KAFA OKU: Lajnah Kebajikan ucap tahniah PAS Tawau

HARAKAHDAILY | .

SAYA ucapkan terima kasih atas perbahasan perwakilan-perwakilan yang menyebut secara khusus berkaitan hal-ehwal kebajikan dan kemasyarakatan, secara langsung atau pun tidak langsung.

Syukur ke hadrat Allah, para perwakilan terus cakna kepada isu-isu kebajikan dan kemasyarakatan. Justeru, kecaknaan kita kepada isu-isu kebajikan dan kemasyarakatan perlu dijelmakan kepada perlaksanaan. Ini sesuai dengan tema, “Inilah penyelesaian kita”.

Negara berkebajikan,

Sepertimana disentuh oleh perwakilan Selangor, ingin sekali lagi ditegaskan bahawa kita akan meneruskan agenda Negara berkebajikan dalam membudayakan politik dengan pendekatan matang bagi kesejahteraan rakyat.

Secara tradisi, Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS (LKKP) akan terus memperkasa usaha-usaha membantu rakat yang memerlukan dalam kemampuan lajnah dan keterbatasan. Saya mengucapkan setinggi tahniah dan terima kasih kepada perwakilan Kedah yang telahpun memaklumkan kepada kita berkaitan program “sekampit beras dan sekilo gula”.

Sesuai dengan amalan berkebajikan dalam Islam yang cukup luas dan bersepadu, LKKP pada waktu ini menekankan amalan berkebajikan ini disandarkan kepada prinsip-prinsip kecaknaan, dan prihatin sebagaimana kehendak syara’ dan ditunjukkan oleh baginda Rasul Allah SAW.

Selain meneruskan amalan-amalan tradisi lajnah, pada waktu ini kita juga memberi perhatian kepada dasar-dasar pemerintah yang berkait rapat dan langsung kepada kebajikan dan pembentukan Masyarakat yang lestari.

Apa yang dikhabarkan oleh perwakilan Pulau Pinang umpamanya, keberadaan PAS amatlah signifikan bagi memastikan apa jua dasar pembangunan haruslah mengambilkira kepentingan dan keperluan rakyat.

Justeru, pihak LKKP di peringkat pusat amat member perhatian kepada dasar-dasar dan pendekatan semasa yang dilaksanakan oleh pihak pemerintah. Ini bersesuaian dengan kesediaan kita untuk mengambil alih pemerintahan bila dipertanggungjawabkan Allah SWT kelak.

Pembangunan lestari yang mementingkan keperluan dan kebajikan rakyat ini telah mula disedari oleh pelbagai pihak termasuk di peringkat antarabangsa.

Ini dapat dilihat bagaimana Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu PBB melalui United Development Programme “UNDP” memperkenalkan amalan Sastainable Development Goals “SDG” mutakhir ini.

Beruntung kita bila Allah SWT menganugerahkan kita hidayah dengan Islam, yang mana pembangunan lestari ini telahpun diberi penekanan dalam al-Quran dan Sunnah di pelbagai sudut.

Saya juga mengalu-alukan apa yang dikemukakan oleh perwakilan Sabah. Benar, kebajikan dalam Islam yang luas itu perlu kita terjemahkan untuk dirasai rakyat betapa Islam itu rahmat.

Dalam kesempatan ini, wajar kita merakamkan ucapan tahniah kepada PAS Tawau yang begitu terkehadapan dalam memperkasa kebajikan rakyat terutamanya program-program cakna rakyat dan pembangunan OKU.

Cukup istimewa bila PAS Tawau ini melaksanakan kelas KAFA OKU dan mengaktifkan pengajian Quran Braille untuk OKU penglihatan.

Melalui pendekatan cakna dan prihatin yang sedang digerakkan di peringkat pusat, kami berharap negeri-negeri termasuklah Sabah boleh membawa apa yang kita rancangkan di peringkat pusat ke negeri-negeri.

Penubuhan Sekretariat Prihatin OKU Malaysia sebagaimana disebut dalam ucapan dasar TG Presiden, Skuad Prihatin, Pusat Aduan Sosial, Skim Kifalah Ali PAS (baru kita lancarkan secara rasmi semalam), dan program-program lain, wajar diperturunkan ke negeri-negeri untuk kepentingan dan keperluan rakyat yang pelbagai latar belakang.

Saya juga berterima kasih kepada perwakilan muslimat yang mengemukakan penubuhan lajnah pembangunan keluarga. Untuk makluman muktamirin sekalian, pada waktu ini pihak LKKP pusat telahpun memperkenal skop kekeluargaan ini dan cadangan DMPP ini boleh kita oleh untuk membentuk satu task force yang lebih menyeluruh.

Dalam mempengaruhi perlaksanaan dasar-dasar kerajaan agar diasaskan kepada Islam dan kepentingan rakyat, lajnah juga menyarakankan agar negeri-negeri juga terlibat dengan pelbagai dialog dan wacana yang dianjurkan oleh pemerintah.

Terbaru dan terkini, kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri sedang mengadakan pengutan suara umum berkaitan perlaksanaan Pelan Tindakan Hak Asasi Kebangsaan atau National Human Right Action Plan “NHRAP”.

Melalui NHRAP ini, ada perkara-perkara yang wajar kita beri perhatian termasuklah hal-ehwal OKU, isu orang asal, dan isu Sabah dan Sarawak (penting isu yang diberikan oleh perwakilan Sarawak semalam). Dengan kesuntukan masa yang ada, bolehlah kita perhalusi lebih terperinci di peringkat negeri pada masa-masa mendatang.

Pihak lajnah di peringkat pusat akan sedaya mampu berkerjasama rapat dengan negeri-negeri demi kepentingan rakyat dan pembinaan Masyarakat yang akan merasai Rahmatnya Islam.

DR ROSNI ADAM
Pengerusi
Lajnah Kebajikan Dan Kemasyarakatan Parti Islam Se-Malaysia – HARAKAHDAILY 4/6/2016

Share on Myspace