Syor wajib Bahasa Arab bermula sekolah rendah

NUR HASMIRA MOHAMAD | .

KOTA BHARU: Perwakilan Muslimat PAS Kawasan Temerloh telah mengusulkan kepada Dewan Muslimat PAS Pusat mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia agar mewajibkan subjek Bahasa Arab sejak peringkat sekolah rendah lagi sepertimana matapelajaran Bahasa Cina, Inggeris dan Tamil.

Ini berikutan, penguasaan bahasa Arab yakni bahasa al-Quranul karim ini adalah bermanfaat besar bagi mencorakkan akhlak dan menambah ilmiah para pelajar di samping bahasa Arab juga memiliki nilai komersil yang tersendiri yakni memiliki seramai 1.6 bilion umat Islam di seluruh dunia yang mengaplikasikannya.

Usul pada Muktamar Tahunan Dewan Musimat PAS Pusat ke-5tersebut turut menjelaskan masalah gejala sosial yang semakin meruncing jelas menunjukkan kurangnya didikan agama seperti pengetahuan bahasa al-Quran dalam kalangan pelajar bermula di peringkat sekolah rendah adalah sebahagian kesan daripada kegagalan kurangnya pemahaman bahasa Arab.

Sedari permasalahan tersebut khususnya melibatkan pemahaman rohani dan akhlak anak-anak muda remaja, usul tersebut bagaimanapun dipersetujui untuk dibahaskan sebagai memenuhi tuntutan agama iaitu selain jiwa anak-anak.

Perwakilan Negeri Sembilan, Salmah Daulah bangkit untuk menyatakan pandangannya demikian menyedari masih ramai anak-anak muda walaupun memiliki kelulusan sehingga di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) masih gagal menguasai dan membaca surah al-Fatihah.

Usul sebulat suara disokong majoriti selain daripada perwakilan Kota Tinggi yang meminta usul tersebut dibahaskan terus kepada isu-isu semasa dan fokus kepada perkara-perkara penting memandangkan subjek Bahasa Arab telahpun dilaksanakan dalam pendidikan di sekolah rendah di bawah program J-Qaf.

Walaubagaimanapun, perwakilan Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad mencadangkan usul mewajibkan Bahasa Arab di peringkat sekolah rendah adalah perlu dibahaskan supaya muslimat sekalian dilihat mampu mencakna dan menguasai isu-isu semasa khasnya isu pendidikan anak-anak.

Sebanyak lima agenda telah dibahaskan pada sidang Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat kali ke-56 dan fokus utama usul yang dibahaskan adalah lebih menitikberatkan isu pendidikan anak-anak muda yang merupakan pemangkin masa depan negara. - HARAKAHDAILY 1/6/2016

Share on Myspace