Sejarah: Tuan Ibrahim dipilih pemimpin PAS Pusat

HARAKAHDAILY | .

DATO' TUAN IBRAHIM DIPILIH SEBAGAI PIMPINAN PAS PUSAT (3 JUN 2001)

PADA hari ini dalam tahun 2001, Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-47 yang berlangsung sejak 1 Jun 2001 telah memilih seorang tokoh pendakwah terkenal, Dato' Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk sesi 2001-2003.

Ini adalah kali pertama Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man menyertai pimpinan PAS Pusat sejak beliau mulai aktif dalam parti pada 1999. Muka baru yang turut terpilih dalam muktamar ini ialah Ustaz Ahmad Awang, Dr Abdul Wahab Ismail, Ustaz Taib Azamuddin Mohd Taib, Dr Lo'lo' Mohd Ghazali, Husam Musa, Datuk Kamaruddin Jaffar, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi, Salahuddin Ayub, Ustaz Omar Mohamad dan Ustaz Idris Ahmad.

Sebelum aktif dalam PAS, Ustaz Tuan Ibrahim adalah seorang pensyarah kanan di Universiti Teknologi Mara(UiTM) Cawangan Jengka dan merupakan seorang pendakwah terkenal yang sering menjadi ahli panel Forum Perdana TV1.

Beliau yang dilahirkan di Jerantut, Pahang pada 27 Ogos 1960 dan berkelulusan Sarjana Pengajian Islam dalam bidang dakwah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) adalah anak saudara kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, sekali gus berpangkat sepupu kepada pemimpin-pemimpin PAS sekarang seperti Ustaz Datuk Nik Mohd Zawawi Salleh (Setiausaha Majlis Syura Ulamak), Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz (Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat) dan Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani (Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor).

 Walaupun telah lama bersama perjuangan PAS dan aktif bersama ABIM ketika mudanya, Ustaz Tuan Ibrahim hanya aktif dalam PAS setelah beliau terpilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jengka, Pahang pada 29 November 1999. Beliau berjaya mengalahkan calon BN, Dato' Zainal Hassan dengan majoriti 319 undi.

Walau bagaimanapun, kerusi tersebut tidak dapat dipertahankan dalam pilihan raya selepas itu. Ustaz Tuan Ibrahim kemudiannya diumumkan sebagai calon yang terpilih sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada hari terakhir Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-47, 3 Jun 2001.

Sesi 2001-2003 adalah sesi terakhir PAS dipimpin oleh Ustaz Dato' Fadzil Mohd Noor. Beliau mengekalkan kedudukan sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat selama 10 tahun sebelum tewas merebut jawatan Timbalan Presiden PAS pada 2011.

Dalam kepemimpinan PAS Pusat, selain menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat selama 10 tahun, Ustaz Tuan Ibrahim telah dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Pahang selepas Pilihan Raya Umum 2004 dan memegang jawatan ini sehingga 2015, selain dilantik sebagai Ketua Penerangan PAS Pusat (2011-2013) sebelum dipilih sebagai Naib Presiden PAS pada tahun 2013.

Tokoh yang berdarah diraja Jembal yang terkenal dengan siri-siri buku "Senyumlah" ini, juga turut menduduki Majlis Syura Ulamak PAS mulai 2011, sebelum terpilih sebagai Timbalan Presiden PAS dalam Muktamar Tahunan PAS Ke-61 di Kuala Selangor.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
3 Jun 2016 - HARAKAHDAILY 3/6/2016

Share on Myspace