Pimpinan diminta kerap turun bersama akar umbi

HARAKAHDAILY | .

KOTA BHARU: YB Ustaz Ahmad Saad @ Yahya, Ahli Dewan Undangan Negeri Alor Mengkudu dari negeri Kedah mewakili para perwakilan dalam ucapan penangguhannya telah mengajak para hadirin supaya mengalu-alukan kehadiran tetamu Ramadhan serta tidak melepaskan kelebihan yang ditawarkan dalam bulan yang mulia itu seperti ibadah, sedekah, iktikaf, dan paling besar dakwah dan jihad yang perlu digerakkan.

Beliau seterusnya mengingatkan bahawa kejayaan PAS menjadi parti teras di negara ini adalah hasil daripada kesusahan dan pengorbanan semua pendokong PAS terutamanya ahli-ahli yang ikhlas di bawah serta tiada kepentingan.

“PAS menjadi parti tunjang, PAS sangat penting, buktinya setiap pandangan yang dikemukakan PAS sentiasa dinanti-nanti dalam apa jua isu.”

Oleh itu, beliau menyeru supaya semua pimpinan supaya rajin turun menziarahi negeri dan kawasan dan menjaga hati ahli serta memberi arahan yang jelas serta tidak bercanggah antara satu sama lain.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada para pimpinan kerana selama setahun ini, pertembungan telah dapat dikurangkan serta diatasi walaupun masih ada lagi terutamanya di laman-laman sosial.

Beliu turut mengucapkan tahniah kepada Presiden dan pimpinan atas pembawaan gagasan politik baru yang hebat; iaitu Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS)

Beliau turut mencadangkan agar kaedah menterjemah BPMS perlulah dibuat sebaik mungkin supaya gagasan tersebut mudah dan jelas untuk dilaksanakan melalui peranan dewan-dewan dan lajnah-lajnah Parti.

Mewakili semua perwakilan dan pemerhati, beliau merakamkan ucapan tahniah kepada komuniti pelaksana Muktamar serta negeri tuan rumah Kelantan; seterusnya menjemput semua hadirin ke negeri Kedah yang bakal menjadi tuan rumah muktamar kali ke-63 tahun hadapan. - muktamar.pas.org.my

Share on Myspace