Jadikan undi Kuala Kangsar wakili rakyat Malaysia

IZWAN ABDUL HALIM | .

KUALA KANGSAR: Calon PAS P.067 Kuala Kangsar, Dr Najihatussolehah Ahmad sedia mewakili dan membawa suara rakyat ke Parlimen sebagaimana kepercayaan yang telah diberikan parti kepadanya.

Menurutnya, beliau positif akan mendapat kemenangan pada PRK ini walaupun dengan majoriti tipis, sekaligus memberi khidmat kepada rakyat khususnya penduduk Kuala Kangsar.

"Saya duduk (menetap) di Parit, bukan orang sini, tetapi bersama rakyat sudah jadi rutin saya. Tugas sebagai doktor sangat dekat dan mudah dengan masyarakat.

"Saya sudah (khidmat) 20 tahun. Lagipun penduduk Parit sinonim dengan penduduk Kuala Kangsar," ujarnya di program Ameerah Perak di Kampung Ketior, di sini hari ini.

Beliau menyeru pengundi membuat pilihan tepat dengan menjadikan PRK ini sebagai protes terhadap tindakan kerajaan yang sentiasa membebankan rakyat.

Katanya, pengundi Kuala Kangsar perlu menjadikan suara mereka mewakili seluruh rakyat Malaysia.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan Umno-BN agar tidak mempergunakan jentera kerajaan pada PRK ini.

Beliau mengingatkan petugas agar tidak gerun dengan cabaran dari BN kerana Allah memegang hati manusia.

"Banyakkan berdoa, Allah dengar hamba yang mengadu pada-Nya. Doa orang yang sakit lagi mustajab," ujarnya menyuntik motivasi.

Menjawab pertanyaan wartawan Sin Chew Daily, beliau mengakui mendapat dokongan padu 9 anaknya dan suami, serta tujuh adik beradiknya yang akan mengiringi beliau pada penamaan calon esok.

Bagaimanapun ibu beliau yang selalu menemaninya dalam siri-siri kempen PRU lalu tidak dapat bersama kerana keuzuran. – HARAKAHDAILY 4/6/2016

Share on Myspace