Hak Kelantan untuk martabatkan Islam

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Usaha kerajaan Kelantan memartabatkan Mahkamah Syariah selaras dengan Jadual ke-9 memandangkan ia sebagai hak kepada negeri-negeri.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata kerajaan Kelantan berunding dengan kerajaan pusat bagi memberi laluan untuk membolehkan Mahkamah Syariah diperkasakan.

“Apa yang kerajaan Kelantan buat untuk menaik taraf mahkamah syariah bagi negeri-negeri yang ada Sultan. Lagi pun titah Yang di-Pertuan Agong  sebelum ini supaya  Mahkamah Syariah dinaik taraf.

“Sebab itulah kerajaan Kelantan berunding dengan kerajaan pusat bagi memberi laluan untuk membolehkan usul mengenai rang undang-undang bagi menaik taraf Mahkamah Syariah dibawa ke parlimen.

“Bacaan kali kedua dan perbahasan rang undang-undang berkenaan akan dibuat pada persidangan parlimen pada Oktober hadapan,”  katanya pada sidang media.

Pada persidangan parlimen 26 Mei lepas Tuan Guru Abdul Hadi membawa usul bagi meminda Akta 355 selepas diberi ruang oleh Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia setelah mendapat kebenaran menteri.

Beliau juga berkata, usul untuk mengangkat taraf mahkamah syariah sebenarnya sudah dibawa ke parlimen sejak 1995 namun tidak pernah mendapat tempat.

Sedangkan menurutnya kerajaan pusat banyak campur tangan di negeri-negeri yang ditadbir pembangkang sehingga mewujudkan Jabatan Pembagunan Persekutuan dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan. – HARAKAHDAILY 2/6/2016

Share on Myspace