Muktamar di saat PAS hadapi suasana PRK

ASLANI M | .

KOTA BHARU: PAS mulakan muktamar tahunan kali ke-62 ketika sedang menghadapi cabaran pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar tidak lama lagi.

Petugas PAS juga baharu selesai berjuang di medan pilihan raya negeri Sarawak pada Mei lepas.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata muktamar diadakan ketika PAS sedang bersiap bagi menghadapi PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

“Muktamar PAS diadakan di antara dua urusan penting yang dilalui iaitu PRN Sarawak dan PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

“PRN Sarawak baru-baru ini kurang memberangsangkan parti-parti pembangkang,” katanya pada ucapan alu-aluan pada muktamar di Putik hari ini.

Turut memeriahkan muktamar kali ini bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, yang kini sebagai orang kuat Perkasa.

Mursyidul Am Datuk Dr Haron Din tidak dapat hadir kerana keuzuran.

Takiyuddin yang juga Pengarah Muktamar berkata, biar pun berdepan dengan pilihan raya namun sebagai sebuah parti politik PAS tetap memenuhi ruang demokrasi.

“Kehadiran yang memenuhi segenap ruang dalam dewan besar Putik dirakam ucapan terima kasih tidak terhingga,” ujarnya.

Beliau juga tidak lupa merakam ucapan terima kasih kepada Badan Perhubungan PAS Kelantan diketuai Ustaz Datuk Ahmad Yakob, yang memberi kerjasama penuh menjayakan muktamar tersebut.

Ucapan Pengarah Muktamar berakhir dengan pantun tiga kerat dalam loghat Kelantan. - HARAKAHDAILY 2/6/2016

Share on Myspace