Muktamar ke-62: Rasa persaudaraan lebih intim

HARAKAHDAILY | .

Setelah hadir sama di Muktamar PAS Pusat di Putik, Kota Bharu, seperti juga semua yang turut mengikuti, kami beroleh semangat dan keyakinan baru.

Rasa persaudaraan sesama jamaah yang lebih intim. Kesatuan dalam pemikiran dan tindakan. Hala tuju dan visi yang sangat jelas.

Seperti ulasan Pengerusi Tetap, muktamar kali ini melimpah kehadiran yang mengikuti sepanjang muktamar hingga minit terakhir yang biasanya di hari akhir tidak seramai hari pertama.

Pengiktirafan kepada seorang anak muda, Saudara Khairul Idham Pawi yang beroleh asuhan PASTI yang berjaya menempa nama di pentas sukan permotoran antarabangsa menjadi Juara GP Argentina yang mencuit perhatian dunia dengan aksi mempertahan jati dirinya sebagai seorang Islam dengan spontan memisahkan diri dari diraikan dengan tradisi arak.

Khairul sempat menghantar mesej video kepada semua perwakilan di muktamar PAS.

Kejutan oleh DHPP dengan membawa 258 ahli baru DHPP menyerahkan borang kepada Presiden PAS. Yang hampir kesemuanya kali ini dari kaum Cina. Menafikan terus dakyah kononnya kaum Cina menolak PAS.

Yang menariknya penampilan DHPP tahun ini kelihatan sangat mantap. Ucapan perbahasan dari wakil DHPP dikagumi hadirin dan berkali-kali disahut laungan takbir yang bergema diselang seli tepukan gemuruh dari lebih 6,000 hadirin yang berada di Dewan Putik. Kemuncaknya di akhir ucapan Dr Balachandran, Ketua Penerangan DHPP yang berucap membahaskan ucapan dasar mewakili DHPP, hadirin tidak tertahan hingga ramai yang berdiri termasuk pimpinan di atas pentas memberikan 'standing ovation'.

Ketua DHPP Pusat Encik Balasubramaniam semasa ucapan penggulungan menambah gamatnya dewan dengan semangat dan keyakinan tinggi kepada prinsip perjuangan PAS yang beri rahmat untuk semua hingga berkata, kalau tiada orang lain lagi mahu perjuangkan Islam (bersama PAS), DHPP tetap akan terus setia dengan perjuangan.

Malah beliau menyampaikan hasrat supaya ahli DHPP pun dapat mengadakan usrah juga kerana manfaat yang banyak diperolehi melalui fahaman yang betul tentang Islam dan kebaikannya kepada pembinaan negara dan masyarakat majmuk.

Secara ringkasnya, saya menyimpulkan kekuatan muktamar kali ini amat berkait dengan gagasan yang dipertegaskan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang melalui tema Budaya Politik Matang dan  Sejahtera (BPMS).

BPMS adalah mesej PAS kepada semua peringkat dalam PAS untuk bersedia dengan kualiti yang selayaknya untuk memimpin negara.

Ia juga adalah mesej PAS kepada rakyat dan negara bahawa budaya politik cara lama yang menyemai pertentangan tidak sihat hanya menatijahkan kemusnahan kepada asas bernegara dengan menularnya kezaliman, rasuah, pilih kasih, penafian hak dan pelbagai penyelewengan sehingga menjadi medan yang subur kepada pemimpin yang jahat dan tidak amanah.

Masanya untuk mengambil pendekatan yang membina (konstruktif), lebih bertanggungjawab dalam membina negara yang sejahtera untuk semua.

AHMAD AMZAD HASHIM
Putik, Kelantan
3 Jun 2016 - HARAKAHDAILY 3/6/2016

Share on Myspace