAS mengingatkan kerajaan bahawa penyediaan belanjawan negara bukan sekadar terhenti pada manipulasi prinsip-prinsip perbelanjaan kerajaan, pendapatan kerajaan dan usaha-usaha untuk menutup defisit. Menteri Kewangan khususnya perlu mula mengisi prinsip taqwa dan iman dalam proses “budgeting”. Beriman bermaksud meyakini bahawa Allah yang memberi dan menyempitkan rezeki dan bertaqwa beerti berhati-hati dalam membelanjakan sumber rezeki dengan melihat halal dan haramnya. Firman Allah:

وَلَوۡ أَنَّ أَهۡلَ ٱلۡقُرَىٰٓ ءَامَنُواْ وَٱتَّقَوۡاْ لَفَتَحۡنَا عَلَيۡهِم بَرَكَٰتٖ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذۡنَٰهُم بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ ٩٦

Maksudnya: “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.”
(Surah Al-‘Araf: Ayat 96)

Dewan Ulamak PAS juga menyeru rakyat seluruhnya supaya tidak lagi memberikan amanah kepada kerajaan yang khianat sebegini. Di samping itu, Dewan Ulamak PAS mengingatkan agensi-agensi kerajaan seperti Biro Tatanegara (BTN), Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan pusat-pusat latihan yang lain bahawa persoalan sebegini hanya boleh diselesaikan melalui pengurusan hati dengan pendekatan Islam. Janganlah segan untuk mencontohi Kerajaan Kelantan yang telah sekian lama melaksanakan dasar ubudiyyah, mas’uliyyah dan itqan dalam menguruskan tatakelola kerajaan.

MENDEPANI ISU ANTARABANGSA

Suasana geo-politik dunia dan konflik antarabangsa terus bergolak sehingga ke hari ini. Dewan Ulamak PAS meneliti dengan serius keganasan berterusan regim Zionis dan Asad  ke atas umat Islam di Palestine dan Syria. Begitu juga penganiayaan junta tentera di Burma kepada masyarakat Islam di Rohingya. Asasnya ialah kezaliman dan penindasan tidak boleh dibiarkan berlaku di mana-mana negara di dunia ini. Allah berfirman:

وَلَا تَرۡكَنُوٓاْ إِلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنۡ أَوۡلِيَآءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ ١١٣

Maksudnya: “Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api Neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.”
 (Surah Hud: Ayat 113)

Dewan Ulamak PAS Pusat khususnya melalui ahli-ahli Dewan Harian, Pengarah Strategi dan Lajnah Hubungan Luar dan Antarabangsa sepanjang sesi lalu terus istiqamah menyuarakan ketidakadilan dan penentangan kepada kezaliman ini di pentas antarabangsa sama ada menerusi dialog, demonstrasi, kenyataan media atau forum-forum antarabangsa seperti Kesatuan Ulamak Islam Sedunia, Pusat Penyelidikan Ekonomi dan Sosial (ESAM) di Istanbul, Muktamar Al-Quds, Persidangan Antarabangsa Parti Politik Asia (ICAPP), Persidangan Ahli Parlimen Islam dan sebagainya.

Insya Allah, usaha-usaha akan dilakarkan selepas daripada ini untuk menggiatkan solidarity dengan gerakan-gerakan Islam serantau bagi menyuarakan suara rantau Asia Tenggara terhadap nasib saudara-saudara Islam kita di seluruh dunia.



MEMIMPIN PERUBAHAN DALAMAN ORGANISASI

Meneliti ke dalam organisasi Dewan Ulamak PAS sendiri, bagi membolehkan peranan efektif memimpin perubahan pada sektor-sektor yang lebih besar, saya mengharapkan tumpuan diberikan kepada beberapa aspek berikut pada sesi yang akan datang:

⦁    Peningkatan keahlian dan penubuhan Dewan Ulamak PAS Kawasan

Saya dengan ini mengarahkan seluruh Dewan Ulamak PAS Negeri, Urusan Ulamak PAS Kawasan, Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis dan Lajnah Pembangunan Alimat  mengumpulkan para ulamak dan alimat ke dalam keahlian Dewan Ulamak PAS seramai mungkin. Kita bukan sahaja berdepan dengan kejahilan umat terhadap agamanya, bahkan juga kelemahan para ulamak yang tidak melibatkan diri dalam masyarakat dengan cara yang tepat, tanpa mengira pula kalangan yang diperalatkan oleh musuh. Ada juga yang memberi penekanan pengajian Islam secara serpihan tanpa menyeluruh, lalu menyisihkan diri dari jemaah Islam atas nama bertasawwuf dan beruzlah. Imam Malik r.a. pernah menegaskan:

من تصوف ولم يتفقه فقد تزندق. ومن تفقه ولم يتصوف فقد تفسق. ومن جمع بينهما فقد تحقق

“Sesiapa yang bertasawuf dalam keadaan tidak berfeqah, sesungguhnya dia terjerumus ke dalam zindiq (sesat) dan sesiapa yang tidak berfeqah tanpa tasawuf, sesungguhnya dia fasiq dan sesiapa yang mengumpul di antara kedua-duanya, maka sesungguhnya dia berada di atas kebenaran.”

Kita semua perlu bekerja keras untuk mengumpulkan kalangan ulamak yang berselerak, yang terjerumus ke dalam kelompok musuh dan mahupun yang terpesong hala tujunya kerana tidak berjemaah. Bawalah mereka ini bersama kita, binalah fikrah perjuangan dan fahamkan mereka dengan fiqh siyasah yang dibawa oleh PAS, supaya akhirnya mereka dapat saling lengkap-melengkapi saf perjuangan kita.

Saya mensasarkan agar setelah pindaan Perlembagaan PAS nanti diluluskan untuk mewujudkan Dewan Ulamak PAS Kawasan, organisasi di peringkat kawasan ini akan terus diwujudkan di seluruh kawasan sebelum muktamar yang seterusnya. Pejabat Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat juga perlu memperkasakan sistem pendaftaran dan rekod keahlian bagi menyokong perkembangan ini. Saya harapkan salah satu agenda dalam muktamar akan datang adalah untuk memberi anugerah kepada Dewan Ulamak PAS Negeri yang terbaik dalam melaksanakan agenda keahlian dan penubuhan Dewan-dewan Ulamak PAS Kawasan.

Perkara ini saya tekankan bukanlah disebabkan keperluan organisasi semata-mata, tetapi keutuhan keahlian Dewan Ulamak PAS akan menatijahkan ulamak sebagai ahli ilmu terus berperanan menjaga umat agar tidak tergelincir dari landasan Islam. Firman Allah Taala:

وَمَا كَانَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ لِيَنفِرُواْ كَآفَّةٗۚ فَلَوۡلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرۡقَةٖ مِّنۡهُمۡ طَآئِفَةٞ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِي ٱلدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوۡمَهُمۡ إِذَا رَجَعُوٓاْ إِلَيۡهِمۡ لَعَلَّهُمۡ يَحۡذَرُونَ ١٢٢

Maksudnya: “Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, sekumpulan yang mempelajari secara mendalam ilmu agama dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).”
(Surah Al-Taubah: Ayat 122)

⦁    Pengukuhan organisasi di setiap peringkat

Saya mendapati pada sesi lalu, telah berlaku lonjakan pencapaian oleh beberapa lajnah dalam Dewan Ulamak PAS Pusat dan beberapa buah negeri. Walau bagaimanapun, ada beberapa lajnah dan negeri masih belum mencapai sasaran; maka saya memberikan ingatan kepada kita semua akan keperluan untuk melaksanakan amanah dengan berkesan demi membantu PAS secara umumnya berwibawa dalam meneraju perubahan di peringkat nasional. Oleh itu, amatlah perlu bagi kita memperkukuhkan organisasi Dewan Ulamak PAS melalui tindakan-tindakan berikut:

⦁    Urusan Ulamak Kawasan perlu menilai semula pencapaian sasaran kepimpinan ilmu seorang Tuan Guru di setiap kawasan.
⦁    Urusan Ulamak Kawasan juga perlu menggiatkan kegiatan tarbiyah di kalangan kepimpinan dan ahli akar umbi untuk melahirkan ahli-ahli PAS yang setia dan proaktif.
⦁    Urusan Ulamak Kawasan dengan kerjasama PAS Kawasan perlu mensasarkan penubuhan pusat pendidikan rendah dan menengah di setiap kawasan. Di peringkat pusat, Majlis Pendidikan PAS akan berusaha memperkasa struktur pendidikan PAS dengan kerjasama organ-organ lain dalam PAS seperti Lajnah Pendidikan PAS dan Dewan-dewan Pemuda dan Muslimat.
⦁    Lajnah-lajnah berkaitan dan Dewan Ulamak PAS Negeri perlulah mengadakan aktiviti-aktiviti memperkasakan ilmu individu para ulamak menerusi wacana ilmiyah berterusan khususnya dalam persoalan melibatkan dasar-dasar politik, ekonomi dan kenegaraan. Usaha-usaha juga perlu dilakukan menggiatkan program-program latihan kepimpinan bagi meningkatkan kewibawaan kepimpinan para ulamak.
⦁    Semua organ Dewan Ulamak PAS Pusat perlu lebih merakyatkan program-program yang kreatif dan bersikap “responsive” terhadap isu semasa negara.

TUJUH (7) CIRI ULAMAK PEMIMPIN PERUBAHAN

Secara lebih spesifik, menyedari besarnya tantangan untuk memimpin perubahan, saya menyeru para ulamak haraki seluruhnya agar menghiasi diri dengan tujuh (7) ciri berikut:

⦁    TAQWA. Ulamak haraki perlulah menjadi individu yang paling bertaqwa dan paling bertaqarrub kepada Allah Taala dikalangan ahli-ahli PAS. Sesungguhnya ketaqwaan kitalah yang menjadi sebab Allah mengurniakan kemenangan.

⦁    FAQIH. Ulamak haraki perlulah benar-benar mendalami segala cabang ilmu Islam agar mampu memandu perjalanan PAS sebagai sebuah parti dan jemaah yang berkesan memberikan penyelesaian Islam.

⦁    AMANAH. Ulamak haraki perlulah amanah pada ilmu, pada kata-kata dan pada tindakannya. Ulamak haraki hendaklah benar-benar menjadi orang yang paling takutkan akan Allah dan melaksanakan tanggungjawabnya seperti dikehendaki oleh Allah.

⦁    MUJAHID. Ulamak haraki perlulah menjadi kepala di medan; tidak hanya di medan ilmu dan tarbiyah. Ulamak haraki menunjangi pengorbanan jiwa, masa dan harta dalam semua bidang keperluan jemaah seperti politik pilihanraya, kebajikan dan kemasyarakatan, antarabangsa, hubungan bukan Islam dan lain-lain.

⦁    MURABBI. Ulamak haraki perlu gigih mentarbiah ahli seluruhnya melalui usaha yang serius, berperancangan dan bersungguh-sungguh untuk menjadi amilin parti yang mengikut acuan dan celupan (sibghah) Islam, dari segi ilmu, cara beramal dan akhlaqnya. Dari kumpulan seteguh inilah, dengan izin Allah, pertolongannya akan datang.

⦁    MU’AYASYAH. Ulamak haraki pemimpin perubahan bergaul dengan masyarakat pelbagai peringkat dan kaum untuk menyampaikan tasawwur Islam agar perjuangan PAS diterima oleh semua, dihormati kawan dan digeruni lawan.

⦁    MUSTAQBALIYYAH. Ulamak haraki berusaha menjadi kelompok pemikir yang memandang jauh ke hadapan, mencorak arah dan langkah perjuangan PAS dipandui oleh hikmah kebijaksanaan hasil kefahaman kepada al-Quran, as-Sunnah dan sirah perjuangan generasi terdahulu.

Allah Taala sama sekali tidak akan mensia-siakan usaha kita, pertolongannya pasti tiba dan agama-Nya akan menjadi yang tertinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya. Firman Allah:

وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ٤٠ ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ ٤١

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya; sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. Iaitu mereka yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Surah Al-Hajj: Ayat 40-41)

PENUTUP

Akhirul kalam, saya merakamkan penghargaan kepada ahli-ahli Dewan Ulamak PAS yang telah berusaha untuk menggerakkan agenda politik dakwah kita di 11 dewan undangan negeri dalam Pilihanraya Negeri Sarawak baru-baru. Saya juga mengucapkan tahniah kepada calon-calon ulamak pelapis dan teras di Dewan Undangan Negeri Samariang dan Sebuyau atas prestasi yang cemerlang. Sesungguhnya perjalanan kita masih jauh, tetapi janji kemenangan Allah pasti akan dicapai di bumi Kenyalang pada satu hari nanti.

Marilah kita mengukuhkan tekad dan keazaman untuk terus berjuang kerana Allah. Sesungguhnya perjuangan memerlukan pengorbanan yang tidak sedikit; bahkan menjangkau kepada harta-benda, masa, fikiran sehinggalah kepada diri sendiri yang menjadi taruhan:

ٱنفِرُواْ خِفَافٗا وَثِقَالٗا وَجَٰهِدُواْ بِأَمۡوَٰلِكُمۡ وَأَنفُسِكُمۡ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِۚ ذَٰلِكُمۡ خَيۡرٞ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ ٤١

Maksudnya: “Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan ataupun dengan keadaan berat; dan berjihadlah dengan harta-benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu jika kamu mengetahui.” (Surah Al-Taubah: Ayat 41)

Bagi pihak seluruh kepimpinan dan perwakilan, saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada tuan rumah iaitu YB Dato’ Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Kelantan dan seluruh ahli-jawatankuasanya, panitia muktamar dan semua petugas yang terlibat menjayakan muktamar kali ini. Mudah-mudahan segala amal ini mendapat ganjaran pahala di sisi Allah s.w.t.

USTAZ DATUK DR MAHFODZ MOHAMAD
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat

Share on Myspace