Pemuda disaran elak politik retorik

HARAKAHDAILY | .

KOTA BHARU: Pemuda PAS disaran mengelakkan ciri-ciri yang disebut oleh Dr Yusuf al-Qaradawi sebagai penyakit 'simptom retorik'.

Wakil Pemuda PAS Johor, Ahmad Nawfal Mahfodz dalam ucapannya berkata Islam sebagai satu sistem telah sempurna untuk menangani masalah-masalah semasa.

"Kita selaku penggerak tulang belakang harakah Islam wajib meyakini bahawa tiada penyelesaian yang paling ampuh selain daripada Islam," katanya ketika membahaskan ucaptama Ketua Pemuda PAS Malaysia pada muktamar dewan itu ke-57, di sini.

Menurutnya lagi, dalam berpolitik, ciri-ciri simptom retorik itu berpotensi menjangkiti ahli gerakan Islam.

Jelas Ahmad Nawfal, ciri-ciri tersebut ialah, berkobar-kobar dan terawang-awang, mimpi indah, angan-angan jauh dan tenggelam dalam khayalan, terlalu beremosi dan semangat semata, tergesa-gesa dan kurang sabar, malahan terkadang melampau batas, ghairah mencari publisiti sekalipun berlawanan dengan pimpinan, kagum pada tokoh tertentu dan sedaya upaya menirunya, dan berlebihan dalam menyifatkan sesuatu perkara, mengolah dan menghujum terkadangnya.

Menurut beliau, ciri-ciri tersebut tidak semestinya bersifat negatif pada asalnya, tetapi menjadi buruk kerana tidak diurus dengan baik.

Katanya lagi, sebagai penyelesaiannya, penggerak jamaah Islam perlu membersihkan jiwa agar tidak terpesona dengan barah politik retorik tersebut.

Ahmad Nawfal menegaskan, ahli jamaah perlu memberi perhatian pada hal-hal usul dan tidak terperangkap dengan isu remeh dan populis.

Beliau turut menyarankan agar cara berpolitik yang wasatiyah atau sederhana diutamakan, untuk mengelakkan sikap ekstrem dan menyeleweng.. - HARAKAHDAILY 1/6/2016

Share on Myspace