Sejarah: Mohamad Nasir jawab kecaman Pemuda PAS

HARAKAHDAILY | .

DATO' MOHAMAD NASIR JAWAB KECAMAN PEMUDA PAS DALAM ISU MENTERI BESAR (5 JUN 1975)

PADA hari ini dalam tahun 1975, Menteri Besar Kelantan, Dato' Mohamad Nasir telah mengemukakan sebuah kertas kerja untuk menjawab kecaman Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan berkaitan isu Menteri Besar yang tersiar dalam beberapa media massa. Kertas kerja yang bertajuk "Jawapan Dato' Haji Mohamad Nasir Atas Kecaman Dewan Pemuda PAS Kelantan Terhadap Wawancara Beliau Kepada Wartawan BERNAMA Seperti Yang Tersiar Dalam Beberapa Akhbar Tanggal 8 Mei 1975," ini bertujuan menjawab isu yang dibangkitkan oleh Dewan Pemuda PAS Kelantan.

Isu ini timbul ekoran satu temuramah antara Menteri Besar Kelantan itu dengan Abdul Ghani Ismail, wartawan BERNAMA pada 8 Mei 1975. Dalam temuramahnya, Dato' Mohamad Nasir telah membuat beberapa kenyataan yang merugikan Kerajaan PAS Kelantan dan parti sendiri seperti masalah pengurusan balak, rasuah, pembangunan Ulu Kelantan dan sokongan PAS kepada beliau sebagai Menteri Besar. Ekoran itu, pada 10 Mei 1975, Dewan Pemuda PAS Kelantan telah menyediakan memorandum yang menyenaraikan tujuh kenyataan yang mengelirukan dan merugikan parti dalam temuramah tersebut. Dewan Pemuda PAS Kelantan menyifatkan kenyataan Dato' Mohamad Nasir itu akan mempengaruhi keputusan mahkamah, mendedahkan rahsia kerajaan, membolehkan kerajaan diheret ke mahkamah dan menakutkan pelabur ke Kelantan, selain turut meretakkan hubungan PAS dengan Umno, menuduh pemimpin PAS mengamalkan rasuah dan menunjukkan beliau tidak percaya kepada dasar perjuangan PAS.

Memorandum ini kemudiannya dikemukakan kepada Badan Perhubungan PAS Kelantan pada 15 Mei 1975. Dalam Mesyuarat Khas Badan Perhubungan PAS Kelantan itu, Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Halim Isa mendakwa Dato' Mohamad Nasir menganggap dirinya dilantik oleh Umno, sedangkan semua pimpinan PAS mahu menyingkirkannya. Hal ini dijangka akan merosakkan hubungan PAS-Umno dan merugikan perjuangan Islam di Malaysi. Dewan Pemuda PAS Kelantan mengusulkan supaya Menteri Besar Kelantan memberikan jawapan bertulis tentang perkara ini dan meletakkan jawatan sebagai ketua kerajaan.

Bertolak daripada keputusan Badan Perhubungan PAS Kelantan ini, Dato' Mohamad Nasir membuat kenyataan tentang kesediaannya untuk meletak jawatan dan akan menyediakan jawapan terhadap isu tersebut. Pada 27 Mei 1975, Menteri Besar Kelantan itu telah menerima surat daripada Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan berkait itu tersebut, sedangkan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato' Ishak Lotfi Omar pula, pada 31 Mei 1975 telah mengemukakan laporan kepada Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri berhubungan konflik ini.

Kegagalan Menteri Besar Kelantan itu membuat penjelasan kepada Badan Perhubungan PAS Kelantan pads 29 Mei 1975, telah menyebabkan Badan Perhubungan PAS Kelantan mengambil pendirian bahawa beliau tidak layak memimpin kerajaan dan perlu diganti dengan segera. Tiga sebab yang dikemukakan oleh PAS Kelantan untuk menggugurkan Dato' Mohamad Nasir ialah suka membuat janji yang menyusahkan wakil rakyat, menyalahgunakan kuasa Menteri Besar untuk membekukan kawasan balak dan melakukan tindakan yang merugikan BN termasuk bersekongkol dengan Kumpulan Revolusi 14 Mac 1974.

Ekoran tekanan yang memuncak ini, pada 5 Jun 1975, Dato' Mohamad Nasir telah mengemukakan jawapan bertulis kepada Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, di samping turut menyediakan kertas kerja untuk menjawab dakwaan Dewan Pemuda PAS Kelantan. Dalam kertas kerjanya, Dato' Mohamad Nasir menyifatkan Dewan Pemuda PAS Kelantan terlalu berprasangka, melulu dan melampau, selain mendakwa Dewan Pemuda PAS tidak matang dalam membuat gugatan dan PAS Kelantan tidak bijaksana dalam mengambil tindakan terhadap ahli-ahli. Selain mengharapkan usaha pengislahan, beliau juga mahukan tindakan ruhama dalam menyelesaikan isu ini.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
5 Jun 2016 - HARAKAHDAILY 5/6/2016

Share on Myspace