PRK: PAS seru rakyat buat undi protes kepada BN

HARAKAHDAILY | .

Pertama sekali, PAS ingin melahirkan penghargaan kepada SPR, PDRM dan lain-lain agensi kerajaan yang telah menguruskan hari penamaan calon PRK Kuala Kangsar dengan lancar dan aman.

Kami juga mengucapkan tahniah kepada calon-calon lain yang telah diterima bertanding mewakili BN, PAN dan lain-lain.

PAS berazam untuk menjadi PRK kali ini sebuah persaingan yang harmoni dan menyenangkan hati rakyat.

Kami ingin menarik perhatian semua rakyat khususnya pengundi di Kuala Kangsar, tentang tujuan PAS menghantar calon untuk bertanding.

PAS begitu menyedari, PRK ini bukan medan untuk menukar kerajaan, kerana kerajaan BN masih mempunyai majoriti selesa meskipun calon mereka kalah di PRK ini.

Malah PAS sebagai sebuah parti yang membawa Budaya Politik Matang dan Sejahtera, yakin BN akan terus menerajui negara sehingga Pilihan raya Umum akan datang.

Menyedari hakikat tersebut, PAS ingin menegaskan tujuan PAS mencabar BN dalam PRK ini adalah untuk mengajak rakyat membuat undi protes terhadap kerajaan BN yang telah menggubal dasar dan mengamalkan pentadbiran yang banyak menyusahkan rakyat seperti GST, perbelanjaan kerajaan yang boros, ketirisan dana kerajaan dan lain-lain. PAS yakin melalui PRK ini, pengundi di Kuala Kangsar perlu menghantar peringatan kepada BN.

PAS menampilkan Dr Najihatussalehah Ahmad kerana beliau seorang yang prihatin dengan kebajikan rakyat serta lantang untuk menyuarakan hasrat rakyat di Parlimen nanti.

Beliau akan meneruskan hasrat PAS sepertimana yang telah dinyatakan oleh Presiden PAS, untuk menegur Kerajaan Malaysia supaya kembali kepada dasar-dasar pemerintahan Islam yang diyakini akan menyelesaikan kemelut hidup yang dihadapi oleh rakyat. Beliau telah melahirkan keazaman untuk membawa suara Islam yang menjamin kesejahteraan manusia.

Di dalam kempen PRK Kuala Kangsar ini, PAS akan berkempen secara matang dan sejahtera, dengan mengutamakan politik realiti bukan untuk membina persepsi yang melahirkan kebencian antara satu sama lain.

PAS akan mengelakkan daripada melemparkan fitnah kepada pihak lawan termasuk isu-isu yang belum lagi terbukti benar.

PAS sekali lagi menyeru kepada pengundi Kuala Kangsar, untuk membuat undi protes kepada BN, dengan mengundi calon PAS pada hari pengundian kelak.

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS
Pengarah JKO Pilihan raya Kecil Kuala Kangsar - HARAKAHDAILY 5/6/2016

Share on Myspace