Perlu kenali isu dekat dengan hati pengundi

HARAKAHDAILY | .

KOTA BHARU: Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah mengingatkan anggota parti supaya bijak membaca isu yang dekat dengan rakyat.

Katanya, ia adalah salah satu cara bagi memenangi hati pengundi sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum (PRU) yang akan datang.

“Kita perlu kenali isu yang dekat dengan hati pengundi. Perlu lihat tahap sosioekonomi dan pemikiran mereka. Barulah kita boleh perhalusi cara pendekatan yang terbaik untuk mendekati pengundi.

"Kita juga perlu ada kebijaksanaan dalam pendekatan tersebut,” ujarnya ketika berucap pada sesi penggulungan dalam Muktamar Tahunan PAS kali ke-62 di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik).

Beliau juga mengingatkan anggota parti supaya bersikap fleksibel dalam pendekatan kepada masyarakat.

"Kita kena fleksibel cara pendekatan mengikut tahap pemikiran rakyat setempat. Semenanjung berbeza dengan Sabah dan Sarawak, kawasan bandar berbeza dengan kampong.

"Orang berpelajaran juga berbeza dengan orang yang tidak berpelajaran. Bahan yang dibawa dan pendekatan yang dibuat juga harus berbeza,” ujarnya yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan.

Beliau juga turut menyeru semua peringkat parti memperkemas organisasi agar mampu turun menghadapi PRU dengan memiliki persiapan yang sempurna.

“Saya menyeru supaya kita perkemas organisasi di semua peringkat untuk hadapi PRU yang amat mencabar sebab kita seolah-olah bersendirian. Maka, kita perlu bekerja bersungguh-sungguh supaya kita turun untuk PRU nanti dengan persiapan yang sempurna," katanya lagi.

Pada setiap pilihan raya, ujar beliau PAS akan turun kepada rakyat dengan aqidah perjuangan dan isu semasa dalam yang dekat dengan masyarakat.

Share on Myspace