PRK: Ikatan gesa semua pihak amal demokrasi sihat

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) Negeri Selangor meminta agar semua pihak saling menghormati antara satu sama lain pada kempen pilihan raya kecil (PRK).

Pengerusi Dewan Majlis Ikatan Negeri Selangor, Datuk Seri Mohamad Badri Abd Rahman berkata parti yang bertanding perlu menghormati Perlembagaan dan mengamalkan demokrasi yang sihat.

"Negara kita negara yang mengamalkan demokrasi, asalkan setiap individu dari mana-mana parti, calon mahupun penyokong faham apa itu demokrasi, semua akan berlangsung dengan baik.

"Jangan buat sesuatu yang boleh menggugatkan keamanan masyarakat dan tanah air," jelasnya kepada Harakahdaily.

Beliau ketika ditanya mengenai penyertaan PAN pada pilihan raya tersebut, menjelaskan ia tidak menjadi masalah kerana semua parti politik boleh bertanding dalam mana-mana pilihan raya.

"Tiada masalah untuk mana-mana parti menyertai, asalkan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sama ada menjadi tiga penjuru atau empat penjuru itu adalah hak parti berkenaan.

"Pakatan Harapan tidak sepatutnya mengeluarkan pendapat atau pandangan supaya PAS tidak bertanding pada PRK tersebut," katanya.

Menurut beliau lagi, PAS telah mengumumkan untuk menjadi parti blok ketiga sama ada PAS mahu letak calon ataupun tidak itu bukan masalah kepada Pakatan Harapan.

"Begitu juga dengan PAN, mereka bertanding atau tidak bukan menjadi urusan kami. Nasib menang atau kalah itu atas tangan rakyat yang mengundi.

"Pakatan Harapan tidak ada hak untuk menuduh PAS jika mereka kalah, begitu juga sebaliknya kepada blok ketiga juga tidak boleh menuding jari kepada Pakatan Harapan jika gagal dalam pilihan raya kali ini," jelas beliau.

Mohamad Badri berpendapat apa yang penting pada masa ini adalah masyarakat dan rakyat di Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar memilih parti dan pemimpin yang mereka kehendaki dan boleh membawa suara rakyat.

"Ini adalah pendapat saya yang menggunakan prinsip demokrasi, pemimpin yang berfikiran matang walaupun dari parti mana yang akan memenangi PRK nanti.

"Yang penting wakil rakyat itu mampu berkhidmat dengan baik tanpa membawa masalah sebaliknya mampu menyelesaikan masalah rakyat dari semua keturunan," tambah beliau lagi. - HARAKAHDAILY 3/6/2016

Share on Myspace