Muslimat Memacu Kemenangan

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH | .

UCAPTAMA KETUA DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT
MUKTAMAR TAHUNAN DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT KALI KE-56

بسم الله الرحمن الرحيم
وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ لَيَسۡتَخۡلِفَنَّهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ كَمَا ٱسۡتَخۡلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمۡ دِينَهُمُ ٱلَّذِي ٱرۡتَضَىٰ لَهُمۡ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّنۢ بَعۡدِ خَوۡفِهِمۡ أَمۡنٗاۚ يَعۡبُدُونَنِي لَا يُشۡرِكُونَ بِي شَيۡ‍ٔٗاۚ وَمَن كَفَرَ بَعۡدَ ذَٰلِكَ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ ٥٥

“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.“ (Surah An-Nur ayat 55)

Saya ucapkan ahlan wa sahlan wa marhaban bikum di atas kehadiran semua, selamat bermuktamar kepada para muktamirat, selamat bertugas kepada Pengarah dan AJK pelaksana muktamar ini di semua peringkat.

Terima kasih jua yang dapat diberi kepada Allah SWT harapan menggunung tinggi agar muktamar terlaksana dengan harmoni dan kita semua dirahmati Ilahi. Amin.

Amanah Pilihan raya
    
Alhamdulillah syukur kepada Ilahi, negara kita telah selesai menghadapi Pilihan raya Negeri (PRN) Sarawak. Walaupun Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tidak memenangi satu pun kerusi yang ditandingi, namun kita sangat bersyukur setelah 20 tahun PAS berada di Bumi Kenyalang akhirnya PAS dapat menghantar calon di 11 kerusi DUN. Kesemua mereka daripada kalangan anak-anak tempatan yang hebat dan professional, termasuk seorang calon muslimat.
    
Kini ramai kepimpinan PAS Sarawak terdiri daripada anak-anak tempatan yang lahir hasil daripada tarbiyah PAS. Berbeza sebelum ini, kepimpinan PAS Sarawak sebahagian besar datang dari Semenanjung. Semoga benih suci dakwah Islamiyah akan terus subur di bumi bertuah tersebut.
             
Kepada semua  pihak yang telah menyumbangkan tenaga, fikiran, harta benda dan sebagainya untuk kejayaan PAS dalam misi mengembangkan dakwah Islam di Bumi Kenyalang tersebut, kita mengucapkan berbanyak terima kasih, semoga Allah SWT  memberi  sebaik ganjaran dunia dan akhirat.
    
Seterusnya kita akan menghadapi pula Pilihanraya Kecil (PRK) di Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak selepas berakhirnya muktamar kita ini. InsyaAllah PAS akan bertanding di kedua kerusi Parlimen tersebut. Oleh itu jentera PAS semua peringkat hendaklah digembleng dengan sebaiknya.

Bekerjalah kerana Allah dengan tanzim yang tersusun rapi serta mempamerkan akhlak mulia. Turunlah bertemu dengan para pengundi, terangkan kenapa mereka perlu memberi undi kepada PAS. Rayulah mereka dengan sebaiknya serta berdoa dan bemunajatlah kepada Allah SWT.
    
Kita mesti menginsafi bahawa pilihan raya adalah sebahagian tugas untuk menyempurnakan amanah Allah SWT yang mesti kita laksanakan dengan sebaiknya.  Kita tahu soal kepimpinan adalah suatu perkara yang besar dalam Islam, bahkan kewujudan manusia di atas muka bumi ini sendiri adalah untuk menunaikan tugasan khalifah iaitu tugasan memimpin manusia ke arah yang diredhai Allah SWT.
    
Oleh sebab itu PAS terus mengambil peluang melaksanakan amanah ini, walaupun telah 13 kali pilihanraya umum belum lagi dikurniakan oleh Allah SWT kemenangan di peringkat Persekutuan.
    
DMPP menyeru kepada semua jentera parti untuk meneruskan gerak kerja siasah melalui medan tarbiyah, dakwah dan kebajikan. Sentiasa peka dan perihatin terhadap amanah yang dipikul. Sabda Baginda SAW yang bermaksud :

“Setiap seorang dari kalangan orang Islam diamanahkan menjaga satu penjuru dari kubu-kubu umat Islam. Demi Allah SWT janganlah Islam itu dilemahkan dari sudut yang dijaganya”. (Hadith Hasan)

Muslimat Memacu Kemenangan
      
Muslimat mestilah menyediakan kemahiran, kepakaran, kebolehan dalam pelbagai bidang. Muslimat mesti membina kekuatan dari segi pengetahuan, spiritual dan jasmani untuk mendepani pelbagai situasi hari ini yang mencabar. Sebagai contoh para hukama ada menyatakan:

"المرأة عمادالبلاد, اذا صلحت, صلحت البلاد واذا فسدت, فسدت البلاد"

Yang bermaksud: “Wanita adalah tiang negara, jika baik wanita maka baiklah negara, jika rosak wanita maka rosaklah negara.”

Pepatah Melayu juga ada menyebut: “Tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia.”
                
Usia 56 tahun perjuangan muslimat PAS bukanlah  perjuangan yang pendek, malah melakari pelbagai kenangan dan sejarah. Perjuangan yang menuntut pelbagai pengorbanan, mengeluarkan keringat dan air mata, suka duka dan pahit manis. Semua dilalui semata-mata mencari keredaan Allah.
    
Sejarah perjuangan dan kejayaan Islam telah memaparkan peribadi muslimat ideal yang semestinya menjadi teladan kepada kita yang bercita-cita untuk melihat Islam menang dan kesejahteraan hidup ummah menjadi kenyataan.
    
Keimanan terhadap Allah dan Islam yang mantap, pengorbanan dan pengabdian yang tiada tandingannya oleh Siti Hajar isteri Nabi Ibrahim AS dan bonda Nabi Ismail AS telah menjadi asas kepada pembangunan dan kemakmuran sebuah tamadun hingga ke hari ini. Alangkah beruntungnya perjuangan Islam dan makmurlah kehidupan manusia andainya jejak Siti Hajar ini diikuti oleh muslimat sepenuhnya.
    
Seterusnya sejarah juga memperlihatkan keutuhan dan kejayaan perjuangan kebenaran oleh wanita-wanita solehah yang menerima didikan daripada Baginda SAW. Saidatina Khadijah umpamanya seorang lagi wanita pengukir sejarah kesejahteraan tamadun ummah. Sebagai wanita dan isteri terpilih kepada seorang Rasul terakhir, dengan penuh keimanan beliau telah menyerahkan segala yang dimilikinya semata-mata untuk izzah perjuagan agama yang dibawa oleh Nabi terakhir ini yang juga suaminya.
    
Saidatina Khadijah menjadi manusia pertama yang beriman dengan risalah Baginda SAW. Dengan keimanan yang benar dan mantap, beliau senantiasa menjadi penolong yang teguh kepada Baginda Rasulullah SAW. Beliau menolong perjuangan Baginda SAW dengan segala apa yang dimilikinya di saat manusia lain tiada yang mahu membantu. Saidatina Khadijah terus menerus menjadi sekutu perjuangan Nabi SAW, isteri yang ideal, rakan yang selalu membesar dan menenangkan hati, pendamping yang selalu membantu dengan harta dan dirinya. Saidatina Khadijah benar-benar mesti menjadi guru teladan kepada kita yang mahu melihat kemenangan Islam. Kehidupan Baginda SAW dan Saidatina Khadijah benar-benar merealisasikan firman Allah SWT:

وَٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَٱلۡمُؤۡمِنَٰتُ بَعۡضُهُمۡ أَوۡلِيَآءُ بَعۡضٖۚ يَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَيُطِيعُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥٓۚ أُوْلَٰٓئِكَ سَيَرۡحَمُهُمُ ٱللَّهُۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٞ ٧١

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah At-Taubah ayat 71)
    
Di samping isteri-isteri dan anak-anak Baginda SAW, ramai lagi wanita hebat sahabiyyah yang menjunjung risalah ketuhanan dan kenabian ini dengan penuh ketaqwaan dan ketaatan. Tentu kita ingat nama-nama seperti Asma’ Binti Abu Bakar, Asma’ Binti Umais, Khaulah Binti Tha’labah, Nasibah Binti Ka’ab, Ummu Sulaim, dan ramai lagi mereka yang melakari sejarah kegemilangan Islam. Jangan kita jemu menelusuri sejarah mereka untuk menjadi ikutan dan pembakar semangat juang kita bagi memacu kemenangan Islam.

Dalam Dewan Muslimat di semua peringkat terdapat kepakaran tenaga muslimat dalam pelbagai bidang. Penggembelengan tenaga muslimat muda melalui NUSAIBAH membuktikan muslimat cakna peri pentingnya tenaga muda.

AMEERAH dan BRIGED MUSLIMAT yang mempunyai peranan tertentu dalam Dewan Muslimat menjadi bukti pembinaan pelapis kepimpinan muslimat di masa hadapan.

Mereka diberi ruang dan peluang yang luas untuk menyumbang idea, tenaga dan kepakaran masing-masing. Justeru itu, muslimat akan dapat memacu kemenangan Islam di negara ini, InsyaAllah.

Ciri-ciri Generasi Kemenangan
    
Firman Allah (SWT):
وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ٤٠ ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ ٤١

“Dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam) sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.”
(Surah Al-Hajj ayat 40-41)
    
Melalui ayat ini dan ayat 55 surah An-Nur (yang telah dibacakan di awal tadi) jelas kepada kita Allah SWT menyampai khabar gembira dengan janji kemenangan dan kekhalifahan kepada orang-orang yang beriman.
    
Untuk mencapai kejayaan dunia dan akhirat tentulah Rasulullah SAW jua menjadi suri teladan kita semua, firman Allah SWT:

لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِي رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٞ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأٓخِرَوَذَكَرَٱللَّهَ كَثِيرٗا ٢١

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”
(Surah Al-Ahzab ayat 21)
    
Berdasar ayat-ayat Allah SWT dan sirah perjuangan Baginda SAW serta para sahabat, sepuluh ciri-ciri berikut perlu ada pada setiap individu termasuk muslimat yang dapat memacu kemenangan perjuangan serta mendapat kejayaan dunia dan akhirat.

Pertama: Ikhlas kerana Allah SWT
Iaitu berjuang dengan melaksanakan segala aktiviti rohani dan jasmani kerana Allah semata-mata.

Kedua: Cinta kepada Allah SWT
Iaitu cinta yang menguasai hati sanubari dan tindakan seseorang sehingga menjadikan Allah lebih dikasihi daripada yang lainnya.

Ketiga: Jiwa yang takut kepada Allah SWT
Ketakutan yang membangunkan perasaan kehebatan, kebesaran, dan keagungan Allah dalam setiap aktivitinya.

Keempat: Banyak melaksana dan mengutamakan ibadah seperti solat, zikir dan sebagainya.

Kelima: Tawadhuk iaitu tawadhuk pada Allah, diri sendiri dan insan yang lain.

Keenam: Zuhud iaitu perasaan berpaling daripada keseronokan dunia.

Ketujuh: Berjuang iaitu berjihad dengan sebenar-benar jihad di jalan Allah SWT.
Kelapan: Sabar dan Thabat kerana perjuangan Islam tidak dihampari dengan permaidani merah.

Kesembilan: Adil dan seimbang iaitu antaranya mengimbangi hak peribadi, keluarga dan masyarakat.

Kesepuluh: Memelihara ukhuwah islamiyah dan saling kuat-menguatkan lalu membentuk saf yang tersusun rapi.

Ciri-ciri ini perlu dibina dengan berusaha menjadikan muslimat penggerak dan pemacu kemenangan :

Muslimat yang alim iaitu muslimat yang berilmu dan cintakan ilmu terutamanya ilmu-ilmu yang berpaksikan Al-Quran dan Hadith.

Muslimat yang haraki iaitu muslimat yang berjuang menegakkan kebenaran dan keadilan bersama-sama dengan jamaah dan mematuhi disiplinnya.

Muslimat yang sufi iaitu muslimat yang senantiasa mencari jalan untuk rapat dan dekat dengan Tuhannya.
P
enyataan ini diringkaskan kepada pembinaan muslimat AKIFI iaitu muslimat yang alim, haraki dan sufi.

Bersama Denyut Nadi Rakyat

(a)   Permasalahan Ekonomi Rakyat dan Negara
    
Di Malaysia, masih terdapat rakyat yang diselubungi dengan kemiskinan tegar. Prasarana asas seperti persekolahan, perumahan, perkhidmatan air, bahkan makan minum umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang masih membelenggu kehidupan.

Muslimat sewajarnya bersedia dan peka dengan keperluan masyarakat hari ini. Tekanan hidup dalam ekonomi menjadikan masyarakat hidup hanya memikirkan kepentingan masing-masing. Walaupun PAS tidak mempunyai dana kebajikan tetapi muslimat di mana pun mereka berada tetap berusaha melaksanakan kerja-kerja kebajikan. Menghulurkan bantuan seadanya. Sentiasa simpati dan empati terhadap mereka yang kurang bernasib baik.

Kenapakah ini berlaku sedangkan negara kita telah merdeka lebih separuh abad. Allah SWT jua telah mengurniakan pelbagai hasil bumi yang sangat lumayan bagi negara kita.

Lalu ingatlah firman Allah SWT ini:

ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ ٤١

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah Ar-Rum ayat 41)

Masalah ekonomi rakyat bertambah parah dengan isu peningkatan kadar pengangguran. Lebih 45,000 rakyat hilang pekerjaan serta pelbagai keperitan hidup terpaksa ditanggung oleh rakyat hasil pemerintahan BN. Rakyat marhaen terus tertindas apabila harga komoditi yang menjadi sumber pendapatan mereka, sebagai contohnya getah  yang semakin menurun, sedangkan kos hidup terus meningkat.

Isu GST, FELDA, nilai mata wang Malaysia yang terus menerus turun, masalah perkhidmatan awam seperti teksi, harga rumah yang melambung dan sebagainya terus berlalu satu persatu tanpa ada jawapan dan penyelesaiannya.

Negara terus berdepan dengan pelbagai skandal yang dikaitkan dengan kepimpinan utama negara. Skandal-skandal ini sebenarnya menjatuhkan wibawa negara Malaysia itu sendiri di mata antarabangsa. Dato’ Seri Najib sendiri yang dikaitkan dengan krisis-krisis ini seperti skandal RM55 billion, 1MDB, derma RM4.2 billion dan lain-lainnya, senyap seribu bahasa atau memberi jawapan yang tak masuk akal, mencari helah untuk memadamkan isu, bahkan menjadi bahan lawak antarabangsa pula.

Rakyat Malaysia terus dihempap dengan masalah recycle yang berterusan dalam pelbagai bidang seperti bidang ekonomi, pendidikan, sosial dan sebagainya. Antara punca utama pelbagai krisis ini adalah disebabkan gaya pemerintahan UMNO BN itu sendiri. Mereka lebih mengutamakan style cintakan dunia daripada memfokuskan pembangunan insan itu sendiri.

(b)  Rakyat dan Pendidikan

Dalam bidang pendidikan, Kerajaan hari ini mewar-warkan pendidikan abad ke 21. Namun hakikatnya, ia tidak akan dapat melahirkan generasi Rabbani yang boleh menggalas kepimpinan negara yang berkualiti. Ini adalah rentetan daripada fokus pendidikan abad ke 21 hanya tertumpu kepada generasi yang berkemahiran dari segi komunikasi fleksible, berinisiatif, kemahiran berfikir, berteknologi, tetapi tidak berasaskan kepada pembangunan insan yang taat kepada penciptaNya. Justeru, menjadi cabaran kepada muslimat untuk melahirkan dan mendidik anak-anak yang soleh dan solehah menjadi penerus perjuangan.

Ke manakah haja tuju Dasar Pendidikan Negara kita? Perlaksanaan Program Dwi-Bahasa (Dual Language Program) menambah lagi kecelaruan pendidikan negara.

(c)  Kebejatan Sosial Yang Melanda Rakyat

Isu tentang keruntuhan akhlak remaja dan pelajar hari ini yang meruncing, tidak boleh diselesaikan hanya dengan menyarankan supaya diadakan matapelajaran Sivik dan Kenegaraan di sekolah sahaja. Oleh itu, satu pendekatan yang holistik perlu dibuat bagi menghadapi permasalahan ini.

Baru-baru ini Malaysia dikejutkan sekali lagi dengan berita yang menarik dan memberi penuh pengajaran. Kisah seorang transgender yang kembali ke pangkal jalan dan kini aktif dalam medan dakwah. Penghijrahan beliau dapat menjadi pendorong kepada rakan-rakannya yang masih terjerumus dalam kecelaruan jantina untuk berubah kepada kehidupan yang sihat dan berkat. Kemudian timbul pula kisah bekas gangster yang bertaubat setelah bertahun terjebak dalam dunia gangsterisme. Kedua-dua kisah ini adalah berkat daripada doa ibu mereka yang tidak kenal erti putus asa. Berita ini telah menggembirakan bukan sahaja keluarga mereka tetapi juga umat Islam seluruhnya.

Malangnya kita juga dikejutkan dengan kisah sepasang suami Isteri Melayu mengisytiharkan diri mereka murtad dan membawa bersama anak-anak yang masih kecil.

Permasalahan LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender) dan murtad adalah isu yang telah melingkari dalam masyarakat kita sekian lama.

(d) Cabaran Globalisasi dan Eksploitasi Wanita

Hari ini kita juga berhadapan dengan cabaran-cabaran globalisasi yang merupakan side effect internet atau media baru. Teknologi ini mempercepatkan lagi penyebaran budaya asing yang tidak sihat yang menghilangkan identiti budaya tempatan secara perlahan-lahan. Serangan-serangan pemikiran yang mahu meleraikan ikatan agama semakin berleluasa. Sesungguhnya ancaman globalisasi ini berupaya merosakan agama, kedaulatan negara, bangsa, undang-undang, bahasa, dan budaya.

DMPP juga mengutuk sikap sebahagian syarikat perniagaan yang mengeksploitasi wanita untuk melariskan produk mereka. Sepatutnya maruah wanita perlu dijaga terutama oleh mereka yang mempunyai kuasa.

DMPP berazam untuk meletakkan wanita ditempat yang mulia selaras dengan dasar Islam yang menjadi tonggak perjuangan PAS. Islam mengiktiraf kebolehan, kemampuan, kepakaran anugerah Allah kepada wanita. Islam menyediakan ruang tugas yang sepatutnya kepada para wanita.

(e)  Cabaran-cabaran Lain

Terdapat pelbagai lagi isu yang mencabar kesejahteraan kehidupan rakyat Malaysia khususnya kepada golongan wanita antaranya isu kepenggunaan, kesihatan, alam sekitar dan sebagainya yang perlu ditangani oleh kita semua.

Mengantarabangsakan Muslimat PAS

Adalah menjadi harapan agar DMPP dapat memainkan lebih banyak peranan di peringkat antara bangsa melalui engagement khususnya dengan NGO dan sayap muslimat Gerakan Islam di pelbagai negara.

DMPP juga melahirkan rasa simpati dengan nasib wanita muslim dan keluarga mereka di negara Timur Tengah khususnya di Syria dan Palestin yang berhadapan dengan ancaman pembunuhan, rogol dan pencabulan seksual. DMPP mengecam tindakan zalim dan tidak berperikemanusian ini.

DMPP mengharapkan semua golongan prihatin dan memberikan sokongan moral serta kewangan kepada mereka.

Islam Penyelesaian Masalah Ummah
    
Firman Allah SWT:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱدۡخُلُواْ فِي ٱلسِّلۡمِ كَآفَّةٗ وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيۡطَٰنِۚ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٞ ٢٠٨

“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” (Surah Al-Baqarah ayat 208)

Islam yang diturunkan oleh Allah SWT adalah ad-din iaitu satu cara hidup. Oleh itu Allah SWT memerintah agar setiap urusan dunia dan akhirat hendaklah berteraskan kepada ajaran Islam.

Begitulah juga dengan urusan pemerintahan negara mestilah berlandaskan epistemologi dan tasawwur Islam yang sebenar. Ini kerana matlamat pengurusan dan pentadbiran negara adalah untuk mendapat keredhaan Allah SWT.

Oleh itu DMPP menyeru dan mengulangi desakan kepada pemimpin negara Malaysia khususnya Umno hendaklah tunduk kepada tuntutan wahyu Allah SWT dalam setiap tindakan pentadbiran dan pemerintahan. Kita mohon agar penggubalan Indeks Syariah Malaysia (ISM) yang dirancang oleh kerajaan Malaysia benar-benar mengikut cara yang ditunjukkan oleh Al-Quran.

DMPP juga bersetuju dengan pandangan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) agar kerajaan Malaysia meminda dahulu peruntukan undang-undang yang menghalang pelaksanaan syariah Islam ketika mengetengahkan Indeks Syariah Malaysia.

Kita juga bersetuju dengan pandangan MAPIM agar tabiat dan budaya hidup pemimpin-pemimpin negara sendiri hendaklah juga patuh syariah mengikut Indeks Syariah Malaysia yang menjadi petunjuk kesungguhan pihak pemerintah mengetengahkan syariah sebagai sistem hidup yang menyeluruh.

Firman Allah SWT:

فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤۡمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيۡنَهُمۡ ثُمَّ لَا يَجِدُواْ فِيٓ أَنفُسِهِمۡ حَرَجٗا مِّمَّا قَضَيۡتَ وَيُسَلِّمُواْ تَسۡلِيمٗا ٦٥

“Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” (Surah An-Nisa’ ayat 65)

Alhamdulillah, setinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana Usul Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) (pindaan) 2016 telah berjaya dibentang oleh Tuan Guru Presiden PAS dalam Sidang Parlimen pada 26 Mei yang lepas. Syariat Islam adalah untuk menangani dan mengatasi lima perkara utama yang diistilahkan sebagai al-kulliyyatul khamsah atau disebutkan juga maqasid as-syariah.

Tujuan syariat diturunkan adalah untuk menjaga agama, akal, maruah, keturunan dan harta manusia. Undang2 Syariah mengajar Umatnya untuk menjaga maruah agar tidak terlibat dalam kecelaruan jantina kerana terlalu banyak mudaratnya, menjaga agama dan aqal dengan mencegah gejala murtad. Maka Syariat adalah cara yang berkesan dalam menangani pelbagai isu yang menjadi barah dalam masyarakat.



Budaya Politik Matang dan Sejahtera

Usia PAS telah melebihi 60 tahun dipersada politik tanah air. PAS telah menghadapi pelbagai mehnah dan tribulasi dalam menegakkan perjuangannya. Namun PAS masih tetap beristiqamah dengan matlamatnya iaitu membentuk negara berasaskan cara hidup Islam.

Untuk itu sebagai sayap perjuangan PAS, Dewan Muslimat PAS keseluruhannya mestilah proaktif dengan agenda pemerkasaan parti yang dibawa dari masa ke semasa oleh pucuk pimpinan parti. DMPP menyokong penuh strategi Budaya Politik Matang Dan Sejahtera (BPMS) yang merupakan gagasan Presiden PAS, YB Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam usaha menguasai politik negara.

Budaya Politik Matang dan Sejahtera adalah antara teras pemerkasaan bagi melonjakkan lagi imej dan pendekatan PAS ke dalam masyarakat dan negara.

BMPS adalah satu gagasan yang memusatkan fokus kepada penyelesaian Islam dan mesej dakwah kepada permasalahan ummah tanpa mengira batasan ideologi dan bangsa.

Oleh yang demikian, PAS akan mendapat kepercayaan (trust) daripada rakyat Malaysia untuk menerajui kepimpinan negara.

Sehubungan dengan itu, semua pimpinan dan ahli-ahli muslimat di semua peringkat perlulah memahami dan bersiap siaga menggerakkan aktiviti parti mengikut strategi BPMS ini. Gagasan ini perlu dijiwai agar setiap langkah kita dilihat teratur dan sekata. Biar jamaah besar kita ini ibarat bangunan yang tersusun rapi.

Firman Allah SWT:

إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلَّذِينَ يُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِهِۦ صَفّٗا كَأَنَّهُم بُنۡيَٰنٞ مَّرۡصُوصٞ ٤

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.” (Surah As-Saff ayat 4)

Penutup

Akhirnya, saya bagi pihak DMPP mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh pimpinan dan ahli PAS muslimin muslimat di semua peringkat atas perhatian, teguran, sumbangan, pengorbanan yang memantapkan lagi perjuangan kita ini. Teruskanlah pengorbanan sebagai bukti keimanan kita terhadap Allah SWT dan Rasul SAW.

Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan yang menjadi tuan rumah muktamar DMPP ini. Moga Allah mengganjarinya dengan sebaik-baik ganjaran.

Begitu juga kepada semua jemputan yang hadir ke muktamar ini. Marilah kita bersama-sama membina negara Malaysia yang sejahtera.

Selamat Bermuktamar, siru ’ala barkatillah.
Wabilahi taufiq wal hidayah, wasalamua’laikum warahmatullahi wa barakatuh.

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat

Share on Myspace