PAS ditentang BN, PAN di Sungai Besar

HARAKAHDAILY | .

SUNGAI BESAR: PAS ditentang BN dan PAN pada Pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar yang berlangsung pada 18 Jun ini.

Pegawai Pengurus PRK berkenaan, Mohd Khairudin Md. Som mengumumkan demikian pada jam 10.27 pagi selepas penamaan calon berakhir.

Calon PAS, Dr Abdul Rani Osman berhadapan dengan calon BN dan PAN, Budiman Mohd Zohdi dan Azhar Abd Shukor.

Sebelum itu, Dr Rani menyerahkan borang pencalonan bersama pencadang, Mohd Makson Ramli dan penyokong, Salihudin Baharum.

Perarakan calon PAS itu yang diketuai Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bermula kira-kira jam 8.30 pagi menuju pusat penamaan calon di Dewan Seri Bernam, di sini.

Pemimpin PAS Pusat yang turut sama mengiringi calon PAS ialah Naib Presiden, Datuk Iskandar Abdul Samad, Ketua Dewan Ulamak, Datuk Dr Mahfodz Mohamed, Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan, Ketua Penerangan, Nasrudin Hasaan, Ketua Pengarah Pilihan raya, Datuk Mustafa Ali. Pengerusi Parti Ikatan Bangsa Malaysia, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir juga hadir.

Cuaca yang agak mendung pada awal pagi ini dan semakin cerah pada jam 9.30 pagi menjadikan suasana penamaan calon meriah.

Kerusi Parlimen Sungai Besar kosong kerana penyandang, Datuk Noriah Kasnon terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.- HARAKAHDAILY 5/6/2016

Share on Myspace