PAS bangkit selepas 'gerhana' tahun lepas

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Muktamar Tahunan PAS ke-62 mencatat sejarah apabila perwakilan kekal istiqamah dalam dewan biarpun detik-detik penghujung muktamar.

Kata Pengerusi Tetap Hussin Ismail tidak kelihatan kerusi kosong dalam dewan sejak muktamar bermula pagi semalam sehingga tengah hari ini.

“Ini sejarah yang tidak pernah berlaku. Sedangkan pada  muktamar sebelum ini terutamanya di penghujung muktamar sudah kelihatan kerusi kosong.

“Namun pada muktamar kali ini ada kelainan, di mana perwakilan dan pemerhati kekal dalam dewan sehingga ke saat akhir muktamar berlangsung di Putik,” katanya.

Sebelum itu Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Abdullah memberitahu pada peringkat awal beliau begitu bimbang dengan jumlah kehadiran pada muktamar tahun ini memandangkan berlaku masalah dalaman PAS tahun lepas.

Katanya, masalah yang berlaku pada muktamar lepas sehingga ada pemimpin yang keluar menubuh parti lain, dibimbangi boleh menjejaskan muktamar.

“Namun jangkaan saya meleset. Pada  masa perasmian semalam dalam dewan ada sehingga 6,000 perwakilan dan pemerhati sehingga melimpah keluar.

“Sepatutnya selepas berlaku peristiwa tahun lepas, sudah tidak ada orang lagi dalam PAS.

Pada awalnya saya bimbang juga dengan jumlah kehadiran namun syukur apabila perwakilan semakin semangat dan sudah pulih untuk bangkit semula,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 3/6/2016

Share on Myspace