60 tahun rakyat Kelantan tunggu usul di parlimen

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Setelah lebih 60 tahun menunggu akhirnya usaha untuk memartabatkan perundangan Islam di negeri ini terbuka laluannya apabila usul Rang Undang-Undang 355 berjaya dibawa ke persidangan parlimen baru-baru ini.

Wakil Kelantan Ustaz Wan Ismail Wan Jusoh berkata hampir 2 juta rakyat negeri tersebut melahirkan rasa syukur kerana telah menunggu dalam tempoh begitu lama untuk membolehkan perundangan Islam dimartabatkan.

“Perundangan Islam tidak pernah lekang dek hujan, lapuk dek panas. Ramai pemimpin yang memperjuangkannya sudah meninggal dunia.

“Hari ini sinar menyinsir, doa semoga rang undang-undang diluluskan pada persidangan Oktober nanti,” katanya ketika mencadangkan ucapan dasar presiden pada muktamar hari ini.

Beliau juga berkata notis mengenai pembentangan usul Akta 355 begitu cepat dan segera sehingga tidak ramai yang tahu apa yang berlaku di parlimen.

“Rang undang-undang dibentang di parlimen 26 Mei lepas. Kebanggan rakyat Kelantan dan pendukung PAS tidak boleh digambarkan lagi setelah sekian lama menunggu.  

“Kalau Allahyarham Tok Guru masih ada tentunya  beliau begitu gembira sekali. Pemisahan agama dan politik dilakukan penjajah sejak sekian lama,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 2/6/2016

Share on Myspace