PRK: Bukan pelik bertembung sesama pembangkang

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan bukan perkara pelik apabila parti yang mendukung dalam satu pakatan bertembung sesama sendiri dalam pilihan raya kecil (PRK).

Presiden PAS berkata situasi itu pernah berlaku di England dan Indonesia di mana parti yang berada dalam satu pakatan bertembung sesama mereka dalam PRK.

Katanya, pernah Parti Liberal dan Konservatif bertembung sesama mereka pada PRK yang diadakan di England.

“Begitu juga parti yang berada dalam satu pakatan di Indonesia bertembung sesama mereka dalam PRK. Jadi bukan perkara pelik kalau PKR juga membantu PAN dalam PRK di sini.

“Kita bukan bertembung dalam pilihan raya negeri, sebaliknya PRK, jadi ia tidak pelik. Lagi pun PAS pernah bertembung sehingga lima penjuru dalam pilihan raya yang diadakan sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas  menyampaikan ucapan dasar Muktamar Tahunan PAS ke-62 di Pusat Tarbiah Islamiah (Putik) hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan dan Ketua Penerangan, Ustaz Nasruddin Hassan.

PAN semalam mengumumkan calon bakal bertanding pada PRK Sungai Besar yang akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru.

PAS sebelum ini mengumumkan Adun Meru Dr Abdul Rani Osman dalam misi menawan Dun terbabit. BN juga mengumumkan Adun Sungai Panjang  Budiman Mohd Zohdi bertanding di kerusi tersebut.

Manakala malam tadi Pengerusi PAN Sungai Besar Azhar Abdul Shukur juga diumumkan sebagai calon pada PRK itu.

Tuan Guru Abdul Hadi juga berkata penyertaan PAS dalam PRK bukan perkara baru, sebaliknya PAS menyertai pilihan raya sejak 1955 dan hanya menang satu kerusi iaitu Parlimen Kerian.

Bagaimanapun katanya, hubungan dengan PKR masih lagi macam biasa biarpun parti itu memberi sokongan kepada PAN yang dianggap mewakili Pakatan Harapan. - HARAKAHDAILY 2/6/2016

Share on Myspace