'Saya tidak akan khianati pimpinan parti saya'

SAIDAH HAIRAN | .

SUNGAI BESAR: Dr Abd Rani Osman menegaskan sasaran PAS bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar hanya untuk menumbangkan BN daripada terus meluaskan kuasa rakus dan kejam terhadap rakyat.

Katanya, PAS mahu mewakili rakyat dengan menghantar mesej bahawa BN sudah tidak layak untuk terus mentadbir negara kerana terlalu banyak melakukan kerosakan.

"Sasaran PAS hanya Umno BN. PAS hanya bermatlamat untuk berlawan dengan BN. PAS tidak akan bersekutu dengan Umno BN," tegasnya selaku calon PAS pada PRK itu.

Menurut beliau, PAS tidak akan bergabung dalam Pakatan Harapan jauh sekali tunduk dengan kehendak DAP.

Beliau akan terus istiqamah dalam perjuangan Islam yang didukungi PAS kerana PAS adalah satu-satunya parti yang berpandukan al-Quran dan as-Sunnah dalam setiap langkah yang dilakukan.

PAS juga, kata beliau merupakan parti yang dibimbing oleh Majlis Syura Ulamak khususnya melibatkan hukum.

"Saya tidak akan mengkhianati pimpinan parti saya," tegasnya sebagai respons terhadap saranan Adun Sekinchan supaya menyertai PAN untuk mendapat bantuan DAP ketika berkempen di Sungai Besar.

Ini kerana tegas beliau lagi, dalam PAS tiada jamaah dalam jamaah dan ahli akan akur dengan apa sahaja keputusan pimpinan tertinggi parti kerana mereka lebih berpandangan jauh dan lebih faham dengan kedudukan sebenar.

Menurut beliau, PAS merupakan parti yang menjaga kebajikan semua kaum dan selama ini PAS yang berada dalam Kerajaan Negeri Selangor telah melaksanakan banyak perkara kebaikan kepada semua kaum.

"PAS bukan parti perkauman dan slogan PAS For All' masih relevan dan sesuai hingga bila-bila.

"PAS sangat menghormati pandangan tentang perbezaan agama," katanya.

Beliau menegaskan pertandingan tiga penjuru di antara BN, PAS dan PAN tidak melemahkan semangat tetapi ia merupakan dorongan untuk seluruh jentera PAS bekerja bersungguh-sungguh bagi memastikan kemenangan berpihak kepada PAS. - HARAKAHDAILY 3/6/2016

Share on Myspace