Pakaian: Mereka gagal capai mesej dihantar Pemuda PAS

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: "Penampilan dan gimik berpakaian lagak pahlawan Melayu itu menarik perhatian pelbagai pihak," kata Ketua Penernagn PAS Pusat, Nasrudin Hassan.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada kelainan berpakaian pada majlis perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) kali ke-57, petang semalam

"Tidak kurang mereka yang senak organ fikirnya melemparkan sinis dan penghinaan yang tidak bertanggungjawab," ujarnya dalam tulisan menerusi laman facebook bertajuk Pemuda PAS Pahlawan Ummah, semalam.

Menurut Ahli Parlimen Temerloh itu lagi, mereka gagal mencapai mesej yang ingin dihantar oleh sayap penting parti Islam itu.

Berikut tulisan penuh beliau.

Tiba-tiba sahaja saya terasa diri ini semakin tua apabila saya diundang sebagai tetamu kepada Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) kali ke-57.

Asyik saya mendengar ucaptama YB Ustaz Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz Ketua DPPM yang segak berpakaian pahlawan Melayu. Suatu kelainan yang unik.

Biarpun suaranya bermelodi melayu klasik, YB Ustaz Nik Mohd Abduh seorang yang saya kenali sebagai tinggi nilai dan dalam makna olahan bicaranya.

Saya suka membaca tulisannya dan tertarik dengan titah bicaranya. Benar, nada suaranya tidaklah tinggi berbanding suara saya dan rakan-rakan yang lain namun point yang disampaikan oleh beliau sangat mantap.

Hari ini saya mendengar ucapan beliau dan melihat bagaimana beliau berdiri gagah di stage utama Muktamar DPPM kali ke 57 sebagai Ketua DPPM, sedang muktamar DPPM kali ke 51, 52, 53 dan 54, di situlah saya berdiri menyampaikan ucaptama selaku Ketua DPPM waktu. Ertinya saya sudah menjadi orang tua kepada anak-anak muda yang bermuktamar pada hari ini.

Penampilan dan gimik berpakaian lagak pahlawan Melayu itu menarik perhatian pelbagai pihak. Tidak kurang mereka yang senak organ fikirnya melemparkan sinis dan penghinaan yang tidak bertanggungjawab. Mereka gagal mencapai mesej yang ingin dihantar oleh sayap penting parti Islam ini.

Pemuda bukan sahaja pewaris perjuangan tetapi mereka juga sandaran ummah untuk memastikan perjuangan ini terus dipertahan dan diperjuangkan mendepani cabaran ganas musuh-musuh Allah SWT di sepanjang zaman.

Pemudalah pahlawan jamaah. Pemuda jugalah pahlawan ummah. Jamaah dan ummah memerlukan pahlawan-pahlawan berani, hebat dan berprinsip untuk mengangkat izzah perjuangan Islam di tanah air ini.

Sememangnya Islam di Malaysia pada sepanjang sejarah kebangkitannya telah menyaksikan pahlawan-pahlawan Melayu bukan sekadar tinggi ilmu persilatan mereka tetapi juga ilmu Islam untuk mendidik dan memimpin ummah.

Tuan Guru Haji Hassan Munas atau dikenali sebagai Tok Janggut, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong, Mat Kilau, Dato' Bahaman, Tok Kenali dan ramai lagi tokoh pahlawan melayu yang bertanggungjawab mengembangkan Islam malah berdepan dengan penjajah dan bonekanya yang meragut kemerdekaan negara.

Saya percaya, semangat kepahlawan Melayu Islam inilah yang sedang diterap oleh pemuda PAS Malaysia agar mereka berperanan besar untuk menjadi benteng kepada kemuliaan Islam yang sedang diasak tubi dari segenap arah mutakhir ini.

Selayaknya negara berbangga dan rasa bertuah memiliki anak-anak muda berjiwa pahlawan sebegini. Bukan untuk menjadi petualang tetapi menjadi pejuang. Bukan untuk mengamuk derhaka tetapi menjulang pusaka perjuangan yang diwarisi daripada Nabi Muhammad SAW.

Selamat berjuang anak mudaku. - HARAKAHDAILY 1/6/2016

Share on Myspace