Menangkan Dr. Najiha, kuatkan suara Islam

IZWAN ABDUL HALIM | .

KUALA KANGSAR: Para pengundi PRK P.067 Kuala Kangsar diminta agar memenangkan calon PAS, Dr. Najihatussalehah Ahmad agar dapat menguatkan suara Islam di Parlimen, demikian seru Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Katanya, PAS mempunyai tanggungjawab besar dalam hubungan dengan Allah untuk menegakkan hukum Islam menerusi amanah kepimpinan.

Atas itu ujarnya, PAS menampilkan calon Muslimat yang diberi kepercayaan untuk menyampaikan risalah Islam di Parlimen.

Jelasnya, tidak ada masalah menampilkan calon Muslimat kerana bukan mahu diangkat sebagai Perdana Menteri atau Raja, bahkan peristiwa Baiah Aqabah dan Hudaibiyah menjadi bukti keterlibatan Muslimat.

Begitu juga terangnya, kisah Muslimat menegur Khalifah Umar al-Khattab dalam menjalankan polisi pentadbirannya menunjukkan peranan golongan itu dalam pemerintahan.

“Kita maklum bahawa walaupun PAS menang di Kuala Kangsar dan Sungai Besar, Umno-BN masih belum jatuh, tetapi kita mahu suara yang lebih banyak, lebih kuat dan berdepan mereka yang khianat dan musuh yang menentang. Kita hadapi cabaran, namun kita yakin boleh menang dengan izin Allah.

“Kita pernah menang di Kangar, di Kuala Terengganu, di Kelantan dalam PRK. Mari kita menyumbang tenaga dan harta dengan mengharap pertolongan Allah,” ujarnya menyuntik semangat ribuan penyokong yang hadir penamaan calon di Pejabat Tanah Daerah, di sini hari ini.

Menurutnya, ramai orang Umno-BN yang mahukan perubahan, oleh itu inilah masanya meninggalkan kemungkaran dilakukan pemerintahan Umno-BN, antaranya mendukung usaha PAS meninggikan kuasa Mahkamah Syariah di mana perjuangannya belum selesai.

Sementara itu mengulas pertanyaan media, beliau percaya PAS berpotensi untuk menang walaupun berlaku pertandingan empat penjuru, kerana pengundi PAS selalunya tidak berpecah, berbanding undi protes yang sering berpecah dan memberi kelebihan kepada PAS.

“PAS adalah parti yang perkasa, tahan lasak dan telah ditubuhkan sejak tahun 1951, bukan baru. Yang terasa hati mungkin parti baharu,” ujarnya menjawab pertanyaan kemungkinan terasa hati dengan sokongan pimpinan PKR kepada calon PAN.

Mengulas salah faham masyarakat terhadap RUU Mahkamah Syariat yang dibawanya di Parlimen, beliau menyatakan bahawa PRK ini menjadi kesempatan PAS untuk menjelaskan mengenai perkara itu.

Pun begitu tegasnya, perkara tersebut hanya berkaitan orang Islam dan langsung tiada kena mengena dengan orang bukan Islam sebagaimana peruntukan dalam Perlembagaan Negara.

Ditanya mengenai kempen PAS, beliau mengakui media baru antara yang akan dimanfaatkan PAS sesuai kedudukan Kuala Kangsar di mana mempunyai kawasan bandar dan luar bandar selain meneruskan pendekatan rumah ke rumah, kuliah dan ceramah kelompok. - HARAKAHDAILY 5/6/2016

Share on Myspace