Muktamar PAS medan membedah organisasi

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | .

Simbahan indah cahaya keperakan di pagi perasmian Muktamar Tahunan PAS Kali ke-62 di Kota Bharu seperti menghantar isyarat, Parti Islam yang berusia 65 tahun ini akan menjadikan harakatul ummah ini sebagai pemain utama dalam politik tanah air ini. Ribuan para perwakilan dan juga pemerhati  telah membanjiri PUTIK dengan semangat yang menggebu untuk melihat daripada dekat  perjalanan acara tahunan yang paling berprestij kepada harakatul ummah ini.

Muktamar adalah medan ukhuwwah yang mengikat tali hubungan antara pimpinan dan ahli, berbezalah pandangan namun ukhuwwah jangan dileraikan kerana prasyarat kemenangan Islam ialah ukhuwwahfillah. Robohnya ikatan ini akan menghantar gerakan Islam ke jurang berantakan yang akan menyirnakan kekuatan.

PAS semenjak ditubuhkan pada tahun 1951, bukan tidak pernah menyaksikan gelombang besar krisis namun bahtera besar yang seangkatan dengan Ikhwanul Muslimin dan Jamiat Islami ini tetap istiqamah menerjang badai mehnah. Serpihan PAS seperti HAMIM, BERJASA, kumpulan Islah, AKIM, JATI ditelan zaman, namun PAS tetap membesar dengan izzah serta menjadi pesaing utama kepada regim UMNO dan BN.

PAS dengan keahlian yang pelbagai, juga dengan jalur berfikir yang rencam maka perbedaan pandangan bukanlah satu perkara yang pelik. Ditambah dengan fenomena budaya media sosial yang membuka ruang kritikan, ruang argumen seluas mungkin maka PAS menjadi subjek popular yang dibincangkan samada positif atau pun negatif.

Fenomena ini juga melanda Ikhwanul Muslimin, PKS, AKP dan juga gerakan siasah Islam yang lain. PAS selain menjadi subjek popular warga siber, juga tetap menjadi mandraguna stesen TV, radio dan media cetak, ini menunjukkan keberadaan PAS di tanah leluhur ini sangat signifikan. Bahkan Cara berpakaian pimpinan PAS turut memicu selera peminat negara ini. Sadis sekali!.

Muktamar PAS di zaman siber ini walaupun jauh berbeda dengan puluhan tahun yang lampau, namun aspirasinya tetap sama iaitu membedah organisasi dalam tempoh penggal setahun. Muktamar bukanlah medan untuk mengampu pemimpin seperti Perhimpunan Agung Umno, juga bukan medan membaling kerusi seperti yang terjadi kepada parti konvensional yang lain.

Gerakan Islam ini walau cuba ditanam benih musuh untuk meluluhlantak akhlak pendukungnya, namun dalam sejarahnya muktamar PAS masih terkawal. Paling dramatik dalam medan tahunan ini ialah pada tahun 1982, apabila para perwakilan telah menolak ucapan dasar Yang Dipertua (Presiden) PAS. Penolakan ucapan dasar ini membawa kepada perletakan jawatan Dato Asri dan pimpinan PAS yang lain.

Muktamar PAS bukan sahaja medium Presiden untuk mentarjih perjalanan harakatul ummah ini melalui ucapan dasar Presiden, juga perwakilan akan menilai keupayaan pimpinan pusat yang telah mereka lantik. Bedah organisasi melalui laporan muktamar, sejauh mana lujnah-lujnah berperanan yang melambangkan kompetensi seseorang pimpinan pusat mengurus amanah.

Muktamar adalah tempat paling ideal untuk melontar idea dan berpencak hujjah, bukannya medium FB serta media sosial yang lain. Maka manfaatkan masa berharga selama tiga hari ini di bumi Kelantan, pimpinan wajib berlapang dada dan mendepangkan telinga, mendengar suara akar umbi.

Budaya politik matang dan sejahtera anjuran PAS menggema dalam perasmian kali ini, maka para perwakilan juga wajib menunjukkan tahap kematangan emosi dan intelektual yang mapan.

Ayuh, abnaul harakah sekalian, genggamlah tangan berpadu tenaga, berderapan kita melangkah gagah di jalan juang ini. Muktamar adalah medan menguatkan gerakan Islam ini, bukan medan melebarkan jurang ukhuwwah. Terus beristiqamah sehingga panji kemenangan kita julang sama ada dunia dan akhirat! - HARAKAHDAILY 2/6/2016

Penulis ialah AJK PAS Pusat dan AJK Lujnah Politik Pusat.

Share on Myspace