PAS kuat untuk lawan BN, bukan PAN

IZWAN ABDUL HALIM | .

KUALA KANGSAR: Tindakan PAN turut bertanding pada PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar sebenarnya memudahkan jalan kepada BN untuk memecah undi.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, PAN disokong DAP yang mempunyai agenda sendiri.

"Mereka yang sebenarnya beri jalan pada BN. Sebab yang boleh lawan BN ialah PAS, bukan PAN. Jadi mengapa DAP sokong PAN? Kerana DAP ada agenda di belakang PAN.

"Antaranya menghalang perjuangan PAS untuk mengangkat Islam sepertimana RUU Mahkamah Syariah di Parlimen baru-baru ini," ujarnya pada penamaan calon P.067 di Pejabat Tanah Daerah, di sini hari ini.

Beliau menafikan tuduhan kononnya PAS ada berunding dengan BN dan PH dalam menghadapi pilihan raya ini, selain menegaskan hak bertanding kerana kerusi tradisi PAS.

Bahkan menurutnya, PAS bertanding kerana punya kekuatan dan berterusan bekerja berbanding parti lain yang datang hanya pada pilihan raya.

Jelas Tuan Guru, ketika pilihan raya PAS melawan semua, tetapi boleh berunding dan bekerjasama dalam perkara baik.

Contohnya ujar beliau, dalam menentang rasuah, dadah, penyelewengan 1MDB dan seumpamanya.

"Hakikatnya mereka yang datang memujuk PAS supaya jangan bertanding. Kita bukan pembangkang yang melulu. Kita bekerjasama dalam perkara makruf, tetapi menentang perbuatan munkar," terangnya.

Beliau turut menegaskan bahawa RUU Mahkamah Syariah dibentangkannya tiada kaitan dengan bukan Islam. – HARAKAHDAILY 5/6/2016

Share on Myspace