DAP di belakang PAN, kata Mustafa

ASLANI M | .

KOTA BHARU:  Pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya di negara ini dianggap sebagai trend baru yang berlaku sekarang, sedangkan sebelum ini ia disepakati hanya pertembungan dua penjuru.

Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Datuk Mustafa Ali berkata sebelum ini tidak berlaku pertembungan sesama pembangkang dan hanya berdepan dengan Umno/BN.

Namun katanya sekarang berlaku bertembung tiga penjuru antara PAS, BN dan  PAN.

“Dalam pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini tidak pernah mengalami situasi seperti di Kuala Kangsar dan Sungai Besar,

“Kita tahu yang berada di belakang PAN ialah DAP biarpun parti itu tidak bertanding. PAS mempunyai banyak pengalaman dalam situasi begitu,” katanya ketika menggulung perbahasan di muktamar di Putik hari ini.

Menurutnya juga pilihan raya tersebut dianggap sebagai medan ujian bagi parti terbabit untuk melihat sejauh mana sokongan diterima di peringkat akar umbi.

“Test case namun PAS sudah banyak pengalaman dalam pilihan raya. PAS sudah tunjuk komitmen yang tinggi.

“Apa yang kita tengok sekarang yang benar-benar hendak lawan PAS ialah PAN. Umno semua orang sudah tahu sejak daripada dahulu menentang PAS,” ujarnya.

Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Abdullah pula berharap ahli-ahli dan penyokong PAS membuat persediaan lebih awal bagi menghadapi pilihan raya umum  ke-14 dijangka diadakan tahun hadapan.

Katanya berdasar kepada kenyataan  pemimpin Umno dan BN pilihan raya diadakan lebih awal. – HARAKAHDAILY 3/6/2016

Share on Myspace