Kerajaan menanti: PAS layak berperanan sebagai pemerintah

HARAKAHDAILY | .

KOTA BHARU: Bagi menggalas tanggungjawab sebagai kerajaan menanti, PAS selayaknya mempersiapkan diri untuk berperanan sebagai pemerintah.

"Justeru itu, orientasi PAS kini berbeza," ujar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan PAS ke-62 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), di sini pagi ini.

Katanya, PAS bukan lagi membangkang sekadar membangkang tetapi mengemukakan penyelesaian berasaskan cara dan kaedah penyelesaian Islam terhadap kepincangan yang berlaku sama ada dalam urusan ekonomi mahupun politik dan sosial.

"Jauhilah penampilan retorik tanpa membawa pelan penyelesaian, gagasan, cadangan atau langkah bertindak mengatasi sesuatu isu atau perkara yang kita angkat sama ada di peringkat local atau nasional," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Justeru, kata beliau laungan kasar dan menghukum tanpa fakta yang sahih sehingga bertentangan dengan hati budi psikologi masyarakat Malaysia mestilah dihindarkan.

Beliau turut menggesa supaya menghayati Allah yang bermaksud: Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah lembut, semoga dia beringat atau takut. [Surah Taha: Ayat 43-44]

Tambah beliau, imej itu mesti dibawa dan ditampilkan dalam semua keadaan oleh pimpinan PAS di semua peringkat dalam ceramah, kuliah, tulisan, sidang media, ucapan di Parlimen, Dun dan lainnya.

"Tindakan berpaksikan ilmu dan olahan bertindak juga berlandaskan ilmu.

"Peringkat ini, kita sedaya upaya menolak beberapa pendekatan negatif dan tidak membangunkan minda apatah lagi orientasi berteraskan kebencian dan provokasi," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 2/6/2016

Share on Myspace