Muktamar Tahunan PAS kali ini lebih tenang

HARAKAHDAILY | .

Ada yang mengatakan Muktamar Tahunan PAS ke-62 yang berakhir semalam sejuk, tidak panas sebagaimana tahun-tahun sebelumnya. Namun, saya berpendapat ia bukan sejuk tapi tenang.

Tiada lagi ‘suara-suara pelik’ kedengaran dari dalam muktamar walaupun suara-suara itu memekik melolong di komen-komen fb atau di dada akhbar.

Tiada lagi isu-isu panas yang sepatutnya tak berlaku dalam sebuah jemaah Islam seperti PAS berlaku isu kebocoran keputusan mesyuarat, isu wala’ yang masih dibincang walaupun terhadap kepimpinan di atas pentas ketika itu, isu taat yang sepatutnya dihadam sudah lama dalam jemaah.  

Akhirnya muktamar menjadi medan ‘membasuh dan mencuci’, bukannya medan menggilap dan mengilap.

Ini bukan bermakna muktamar sudah tidak bermaya lagi. Apabila isu-isu di atas tiada, maka dengan sendirinya muktamar boleh menumpukan kepada perkara penting untuk dibincang, dimuhasabah dan dinilai semula. Saya melihat kualiti perbahasan perwakilan sangat baik.

Kalau ada sedikit yang kurang disenangi, itu tidaklah menjejaskan keseluruhan perbahasan. Kalau ada yang tidak dipersetujui, maka ia cepat selesai dalam muktamar atau ketika ucapan penggulungan. Perkara ini penting supaya perjuangan dapat diteruskan tanpa banyak isu dalaman.

Di luar, asakan tetap kuat. Mereka menulis di merata tempat, pelbagai medium. Akhlak dipinggirkan. Rasa hormat terhadap orang berilmu hilang, kerana mereka yang menulis itu sendiri tidak berilmu. Bukan sahaja strategi dan pendirian dipertikai, ia menjangkau kritikan tidak berakhlak terhadap peribadi Tok Guru dan kepimpinan PAS.

Namun, dalam muktamar berakhir semalam, Tok Guru nampak tenang, senang hati dan suasana muktamar juga demikian.

Moga Allah berkati perhimpunan kami semalam dan ia menjadi saksi di akhirat bahawa kami inginkan Islam tegak di muka bumi ini walaupun dicela oleh orang yang mencela.

Ustaz Nik Muhammad Nasri Nik Malek
Timbalan 1, Jabatan Perhubungan Awam, IT Dan Media Baharu, Dewan Ulamak PAS Pusat
Ketua Lajnah Media Baharu DUPNT
Sabtu 4 Jun 2016 - HARAKAHDAILY 4/6/2016

Share on Myspace