PAS menterjemah budaya politik matang dan sejahtera

DR AZMAN IBRAHIM | .

Ucapan Dasar Datuk Seri Tuan Guru Presiden di Muktamar Tahunan PAS ke-62 telah membentangkan kepada khalayak muktamar dan dunia bagaimana PAS komited dalam menterjemahkan budaya politik matang dan sejahtera ke alam realiti.

Datuk Seri Tuan Guru Presiden telah menggariskan secara tegas dan berhemah bagaimana Islam mampu menjadi tunjang kepada budaya politik baru ini.

Politik matang dan sejahtera didasarkan kepada asas politik Islam yang berkait dengan penerimaan balasan di akhirat serta di dalamnya ada perkiraan dosa dan pahala. Politik Islam bukanlah kesempatan untuk mengaut peluang dan kekayaan.

Pemisahan politik dari Islam adalah punca wujudnya pemimpin dan rakyat tidak beramanah di posisi masing-masing sehingga menjadikan amanah barang mainan yang diabaikan.

Negara Malaysia adalah sebuah negara umat Islam yang sembahyangnya berkiblat ke arah Baitullah tetapi anehnya dalam politik dan ekonomi reda berkiblatkan ke arah Rumah Putih.

Kita bangga berkiblatkan ke arah barat sedangkan tahap kemajuan tamadun barat sekarang sedang memusnahkan diri mereka sendiri kerana tamadun yang dibina tidak mencapai tahap fitrah manusia.

Islam mensyaratkan politik dengan jati diri insan yang beriman dan berilmu. Keyakinan kita dengan politik Islam adalah berpijak dengan dasar kesempurnaan Islam dari Allah.

Islam yang dimulakan dari Bumi Mekah yang tandus dan kering kontang tanpa tamadun. Penduduknya yang dibina dan ditarbiyah dengan acuan fitrah dan rabbani akhirnya dapat mengalahkan musuh di sekeliling mereka sehingga akhirnya dapat mengalahkan kuasa besar Rom dan Parsi yang lebih bertamadun.

PAS ingin membawa Islam yang menjadi rahmatan lil 'alamin. Islam yang tulen dan bukannya pak turut dalam negara Malaysia.

PAS adalah kerajaan menunggu yang perlu tampil dengan pendekatan berbeza. Jauhi retorik kosong yang tak berpijak di bumi nyata. Laungan kasar tanpa fakta yang bertentangan dengan hati budi masyarakat hendaklah dihindari.

Politik matang dan sejahtera yang ingin diterjemahkan PAS ialah politik yang berdasarkan fakta yang benar untuk melahirkan tindakan yang tepat. Politik yang benar bukannya persepsi.

Bukan zamanya lagi untuk PAS berpolitik secara primitif. Politiking yang kasar dan melampau akan menyebabkan rakyat awam tersepit sehingga tidak lagi mempercayai janji politik dari kerajaan atau pembangkang.

Penampilan kepimpinan dan pendekatan mereka tentunya perlu fleksibel dan anjal sesuai dengan suasana. PAS perlu tegas untuk menyatakan yang benar itu benar dan yang salah itu salah.

Perjuangan PAS akhirnya disandarkan kepada 3 asas. Yang pertama iman yang kukuh. Yang kedua izzah merasa mulia dengan Islam dan yang ketiga ialah cita-cita kemenangan ialah benar dari Allah sama ada menang di dunia atau akhirat. - HARAKAHDAILY 2/6/2016

Share on Myspace